31 Jan 2017

Kau Sembah Apa di Depan Kaabah?

Judul buku ini mungkin sedikit mengelirukan. Pembaca mungkin menyangka ia ditujukan kepada pembaca Tidak Islam (Non-Muslim).

Judul Kau Sembah Apa? (2016) tentu sahaja memberikan gambaran seolah-olah soalan itu ditujukan khusus kepada golongan Tidak Islam; tambahan pula judul kecil menyebut “Berdialog dengan Non-Muslim”.

Bagaimanapun, sebenarnya, buku ini ditujukan khusus untuk pembaca Islam (Muslim) bagi membantu mereka melakukan penyebaran Islam kepada rakan-rakan, jiran tetangga, kenalan dan masyarakat Tidak Islam.

Penulis menegaskan pada bahagian pengantar buku: “Dakwah adalah elemen penting dalam Islam.”

Walaupun buku ini kononnya “mengisahkan tentang agama-agama di Malaysia” dengan menyentuh mengenai ajaran Buddha, Tao, Kristian, Hindu dan Sikh, tujuan buku ini amat jelas: “mencari peluang untuk cuba kongsikan apa itu Islam kepada mereka [Tidak Islam]. Semoga terdetik di dalam hati pembaca [Islam] yang budiman untuk terus merangka gerakkan [sic] dakwah bagi menyahut seruan golongan Ansarullah [penolong agama Allah].”

Dalam konteks Malaysia, penyebaran Islam kepada orang Tidak Islam tidak menjadi kesalahan. Buku ini pula secara terang-terangan bertujuan menyumbang ke arah itu. Seperti kata penulis, “Bagi memulakan dakwah dan seruan Islam kepada Bukan Islam [Tidak Islam], adalah penting bagi mengenal agama-agama yang dianuti oleh mereka.”

[Kiswah/kelambu Kaabah dibadai ribut pada 19 Ogos 2018]
Menurut penulis lagi: “Sebagai umat Islam, kita perlu berfikiran terbuka dan mempunyai strategi dalam berdakwah.”

Maka, jelaslah bahawa tujuan buku ini bukan untuk membantu usaha persefahaman antara agama yang mampu memupuk perpaduan, toleransi dan rasa saling menghormati antara penduduk pelbagai etnik, kaum, agama dan kepercayaan di Malaysia. Tidak sama sekali!

“Apabila mengenal isu dan hal yang berkaitan dengan agama lain [Tidak Islam], maka ia akan memberi kefahaman kepada kita [pendakwah Islam] bagi berurusan dengan mereka. Toleransi tidak bermakna mengakui agama mereka benar.”

Penulis mengaku secara terang-terangan bahawa tujuan “mengenali agama-agama lain” adalah semata-mata kerana penganut agama-agama berkenaan [Tidak Islam] “menjadi sasaran dakwah kita”.

Motif Penulis Amat Jelas Sejak Awal

Pada pandangan saya sebagai pengamal multi-faith, orang Tidak Islam juga wajar membaca – dengan membeli atau meminjam – buku-buku seperti ini supaya dapat bersiap siaga untuk berdepan dengan apa-apa bentuk atau cubaan dakyah yang dilakukan pihak tertentu untuk memujuk, menghasut atau memaksa mereka meninggalkan agama asal.

Buku ini berusaha menekankan bahawa “Islam adalah agama untuk semua umat” dan “semua tamadun yang wujud di dunia ini ada kaitan dengan agama ini.”

Agak menarik juga kerana walaupun “agama Hindu adalah agama yang paling tua” serta merupakan agama tauhid pertama di dunia, penulis mengingatkan pembaca sasaran [Islam]: “Sebagai seorang Muslim, menjadi kewajipan untuk beriman bahawa agama Islam adalah agama yang paling tua.”

Awal-awal lagi, pembaca diingatkan bahawa “kitab Taurat [diwahyukan kepada Nabi Musa] dan Injil [diwahyukan kepada Nabi Isa] sudah banyak diselewengkan dan sudah tidak relevan dengan dunia kontemporari.”


[Miliki segera -- Thirukkural dan Megha Duta]

Menyentuh tentang agama Samawi – iaitu agama langit; atau agama yang diwahyukan – kita semua tahu bahawa agama Yahudi, Kristian dan Islam adalah agama Samawi.

Akan tetapi, pembaca buku ini diingatkan: “Agama Samawi hanya satu, iaitu agama Islam. Manakala Yahudi dan Kristian adalah agama risalah Samawi, bukan agama Samawi.”

Maklumat mengenai agama Buddha (serta agama-agama lain; selain Islam) dalam buku ini seratus peratus bermotif menyebarkan Islam kepada golongan Tidak Islam.

“Realiti yang sepatutnya ada pada medan dakwah hari ini adalah perlu menumpu kepada penganut Buddha kerana jumlah mereka adalah majoriti [19.8%] selepas penganut Islam [61.3%] di Malaysia,” kata penulis buku ini.

Maka, penganut agama Buddha di Malaysia serta organisasi yang menjaga kepentingan penganut agama Buddha wajar membuka mata. Apatah lagi, penulis buku ini menyatakan: “Mendekati penganut Buddha [bagi tujuan dakwah] bukanlah sesuatu perkara yang sukar. … kita [pendakwah] tidak memerlukan pendedahan ilmiah dan ilmu perbandingan agama yang mendalam.”

Tambahan pula, menurut buku ini, “Ramai juga dalam kalangan kaum Cina sudah mula tidak percaya kepada institusi keagamaan Buddha, terutama kepada bikhu [sami Buddha] mereka.”

Masa Untuk Bangkit, Kuatkan Iman!

Sewaktu memperkatakan mengenai agama Kristian pula, penulis buku ini berkata: “Nabi Isa [Jesus] membawa syariat Islam kepada kaum baginda dan menyeru supaya tidak mensyirikkan Allah. Tetapi, agama yang dibawa oleh Nabi Isa sudah diseleweng dan diubah oleh seorang tokoh pada zaman awalnya, terutama Saint Paul.”

Dalam membicarakan agama Hindu, dinyatakan oleh penulis: “Di Malaysia juga, agama ini [Hindu] hanya dianuti oleh orang India. Selain itu juga, agama ini adalah agama politeisme yang memiliki banyak Tuhan. … mereka [penganut Hindu] juga mempercayai kewujudan berjuta-juta dewa.”

Diselitkan kisah mengenai “seorang sahabat daripada kaum India yang menganut agama Hindu”. Individu bernama J. Jayabalan yang berasal dari Perak dikatakan “bukanlah seorang penganut Hindu yang taat” dan “hanya sekadar Hindu mengikut tradisi keluarganya”.

Hasil penyebaran agama yang dilakukan secara terancang oleh penulis buku ini, maka “Jayabalan mula meneliti kembali agama Hindunya di samping berminat dengan Islam”.

Seperti yang dinyatakan sejak awal, segala kandungan buku ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan berdakwah iaitu “bagi menyampaikan Islam kepada orang bukan Islam [Tidak Islam] dengan cara terbaik yang mengikut kemampuan”.



[Malaiur Manikam -- Buku yang dibenci puak tertentu]

Badan-badan keagamaan yang menjaga kebajikan penganut agama Buddha, Tao, Kristian, Hindu, Sikh dan agama-agama lain wajar mengambil iktibar daripada kelahiran buku-buku seperti ini untuk melipatgandakan usaha ke arah memastikan penganut agama terbabit kukuh keimanan, serta tidak menjadi mangsa dakyah mana-mana pihak.

Saranan ini tidak salah, sebaliknya selaras hak kebebasan beragama yang diperuntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia kepada penganut agama-agama selain Islam.

Berbalik kepada judul buku ini – Kau Sembah Apa? – ternyata ia bertujuan mempersoalkan apa yang disembah golongan Tidak Islam. Seolah-olah mereka “sesat” dan “bersalah” dengan apa yang mereka sembah.

Dalam pada itu, bayangkan pula apa akan berlaku jika ada orang menulis buku perbandingan agama dengan judul Kau Sembah Apa di Depan Kaabah? dengan tujuan “Berdialog Dengan Muslim”.

Baca juga -- Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha Berasal Daripada Islam? dan Why Belittle Indians Annually? dan Maklumat Sebenar India dan Hindu 

Jika anda ada sebarang pandangan berhubung topik ini, sila kirim ke uthayasb@yahoo.com.my sebelum 15 Februari 2018 berserta nama penuh (sebenar), alamat e-mel, nombor telefon dan nombor MyKad. Pandangan terpilih akan disunting dan dimuatkan di blog (berserta nama). Komen yang membunuh bahasa tidak dilayan.