31 Aug 2021

Identiti Kebangsaan dan Penulis Kaum India

“Sepanjang penelitian saya, kajian tentang sastera Bukan Melayu ini masih kurang dalam kajian kita. Terutamanya untuk sasterawan-sasterawan Bukan Melayu sebelum era kemerdekaan [1957]. Kalau ditanya nama-nama sasterawan Bukan Melayu, saya tak dapat nak jawab sebab saya tak tahu.”

Demikian diakui secara jujur oleh Ahmad Muziru Idham bin Adnan pada forum “Menganyam Nusa: Sastera, Kemerdekaan dan Identiti Kebangsaan” anjuran Kawah Buku pada 30 Ogos 2021.

“Sejarah di Tanah Melayu pada ketika itu [zaman penjajahan British], bangsa/kaum dipecah kepada dasar pecah dan perintah. Orang Cina diletakkan di kawasan bandar, orang Melayu di kampung, orang India di estet. Jadi, perpecahan tersebut menyebabkan interaksi antara kaum itu kurang. … Akhbar-akhbar India [bahasa Tamil] lebih berfokus kepada budaya India dan dia juga fokus kepada meluahkan tentang isu eksploitasi buruh India di estet,” katanya lagi.

Saya menonton rakaman forum itu di YouTube pada 31 Ogos 2021 dan tertarik dengan hal-hal berkaitan penulis kaum India seperti dikemukakan oleh Ahmad Muziru Idham.

“Perbincangan tentang kesepaduan sasterawan untuk membangkitkan perlawanan itu [menentang penjajah] kurang jelas dalam kalangan kaum lain [Cina dan India]. Saya tidak pasti siapa nama-nama sasterawan kaum lain yang dominan dalam akhbar-akhbar mereka tersebut. Saya rasa memang menarik kalau ada sesiapa boleh membuat kajian merujuk kembali kepada akhbar-akhbar dalam bahasa tersebut [Cina dan Tamil] untuk melihat siapa sasterawan yang dominan mempersoalkan tentang isu kemerdekaan dan hak bangsa,” beliau mencadangkan.

Ahmad Muziru Idham yang berasal dari Kemaman, Terengganu merupakan graduan sarjana muda Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga pengasas bersama Jurnal Sang Pemula, “sebuah komuniti anak muda yang memperjuangkan wacana intelektual alternatif demi mencapai keadilan sosial”.

“Secara ringkasnya, kita dapat lihat perasaan sentimen kebudayaan bangsa itu [Cina dan India] … kesetiaan mereka masih kepada negara asal mereka [China dan India]. Sehinggalah kemerdekaan tercapai [1957] dan wujud novel-novel seperti Interlok [1971] dan sebagainya membawa satu gambaran perpaduan antara kaum penting untuk mewujudkan negara bangsa,” beliau menyimpulkan.

Dalam satu laporan bertajuk “Berjayakah Sastera Membentuk Identiti Kebangsaan?” (31 Ogos 2021), Karmila Azmi merumuskan pandangan Ahmad Muziru Idham seperti berikut:

“Keadaan ini berlarutan hingga selepas merdeka [1957] apabila pembabitan penulis bukan Melayu yang berkarya kreatif dalam bahasa Melayu masih kurang. Justeru, pembentukan identiti kebangsaan menerusi sastera itu tidak begitu efektif.”

Sekiranya kita mahu mendapatkan jawapan kepada persoalan mengapa kaum India kurang terlibat dalam sastera Melayu sebelum tahun 1963, buku kajian ilmiah berjudul Kavya Sastra (2021) wajar dibaca.

Mahu tahu tentang penulis Tamil dan perkembangan penulisan kreatif (cerpen dan novel) bahasa Tamil di Malaysia? Turut diperkatakan dalam buku Kavya Sastra. 

Ingin tahu tentang sumbangan penulis kaum India kepada perkembangan Sastera Kebangsaan? Dapatkan buku Kavya Sastra.