Monday, 19 April 2004

Baca Novel Kavyan Catat 6 jam 40 minit

Utusan Malaysia, 19 April 2004
.
PANCHAYAT karya Uthaya Sankar SB telah dipersembahkan kepada khalayak dengan cara yang amat berbeza di Dewan Raja Lumu, Muzium Sultan Alam Shah, baru-baru ini.

Novel setebal 145 halaman itu telah dibaca secara bergilir-gilir oleh 35 individu yang menawarkan diri secara sukarela untuk menjayakan acara Baca Novel Kavyan.

Majlis itu dianjurkan oleh Yayasan Sasterawan Kaum India Malaysia (Kavyan) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor (JKKNS) serta Lembaga Muzium Selangor.

Peserta pelbagai kaum yang mengambil bahagian terdiri daripada pelajar sekolah menengah, remaja, murid sekolah menengah serta kakitangan awam.

Masing-masing telah membaca sekitar empat halaman daripada novel berkenaan.

Pengarah JKKNS, Sermaini Pien yang membaca empat halaman terakhir novel Panchayat berkata, acara berkenaan membuka lembaran baru dalam usaha memasyarakatkan sastera.

"Uthaya memang handal dalam penulisan dan novel yang dihasilkannya menjadi lebih menarik apabila dibaca dengan penuh gaya dan penghayatan oleh para peserta yang mengambil bahagian,'' katanya apabila tamat pembacaan selama enam jam empat puluh minit.

Kavyan dan JKKNS pernah bekerjasama menjayakan acara Baca Cerpen Kavyan sempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun 2003 dan tercatat dalam The Malaysia Book of Records bagi pembacaan cerpen berterusan 96 jam 32 minit.

Yayasan dan jabatan ini juga terlibat dalam menjayakan Baca Cerpen A. Samad Said di Kolej Prime USJ, Baca Cerpen Dr Othman Puteh di Kolej The One Academy, Baca Cerpen Dr Anwar Ridhwan di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam pada 15 Mei.

Kesemua acara ini bertujuan memasyarakatkan sastera, membudayakan baca cerpen, mendaulatkan bahasa Malaysia serta membuka ruang bagi interaksi dua hala antara sasterawan dan khalayak.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!