26 Nov 2019

Gambaran Budaya India dalam Cerpen – Bahagian 1


Siri rencana berjudul “Sasterawan Kavyan” (Eksentrika, 5 April 2017 – 17 Mei 2017), “Sasterawan Kavyan dan Sastera Kebangsaan” (Dewan Sastera, Jun 2017), serta “Kaum India dan Sastera Kebangsaan” (Eksentrika, 21 Mei 2019 – 28 Ogos 2019) memberi gambaran jelas mengenai sumbangan dan peranan golongan penulis kaum India di Malaysia kepada perkembangan Sastera Kebangsaan; khususnya cerpen Bahasa Malaysia.

Para pengkaji biasanya meneliti perkembangan dan penglibatan generasi baharu penulis kaum India dalam Sastera Kebangsaan menerusi Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP yang dimulakan pada tahun 1987; secara kebetulan selepas Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dimulakan pada tahun 1971 berjaya dilaksanakan sepenuhnya dari peringkat sekolah rendah hingga universiti.

Sesungguhnya, kajian dan penelitian terhadap cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan (penulis kaum India) dapat membantu kita memahami budaya komuniti itu sebagaimana disajikan secara penuh kreatif menggunakan Bahasa Malaysia.

Selain daripada siri tujuh buah antologi pemenang pertandingan Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) antara tahun 1988 dan 1998, saya turut menemui sebuah antologi lain yang kurang dikenali tetapi amat wajar diteliti.

Antologi cerpen Bermulanya di Sini (1991) adalah hasil usaha sekumpulan lapan mahasiswa tahun ketiga di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya sesi 1991/92. Mereka membukukan 14 buah cerpen karya asli mereka bagi memenuhi keperluan kursus Pengurusan Penerbitan.

Mereka terdiri daripada lapan penulis Bukan Melayu, iaitu empat penulis kaum Cina dan empat penulis kaum India. Daripada 14 buah cerpen, tujuh buah cerpen ditulis oleh penulis kaum India. Apabila diteliti, terdapat tiga buah cerpen yang memaparkan budaya kaum India.

Sebagai individu yang berminat melakukan kajian dan dokumentasi berkaitan pemaparan budaya kaum India dalam cerpen-cerpen Sasterawan Kavyan, saya berusaha meneliti ketiga-tiga cerpen itu menggunakan Teori Budaya.
Cerpen “Shamala” ditulis oleh Thilaga Vathy Rajoo yang berasal dari Teluk Intan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahiran sebelum melanjutkan pengajian di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya. Beliau yang kini menetap di Cheras merupakan pemilik ijazah sarjana komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Thilaga Vathy Rajoo memulakan kerjaya sebagai ejen kawalan kredit di bahagian kewangan DHL Malaysia pada tahun 1995. Sejak 2016, beliau memegang jawatan Pengarah Gateway DHL Malaysia dan kejayaan beliau turut mendapat liputan khas dalam akhbar Kosmo! (5 April 2019) dan New Straits Times (7 Mei 2019).

Rencana ini ditulis dalam tiga bahagian dan boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini pertama kali disiarkan di Eksentrika pada 19 November 2019. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Hubungi uthayasb@gmail.com jika ada sebarang pertanyaan.]