7 Sept 2022

Ponniyin Selvan — Dari Novel Ke Filem

Para peminat filem Tamil di seluruh dunia sedang menantikan tayangan Ponniyin Selvan yang dijadualkan pada 30 September 2022. Khalayak pelbagai kaum di Malaysia juga sedia mengenali pelakon terkenal India seperti Vikram, Aishwarya Rai, Jayam Ravi, Karthi, Trisha, Prabhu, Sarathkumar, Prakash Raj, Parthiban, dan Nassar yang terlibat dalam filem ini.

Filem arahan Mani Ratnam ini berdasarkan novel terkenal dengan judul sama oleh pengarang terkenal India, Kalki Krishnamurthy (1899 – 1954) yang aktif menulis esei politik, propaganda reformis, catatan perjalanan, kritikan muzik dan tarian, ulasan filem, biografi, lirik lagu, sajak, skrip filem, cerpen, novel dan terjemahan karya sebagaimana saya huraikan menerusi rencana di majalah Dewan Sastera (Februari 2007).

Karya Kalki biasanya tersiar secara bersiri di majalah Ananda Vikatan dan Kalki sebelum dibukukan. Novel Ponniyin Selvan merupakan fiksyen sejarah yang disiarkan dari 29 Oktober 1950 hingga 16 Mei 1954 dan membuatkan para pembaca menanti dengan penuh debar untuk mengetahui sambungan cerita.

Kemudian, pada 1955, cerita itu diterbitkan dalam bentuk buku lima jilid setebal sekitar 2,210 halaman. Tidak hairanlah versi filem dalam bahasa Tamil, Hindi, Telugu, Malayalam, dan Kannada bakal ditayangkan dalam dua bahagian.

Novel berkenaan sudah diterjemah kepada bahasa Inggeris dan Malayalam. Persembahan pentas, buku komik, dan sebagainya juga dihasilkan bagi meraikan kehebatan karya berkenaan yang berlatarkan pemerintahan Dinasti Chola pada kurun ke-9 tetapi masih menarik minat khalayak sehingga kini.

Hasil perbualan dengan ramai rakan pelbagai kaum, ternyata kandungan atau kisah Ponniyin Selvan belum diketahui sepenuhnya. Maka, saya berkongsi sedikit maklumat bagi membantu orang ramai lebih menikmati dan menghayati novel dan filem berkenaan.

Rencana penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Esei 2024.

Watak

Pelakon

Vandiyadevan

Karthi

Aditya Karikalan

Vikram

Sundara Chola

Prakash Raj

Kundavai

Trisha

Arulmoli Varman

Jayam Ravi

Nandini

Aiswarya Rai

Uttama Chola

Rahman

Periya Paluvetarayar

Sarathkumar

Chinna Paluvetarayar

Parthiban

Mandakini Devi

Aiswarya Rai

Vijayalaya Chola

Vijaykumar

Veerapandiyan

Nassar


Nota: Filem  Ponniyin Selvan (Bahagian 1) ditayangkan mulai 30 September 2022, manakala Ponniyin Selvan (Bahagian 2) mulai 28 April 2023. Trailer filem - klik di sini

(Rencana ini pertama kali tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di akhbar Utusan Malaysia pada 13 Ogos 2022. Teks asal ini dimuatkan di blog bagi tujuan dokumentasi. © Uthaya Sankar SB)