8 Apr 2015

Zunar Mahu Guna Kartun Tumbangkan “Kerajaan Kartun”

Apakah komik dan kartun akan mampu menggugat sebuah kerajaan yang memerintah sebuah negara lebih 57 tahun?

Persoalan ini mungkin kurang masuk akal tetapi wajar juga direnungkan sebentar. Apatah lagi melihat pada perkembangan terbaru melibatkan kartunis Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque.

Buku kartun terbaru beliau berjudul Ros in Kangkong Land sepatutnya dilancarkan di Taman Tasik Jaya, Petaling Jaya pada 14 Februari 2015. Saya turut pergi atas undangan rakan-rakan kartunis.

“Buku yang sepatutnya dilancarkan hari ini telah dirampas oleh polis tetapi kita bernasib baik kerana berjaya membawa beberapa naskhah sahaja untuk majlis pelancaran,” Zunar mengumumkan kepada peminat dan orang ramai yang berkumpul dengan penuh minat untuk memiliki buku terbarunya.

Menurut laporan Malaysiakini (14 Februari 2015), buku berkenaan mengandungi karikatur Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Saya mengenali Zunar dan isterinya serta Kumpulan Kartunis Independen (KKI) yang dinaungi Zunar. Saya berpeluang menjadi penterjemah bagi sejumlah kartunnya untuk pameran solo di Galeri Shah Alam pada September 2012.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa Zunar amat kritikal dan kritis serta berani mengkritik pemerintah. Keberanian itulah yang dikatakan “menakutkan” kuasawan.

Seperti turut dilaporkan Utusan Malaysia (11 Februari 2015), kartunis kontroversi itu direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung komennya dalam Twitter yang dikatakan berbaur hasutan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari sebelumnya.

Zunar dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat. Beliau datang ke majlis pelancaran buku pada Sabtu dengan memakai baju dan seluar warna ungu, hampir sama dengan baju yang dipakai semasa ditahan reman.

Tangan kirinya dipasang gari mainan untuk “mengingatkan” khalayak bahawa dia baru-baru ini ditahan polis.

Buku Dirampas, Majlis Pelancaran Diteruskan

Sepanjang hampir sejam saya berada di Taman Tasik Jaya, Zunar kelihatan ceria, sementara isteri dan ahli KKI yang bersama-sama membantu menguruskan majlis pelancaran sibuk dengan tugas masing-masing.

Walaupun selepas mendapat berita lebih 200 naskhah buku Ros in Kangkong Land dirampas pihak berkuasa, Zunar tetap bertenang. Beliau segera memaklumkan bahawa orang ramai masih boleh membuat tempahan dan buku akan dikirim dalam masa terdekat.

Amat nyata bahawa perkembangan terbaru (rampasan buku) tidak akan mematahkan semangat perjuangan Zunar. Beliau menegaskan akan terus menghasilkan buku-buku dan kartun baru yang “lebih keras” tanpa tunduk pada tekanan kuasawan.

Sehingga makalah ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung rampasan buku berkenaan. Zunar pula tidak menolak kemungkinan ditahan semula berikutan penerbitan buku ini.

Isterinya, Fazlina Rosley menerusi catatan di Facebook mengimbas kejadian pada 24 September 2010 di mana buku Cartoon-o-phobia dilancarkan tanpa kehadiran si pelukis kerana Zunar ditahan di bawah Akta Hasutan dan dipenjarakan selama dua hari.

“Lima tahun kemudian, hari ini (14 Februari 2015), buku Zunar dilancarkan tanpa buku itu,” katanya yang menyifatkan segala apa yang berlaku sebagai “Drama di Bolehland”.

Selepas dibebaskan daripada tahan reman pada Jumaat, Zunar terus melepaskan gian dengan menikmati roti telur dan teh tarik kegemarannya. Kemudian, beliau menerusi Facebook merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terus menyokong perjuangannya.

“Saya memberi jaminan ‘Perjuangan Melalui Kartun’ untuk menentang kerajaan kartun akan diteruskan!” Demikian katanya tanpa sedikit pun rasa gentar.

Mengenai buku terbaru yang khabarnya dirampas polis, Zunar tanpa berselindung mengaku Ros in Kangkong Land didedikasikan kepada Rosmah yang menjadi sumber inspirasinya.

Rosmah Jadi Sumber Inspirasi Berterusan

“Buku ini mengenai Rosmah yang merupakan idola dan individu yang memberikan banyak inspirasi kepada saya. Setiap kali Rosmah buka mulut, saya dapat inspirasi. Setiap kali dia diam, saya tak ada inspirasi,” katanya semasa berucap kepada hadirin di Taman Tasik Jaya pada Sabtu.

Antara buku kartun satira penuh kontroversi yang dihasilkan oleh Zunar termasuk Pirates of the Carry-BN (2013), Ini-Kartun-Lah (2013), 1 Moolaysia (2012) dan 1 Funny Malaysia (2010). Kebanyakan buku ini diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas alasan “mengancam ketenteraman awam”.

Zunar pada awal bulan ini mengumumkan menerusi blognya bahawa beliau diundang berucap mengenai topik hak berkarya dalam sebuah forum sempena Sesi Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Geneva pada 6 Mac 2015.

“Dalam ucapan (forum), saya akan menekankan bahawa hak ekspresi seniman harus diletak di tempat teratas dan tidak boleh dikompromi.

“Saya juga akan menyentuh mengenai komitmen yang sangat minimum oleh PBB bagi melindungi artis termasuk kartunis, sehingga menyebabkan ekstrimis dan regim korup seperti di Malaysia terus menekan kreativiti para seniman,” katanya.

Ketegasan dan keberanian Zunar untuk terus berjuang menerusi kartun mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial daripada Rangkaian Hak Asasi Kartun Antarabangsa (CRNI) pada 2011, dan anugerah Hellman Hammtt sebagai “pembela hak asasi” daripada Human Rights Watch pada 2011.

Melihat kepada segala perkembangan ini – khususnya sejak gerakan Reformasi pada 1998 – pertanyaan yang masih bermain dalam minda masyarakat umum adalah apakah Zunar mampu menggunakan kartun dan komik untuk mengugat kerajaan, kuasawan dan pemerintah?

Zunar tanpa berselindung menggunakan frasa “Kerajaan Kartun” dan beliau bertegas untuk tidak sesekali berhenti daripada berjuang menerusi kartun untuk menumbangkan “kerajaan kartun” berkenaan.

Mengulas perkembangan terbaru berikutan rampasan buku Ros in Kangkong Land oleh pihak berkuasa, Zunar dalam kenyataannya yang disiarkan di The Malaysian Insider (14 Februari 2015) menyatakan kesediaan untuk ditahan semula oleh polis.

Katanya, segala tindak-tanduk kerajaan pusat terhadapnya sejak beberapa tahun lalu memberikan gambaran jelas seolah-olah Putrajaya adalah “kartun”.

[Makalah ini ditulis pada 14 Februari 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 15 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]