Berikut petikan daripada cerpen-cerpen yang terkandung dalam
buku Ikan Patin dan Beruang Besar
(2017). Ulang cetak pada September 2024 - [maklumat di sini]
Putandu Valtugal
Tiga hari lalu, Pak
Cik Neo dan Mak Cik Neo pergi ke Kedah untuk cuba meminjam wang daripada
saudara-mara mereka di sana. Abang Peng Soon pula tidak mahu pergi kerana dia
tidak mahu ponteng sekolah.
Lalu, Etta
mengajak kawannya itu tinggal beberapa hari bersama-sama kami. Amma dan Acha
tidak keberatan. Pak Cik Neo dan Mak Cik Neo juga bersetuju. Aku juga gembira
kerana Abang Peng Soon seorang yang baik hati. Dia juga mengajar aku bercakap
Mandarin.
Ikan Patin dan Beruang Besar
“Wah, besarnya ikan patin ini! Siapa yang tangkap?”
Emak bersuara girang seraya mengusap rambut Adik yang masih tertawa dalam
pelukan Emak.
“Emak masak untuk makan malam, ya?”
“Baiklah, Kakak. Sekarang Adik perlu menolong Emak
menyiang ikan patin ini. Boleh?” Emak bertanya sambil mencubit mesra pipi kiri
Adik.
Emak mendukung Adik masuk ke dalam khemah. Saya
membawa masuk bakul rotan berisi ikan patin yang Ayah tangkap tadi. Ayah pula
duduk di luar khemah sambil mengipas kerana tidak tahan panas.
“Ayah, pasanglah pendingin
hawa. Adik juga rasa panas.”
Hadiah Impian
Pada sebelah
petang, Amma sedang berbual-bual kosong dengan beberapa orang jiran. Amma
menceritakan peristiwa beliau menerima panggilan telefon dari kedai barangan
elektrik.
“Mereka sedang
membuat promosi dan cabutan hadiah bertuah. Mereka menelefon rumah saya dan
mengatakan bahawa kami menang hadiah percuma. Akan tetapi, suami saya tak nak
bawa saya untuk ambil hadiah itu,” Amma menceritakan kepada jirannya.
“Kenapa pula? Bukan
senang nak dapat hadiah percuma. Mungkin barangan elektrik. Kalau dapat hadiah
kecil pun cukup,” kata Mak Cik Maimunah.
“Tapi jangan mudah
tertipu. Mungkin kedai itu cuba memaksa kakak membeli barang di kedai mereka,”
kata Mak Cik Teoh pula.
Dhurga sering
menyusun anak-anak patung itu di sekeliling meja kecil tempat dia belajar.
Kemudian, kanak-kanak itu akan berpura-pura sedang menikmati jamuan teh
bersama-sama anak-anak patung itu.
Dhurga juga
sering bercerita kepada anak-anak patungnya. Dia akan menceritakan semula
kisah-kisah yang pernah dibaca dalam buku cerita. Dhurga juga selalu bercerita
tentang kawan-kawan dan guru-guru di sekolah.
Kadang kala,
Dhurga akan mencipta cerita sendiri. Dia akan menggunakan watak ayah, emak,
abang dan dirinya sendiri dalam cerita yang direkanya.
Kanak-kanak itu
akan bercerita dengan penuh gaya di hadapan anak-anak patung yang disusun di
atas katil.
Kad
Ucapan untuk Bapa
“Adakah
cikgu juga menyambut Hari Bapa?”
Pertanyaan
salah seorang murid menyedarkan guru itu daripada lamunan singkat.
“Ya,
tentu sekali. Walaupun cikgu sudah dewasa dan sudah bekerja, cikgu tetap
menghargai pengorbanan ibu bapa,” Cikgu Selvam mengakui dengan penuh ikhlas.
Murid-murid
Tahun Lima di kelas itu mengangguk-angguk dan tersenyum gembira. Mungkin mereka
sedang berjanji dalam diri untuk melakukan perkara sama apabila dewasa.
“Cikgu
sudah bekerja. Jadi cikgu bolehlah membeli hadiah yang mahal untuk bapa cikgu,”
kata Ramanaidu, murid keturunan Telugu yang bertubuh besar tetapi bersopan-santun.
Tunas di
Sebuah Ladang
Pada waktu rehat,
suasana di SJKT
Ladang Siru Kambam mula riuh seperti selalu. Murid-murid makan, bermain,
berlari dan berbual-bual rancak menggunakan Bahasa Tamil. Rakan-rakan saya
sedang bermain jan jan jala di padang kecil.
Tanpa mengendahkan
semua itu, saya menuju ke bilik guru. Beberapa orang guru kelihatan sedang
makan sambil berbual-bual. Saya mencari-cari kelibat Cikgu Sharmini yang
memakai sari biru.
“Ya, boleh saya
bantu?”
Saya berpaling ke
arah suara itu, lalu tersenyum gembira melihat Cikgu Sharmini.
“Selamat pagi,
cikgu. Saya memang mahu berjumpa dengan cikgu,” saya menyatakan dengan penuh
sopan dalam bahasa kebangsaan.
“Wah, banyaknya
versi!” Jenny melahirkan rasa kagum.
“Benar, Jenny.
Malah, kisah Ramayana terdapat di seluruh dunia
dan dalam hampir semua bahasa utama dunia,” guru itu menjelaskan.
Dhurga, Amirul,
Jenny, See Hua dan Nathan semakin berminat untuk mendengar apa yang diceritakan
oleh Cikgu Hadebah.
“Cikgu memang
hebat! Semua benda cikgu tahu,” kata See Hua dengan bangga dan ikhlas.
Cikgu Hadebah
masih tersenyum manis.
“Cikgu bukanlah
hebat sangat. Cikgu tahu semua perkara ini melalui pembacaan,” kata guru itu.
“Kami juga suka
membaca, cikgu,” kata Amirul. “Tadi, oleh sebab hujan, kami berlima bercadang
mahu ke perpustakaan. Kebetulan kami lalu di sini dan ternampak cikgu di
kantin.”
Juadah Istimewa untuk Datuk
“Atuk tak minum?” Dhurga bertanya seraya memandang ke arah
datuk yang masih tekun membaca buku.
“Atuk puasa hari ini,” datuk menjawab sambil tersenyum.
“Puasa? Bulan Ramadan
masih jauh lagi, bukan?” Sugan bertanya dengan hairan.
“Atuk puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Puasa ini mengikut
sunah Rasulullah,” datuk menerangkan.
“Emak saya selalu berpuasa pada hari Selasa dan Jumaat
mengikut budaya Hindu,” Dhurga mencelah. “Kenapa pula
atuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis?”
Datuk menutup buku yang sedang dibaca. Kemudian beliau menerangkan
serba sedikit mengenai kelebihan umat Islam berpuasa pada hari Isnin dan
Khamis.
Sugan, Kee Boon dan Dhurga mendengar dengan penuh minat.
Aminah dan Aishah turut menumpukan perhatian.
Kelas Malam di Siru Kambam
“Sejak saya dan Kathiravan saling membantu dalam pelajaran,
markah saya dalam subjek Bahasa Tamil semakin baik. Saya pula mampu membantunya
dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Jadi, saya sangat menyokong cadangan
ini,” Jamuna berkata sambil tersenyum bangga.
Kesemua enam kanak-kanak berkenaan bersetuju untuk memulakan
sesi belajar secara berkumpulan. Mereka akan mendapatkan izin daripada ibu
bapa.
Kemudian, Mary Anne mengemukakan suatu pertanyaan penting
yang membuatkan mereka semua terdiam seketika.
“Di mana kita mahu belajar? Rumah kita semua tidak ada ruang
khas untuk belajar. Suasana di rumah juga kurang sesuai kerana ada gangguan
daripada adik-adik kecil, suara radio atau bunyi televisyen,” Mary Anne menghuraikan
isu yang diketengahkannya.
Masing-masing duduk diam dan termenung memikirkan kebenaran
kata-kata itu. Suasana di rumah mereka kurang kondusif dan tidak sesuai untuk
mengendalikan sesi belajar secara berkumpulan.
Pada akhir tahun lalu, ayah kehilangan kerja. Pihak majikan
menggunakan keadaan kesihatan ayah sebagai alasan untuk memujuknya berhenti
kerja.
“Ekonomi dunia memang sangat teruk sekarang. Bukan ayah
seorang sahaja yang dihentikan, tetapi ramai lagi,” kata ayah kepada saya dan
abang pada petang beliau menerima notis dihentikan kerja.
Menurut abang, kata-kata ayah memang benar. Banyak kilang
dan syarikat ditutup di seluruh dunia. Ramai yang hilang kerja, termasuk di Amerika
Syarikat.
Ayah dan emak hanya bekerja di kilang. Kesihatan ayah
sedikit terganggu sejak beberapa tahun lalu. Maka, keadaan itu dijadikan alasan
untuk meminta ayah berhenti kerja.
“Ayah mahu kamu berdua belajar rajin-rajin. Dapatkan
keputusan cemerlang dalam pelajaran. Belajar tinggi-tinggi dan jadilah pekerja
profesional,” pesan ayah.
Lihat juga: [Maklumat Buku] – [Penyunting
Bersekutu] – [Senarai Penyumbang] – [Baca
Cerpen Kanak-kanak] – [Jangan
Biar Minda Anak Berkarat] – [Projek Antologi Cerpen Kanak-kanak] – [Biodata Uthaya Sankar SB]