3 Oct 2018

Pemakaian Sari dalam Kalangan Wanita Tamil

Pernah sekali guru saya berkata, “Tidak kira moden atau tradisional, seseorang wanita India tetap tahu mengikat sari”. 

Saya kurang faham apa yang dimaksudkan oleh beliau pada masa itu, tetapi hari ini saya bangga menjadi seorang wanita Tamil yang tahu mengikat sari.

Sari adalah sehelai kain sepanjang enam ela dan dipakai bersama blouse dan pavadai. Ia dipakai mengikut bentuk badan seseorang wanita tanpa sebarang jahitan pada kain tersebut. Sari dikatakan telah wujud lebih 3,000 tahun dahulu.

Dalam kalangan wanita Tamil, sari dililit pada bahagian pinggang dan kemudian beberapa lipatan dibuat bersesuaian dengan pemakai sebelum disangkut pada pavadai di tengah pusat. Bahagian selebihnya dibuat satu lagi lilitan dan diletakkan di bahagian bahu kiri.

Sari merupakan pakaian yang penting dalam setiap majlis tradisi dan keagamaan orang Tamil. Terdapat pelbagai jenis sari seperti sari yang disulam dan sari yang dicetak mesin. Pemakaian sari melambangkan tradisi turun-temurun wanita Tamil.


[Esei pendek ini ditulis oleh Anuradha Chelliah sebagai salah satu usaha kecil-kecilan membantu Bangsa Malaysia mengenali budaya India/Hindu, serta “menyelamatkan” budaya India/Hindu daripada dicuri pihak lain. © Anuradha Chelliah 2018.]