Latchimi a/p Mariappan lahir pada tahun 1961 dan mengalami
kecacatan kekal sejak usia muda. Wanita berumur 52 tahun ini dijaga oleh
ibunya, Mariyayee a/p Doriasamy (76 tahun), seorang ibu tunggal.
Anak-beranak ini tinggal di Yong Peng, Johor. Latchimi yang
menghadapi masalah pertuturan tidak pernah pergi ke sekolah, maka tidak tahu
membaca dan menulis.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada anak
kesayangan ini jika saya sudah tiada,” keluh Mariyayee yang menyedari pelbagai
masalah yang pasti dihadapi oleh Latchimi.
Sejak Latchimi berumur 18 tahun, jiran-tetangga mula
menasihati Mariyayee tentang perlunya mendapatkan sijil kelahiran bagi
Latchimi.
“Ada beberapa pihak yang datang dan berjanji akan membantu,
tetapi janji hanya tinggal janji. Lapan lagi anak saya ada dokumen pengenalan
diri, tetapi mereka juga tidak tampil membantu,” warga emas itu menceritakan
pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Paloh, Johor, pada 27 Ogos
2016.
Pegawai DHRRA Malaysia yang mendapat tahu mengenai kes ini
segera mengunjungi Mariyayee dan Latchimi untuk membantu mereka dalam proses
mengemukakan permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kini, Latchimi memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan
biru. Pegawai DHRRA Malaysia akan membantunya membuat permohonan bagi bantuan
kebajikan dan kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Sekiranya anda
mengenali sesiapa yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri – seperti sijil
kelahiran, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, sijil anak angkat, atau pendaftaran
perkahwinan – sila hubungi DHRRA Malaysia untuk nasihat dan bantuan.
Anda juga boleh
menghubungi saya menerusi uthayasb@yahoo.com.my atau 016-3288142 atau www.facebook.com/uthaya untuk menyalurkan maklumat.
Paparan ini adalah di bawah program #MerdekaPertamaKu
yang meraikan individu yang baharu menerima dokumen pengenalan diri. Baca juga - Usia Bukan Penghalang