4 Aug 2018

Mengenali Karya Klasik India


Berikut petikan bahagian “Prakata” dalam buku Thirukkural dan Megha Duta (2018):

Sepertimana anda semua, saya juga amat gemar menghayati pelbagai karya klasik, khususnya dari India. Sejak kecil, saya kagum dengan kisah-kisah pengembaraan dan keperwiraan yang disajikan menerusi epik dan purana India.

Minat dan rasa takjub saya terhadap kisah-kisah klasik dari India berterusan semasa saya belajar di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, SM King Edward VII di Taiping, dan seterusnya di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Walaupun bukan lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), saya tidak melepaskan peluang mendalami bahasa dan sastera Tamil. Begitu juga dengan karya pelbagai bahasa dari India dan negara-negara seluruh pelosok dunia. Penguasaan tribahasa memudahkan usaha ini; tambahan pula majoriti karya klasik dunia terdapat dalam terjemahan Bahasa Inggeris yang amat bermutu.


Karya Thirukkural amat dekat dengan kaum India, khususnya lepasan sekolah Tamil. Teks Bahasa Tamil ini bersifat sejagat dan sudah diterjemah kepada hampir semua bahasa utama dunia.

Dalam buku ini, saya hanya memilih 100 daripada 1,330 kural dalam Thirukkural untuk diterangkan dan dihuraikan secara mudah menggunakan Bahasa Malaysia supaya dapat difahami oleh masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang di Malaysia.

Puisi klasik Megha Duta yang asal ditulis oleh Kalidas dalam Bahasa Sanskrit. Ramai dalam kalangan kaum India di Malaysia mungkin hanya mengenali Kalidas menerusi filem Mahakavi Kalidas (1966), tetapi tidak tahu mengenai puisi klasik ini yang mendapat pujian dan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

Puisi ini merupakan karya asli Kalidas, berbanding karya-karya lain tulisannya yang mengangkat kisah-kisah daripada epik dan purana Hindu. Saya tidak melakukan terjemahan semula Megha Duta dalam bentuk puisi. Sebaliknya, saya menceritakan semula kisah romantik itu dalam bentuk prosa.


Apabila membaca puisi klasik Sanskrit ini, pasti ada beberapa perkara yang sedikit memeranjatkan anda kerana pelbagai amalan, norma, dan gaya hidup yang dianggap sesuai pada masa silam, kini dianggap tidak bermoral. Saya memaparkan semua itu seadanya, sebagaimana digambarkan oleh Kalidas.

Agak menarik juga untuk diperhatikan bagaimana puisi Megha Duta banyak membuat rujukan kepada watak Rama, Sita, dan Ravana daripada epik Ramayana; serta Pandava dan Kaurava daripada epik Mahabharata.

Pengalaman saya menangani kedua-dua teks klasik ini — Thirukkural dan Megha Duta — amat mengujakan. Semoga anda turut teruja membaca buku ini, serta berminat untuk membaca keseluruhan teks Thirukkural, menikmati puisi Megha Duta, serta mendalami pelbagai karya klasik dari India; sama ada dalam versi asal, terjemahan, atau penceritaan semula. ● [BELI BUKU INI SEKARANG]