7 Jan 2017

Kaatu Perumal

Judul: Kaatu Perumal: Folk Hero of Sungai Siput
Penulis: Dave Anthony
Penerbit: Parsosma Enterprise
Tahun: 2015 (Cetakan Pertama)
Tebal: 86 halaman
Harga Pasaran: RM18.00
Harga Saya: [RUJUK DI SINI]

Komunis sering diberikan gambaran negatif di negara ini. Orang komunis – termasuk ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada 1930 – dilabel sebagai pengganas dan pembunuh yang kejam.

Label demikian mula-mula diberikan oleh penjajah British. Anehnya, walaupun komunis di Malaya pada mulanya menentang penjajah dan kapitalis British, akan tetapi PKM dan British bekerjasama menentang Jepun di Malaya (1941-1945). Apabila British kembali menjajah Malaya (1945), komunis juga kembali menentang penjajah berkenaan.

Buku teks Sejarah terus melabel komunis sebagai pengganas. Darurat (1948-1960) menguatkan lagi gambaran negatif mengenai pejuang/tentera komunis. British muncul sebagai wira, manakala komunis yang berjuang demi tanah air diberikan label pengganas yang kejam.

Benarkah anggota komunis – Cina, Melayu dan India – merupakan pengganas yang menzalimi orang awam? Mungkinkah benar pemerintah (British) menganiaya orang awam dengan menjadikan komunis sebagai alasan?

Inilah antara persoalan penting yang turut diketengahkan menerusi buku Kaatu Perumal: Folk Hero of Sungai Siput (2015) tulisan Dave Anthony. Buku ini terhasil menerusi cerita lisan daripada sekumpulan warga emas yang diwawancara oleh penulis di sekitar Sungai Siput, Perak.

Siapakah sebenarnya Kaatu Perumal? Mengapa dan bagaimana seorang pemuda dari estet menyertai gerakan komunis, lalu menjadi buruan British? Benarkah dia seorang yang zalim? Malah, benarkah Kaatu Perumal gagal dibunuh tentera British?

Dave Anthony memberikan contoh Kerala Varma Pazhassi Raja dan Udham Singh sebagai contoh awal pejuang antipenjajah di India. Pasti ada ciri-ciri dan keperibadian tertentu pada diri Kaatu Perumal yang membuatkan warga emas di sekitar Sungai Siput masih menganggapnya sebagai wira yang wajar diraikan dan dikenang.

Buku setebal 86 halaman ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk menilai semula makna komunis dari sudut yang berbeza. Kita berpeluang mengenali hati-budi dan perjuangan seorang individu yang sanggup berkorban demi orang ramai. Perjuangan Kaatu Perumal bukan untuk dirinya, tetapi untuk kaum India khasnya, dan orang ramai amnya.

Kehidupan – dan kematian – Kaatu Perumal penuh misteri. Hal ini demikian kerana sejarah hanya merekodkan dan mendokumentasikan hal-hal berkaitan kebaikan “tuan” seperti penjajah British, dan seterusnya orang tempatan yang meneruskan gaya “penjajahan” British.

Memandangkan buku ini ditulis berdasarkan penceritaan lisan, memanglah kesahihan fakta boleh dipertikaikan. Akan tetapi, pada masa sama, usah lupa bahawa teks-teks keagamaan juga pada mulanya disampaikan secara lisan sebelum usaha diambil untuk merekodkannya dalam bentuk bertulis.

Sejarah lisan wajar dihormati dan diberikan ruang yang sewajarnya. Walaupun mungkin ada fakta yang sedikit bercelaru, malah bercanggah – termasuk dalam kalangan individu yang diwawancara bagi tujuan buku ini – tetapi kepentingan sejarah lisan perlu diakui dalam usaha kita untuk sama-sama mengetahui sejarah sebenar di negara bertuah ini.

Pembacaan buku Kaatu Perumal akan mampu membuka mata dan minda kita untuk melihat dan berfikir di luar daripada acuan yang sudah sekian lama dibentuk oleh “penjajah” (luar dan dalam).

Sila hubungi saya menerusi mesej peribadi – Facebook atau uthayasb@yahoo.com.my – sekiranya anda berminat membeli buku ini. Hanya sementara stok masih ada. Anda juga mungkin berminat membeli: [RUJUK SENARAI DI SINI]