Saturday, 1 May 2004

Rasa Sayang, Eh!

Kalau ditanya subjek mana yang paling kami benci, dengan mudah sahaja kami boleh memberikan jawapan. Cuma Kok Chee Khang yang mungkin memberikan jawapan yang berlainan sedikit.

Entah mengapa pemuda itu mengatakan bahawa dia suka akan subjek LAN1001-Bahasa Malaysia sewaktu ditanya pensyarah pada kuliah pertama.

“Saya suka membaca buku cerita dan majalah,” katanya.

“Buku teks wajib bagi komponen sastera?” Pensyarah menduga.

“Ya. Saya juga suka membaca buku-buku cerita karya Othman Puteh dan Sasterawan Negara A. Samad Said.”

Pensyarah kami ternyata terpegun mendengar jawapan Kok Chee Khang. Ada senyuman pada wajahnya apabila beliau memandang wajah-wajah kami satu per satu bagaikan berpuas hati kerana terdapat sekurang-kurangnya seorang pelajar yang suka akan subjek bahasa kebangsaan.

Subjek ini adalah wajib bagi semua pelajar instituti pengajian tinggi swasta (IPTS) yang tidak berjaya mendapat kredit dalam mata pelajaran berkenaan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Demikian menurut pensyarah sebagai memulakan kuliah sulung minggu lalu. Kata beliau, kuliah kami akan berlangsung tiga jam seminggu kerana kursus ini membawa tiga kredit.

“Merugikan masa sahaja!” Demikian beberapa pelajar merungut. “Tiga jam untuk subjek yang membosankan ini?”

“Saya akan ponteng minggu depan,” Yong Chee How membisikkan kepada Chuah Pey Jye.

Rata-rata pelajar di kelas kami pada semester ini adalah daripada kalangan kaum Cina. Ada seorang gadis kaum India bernama Manjubasini dan seorang pelajar kacukan bernama Reginald Abraham.

“Saya percaya bahawa ada di kalangan kamu yang sebenarnya mempunyai penguasaan bahasa kebangsaan yang baik,” kata pensyarah dengan suara mesra. “Namun, agak malang kerana kamu tidak memperoleh kredit dalam mata pelajaran berkenaan pada peringkat SPM.”

Beberapa pelajar kelihatan mengangguk. Saya tidak tahu bagaimana tahap penguasaan bahasa kebangsaan pelajar berkenaan kerana kami semua biasanya berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.
.
(Petikan cerpen "Rasa Sayang, Eh!" yang disiarkan di Dewan Siswa, Mei 2004)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!