Devinish didukung oleh Presiden DHRRA Malaysia. |
“Saya sudah dapat surat, jadi lepas ini saya boleh pergi ke
sekolah.”
Demikian kata Devinish a/l Thaarmarrajan (5 tahun) yang
begitu petah bercakap.
Kanak-kanak ini mungkin tidak tahu makna sijil kelahiran dan
kewarganegaraan, tetapi dia ternyata amat gembira apabila mendapat tahu bahawa
isu dokumen pengenalan diri yang dihadapi sejak lahir, kini sudah selesai.
Isu bermula apabila ibu bapanya, Thaarmarrajan a/l Suresh
Kumar dan Dayaseela a/p Vasudevan hanya berkahwin mengikut adat budaya, tanpa
mendaftarkan perkahwinan secara sah di sisi undang-undang negara.
Maka, selepas Devinish lahir, timbul masalah untuk
mendapatkan sijil kelahiran.
Saudara-mara mula bertanya dan memberikan nasihat, demi masa
depan kanak-kanak itu.
“Apabila kami membawa Devinish ke hospital dan klinik jika
sakit, selalu kami kena marah dan diberikan nasihat oleh doktor dan jururawat.
Akhirnya, kami sedar betapa kami buat kesilapan,” Thaarmarrajan berterus-terang
sewaktu ditemui pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Parit Buntar,
Perak pada 28 Ogos 2016.
Sebagai langkah pertama, Thaarmarrajan dan Dayaseela
mendaftarkan perkahwinan mereka. Selepas itu, timbul pula masalah untuk
mendapatkan sijil kelahiran bagi Devinish dan adiknya, Logeswaran.
“Ada pihak yang datang dan berjanji mahu membantu, tapi
mereka mengambil semua dokumen asal dan menghilangkannya. Semasa kami hampir
putus asa, kami mendapat tahu mengenai DHRRA Malaysia,” Thaarmarrajan mengimbas
kisah yang berlaku beberapa tahun lalu.
Berbekalkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, pegawai
DHRRA Malaysia berjaya membantu menguruskan proses permohonan lewat untuk
mendapatkan sijil kelahiran bagi Devinish dan Logeswaran.
Keceriaan yang terpancar pada wajah Devinish memberikan
kelegaan kepada ibu bapanya. Mereka bersyukur kerana berjaya bertindak dengan
cara yang betul sebelum terlewat dalam mendapatkan sijil kelahiran untuk anak-anak.
Sekiranya anda
mengenali sesiapa yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri – seperti sijil
kelahiran, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, sijil anak angkat, atau pendaftaran
perkahwinan – sila hubungi DHRRA Malaysia untuk nasihat dan bantuan.
Anda juga boleh
menghubungi saya menerusi uthayasb@yahoo.com.my atau 016-3288142 atau www.facebook.com/uthaya untuk menyalurkan maklumat.
Paparan ini adalah di bawah program #MerdekaPertamaKu
yang meraikan individu yang baharu menerima dokumen pengenalan diri. Baca juga - Kasih Seorang Ibu