Sejak awal Disember 2014, saya terdengar
suatu promosi khas berkaitan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
di MinnalFM iaitu stesen radio Tamil milik Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Promosi khas itu disiarkan
sekurang-kurangnya sekali setiap jam bagi menggesa ibu bapa Tamil menghantar anak-anak ke SJKT
kerana “sekolah Tamil adalah identiti kita”.
Pada 26 Disember 2014, saya menggunakan
ruangan status pada Facebook untuk
merakamkan ucapan terima kasih kepada RTM dan menteri terbabit kerana
memberikan ruang seluas-luasnya bagi penyiaran promosi itu.
Orang ramai yang berpeluang mendengar
promosi itu pasti sedar betapa ia menyampaikan mesej tersirat seolah-olah hanya
SJKT adalah identiti dan jati diri kaum India.
Untuk makluman, kaum India di Malaysia
sebenarnya terdiri daripada pelbagai keturunan (contohnya Malayali, Telugu dan Tamil) yang berbangga dengan
bahasa ibunda masing-masing (contohnya Malayalam, Telugu dan Tamil).
Bersama-sama rakaman penghargaan di Facebook, saya mencatatkan “untuk rekod,
keluarga saya pergi ke sekolah kebangsaan (SK) dan kami masih mengekalkan
identiti dan jati diri.”
Paparan tersebut segera mendapat reaksi
daripada pensyarah Bahasa Tamil di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti
Malaya, Mannar Mannan Maruthai.
“Apa maksud anda dengan ‘keluarga saya
pergi ke SK dan kami masih mengekalkan identiti dan jati diri’? Nampaknya
saudara memperlikan usaha MinnalFM,” katanya.
Memang menghairankan kerana tiada sebarang
unsur memperli pada paparan berkenaan. Apa yang saya tulis adalah 100 peratus
fakta.
Masakan saya mahu menipu dengan mengatakan
kami sekeluarga (sejak 1970-an hingga kini) pergi ke SJKT sedangkan kami
sebenarnya ke SK.
Atau mana boleh saya menipu dengan berkata
kononnya kami sekeluarga hilang identiti dan jati diri sebagai kaum India dan
keturunan Malayali serta penutur Bahasa Tamil kerana tidak pergi belajar ke
SJKT.
Ebenezer
Jegatheesan yang berasal dari Muar, Johor menulis
komen bahawa beliau menghormati pandangan Mannar Mannan.
“Asalkan Uthaya masih mengekalkan identiti
kaum India, saya tidak melihat sebarang masalah. Malah saya sendiri belajar di
SK. Penguasaan Bahasa Tamil saya amat sederhana tetapi
sekurang-kurangnya saya mampu bertutur menggunakan bahasa itu,” kata pelajar
diploma pengurusan perniagaan itu.
Pada pandangan Kalidas Muniandy dari Pulau Pinang, ada pihak yang merasakan
tindakan menghantar anak-anak ke SJKT dapat menjamin kelangsungan hidup bahasa
dan identiti kaum.
“Ada pula yang kurang bersetuju. Kalau anda
fikir anda boleh menghantar anak-anak ke SK dan masih terus mampu mengekalkan
identiti, teruskan. Pada saya, ada hubungan erat antara bahasa dan budaya,”
kata graduan Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Seorang lagi rakan dari Pulau Pinang, Krishnan @ Krishna berpendirian tegas
bahawa “dengan menghantar anak-anak ke SJKT, kita sedang mencipta lebih banyak
peluang bagi masyarakat kita sendiri.”
Seorang peguam, Vehl Murali dari Kuala Lumpur menegaskan kedudukan Bahasa Tamil
sebagai “asas identiti dan budaya Tamil”.
“Identiti amat penting, khususnya di negara
ini kerana kita sering diingatkan tentang perkara itu dalam setiap hal. Hilang
identiti kaum samalah seperti hilang identiti diri,” kata graduan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa ibu
bapa berhak mementingkan aspek kualiti pendidikan berbanding aspek bahasa
pengantar dalam membuat pilihan sekolah untuk anak-anak.
Seorang lepasan SK, Aslambigai dari Sentul, Kuala Lumpur meluahkan kekecewaan kerana
tidak berpeluang belajar di SJKT; dan tentunya komen beliau mendapat ucapan
tahniah (“kudos”) daripada Mannar
Mannan.
“Saya boleh bercakap Tamil di rumah tetapi
masalah saya adalah tidak boleh berfikir dalam Bahasa Tamil. Saya berfikir
dalam bahasa asing, khususnya Inggeris. Saya sedih kerana saya tidak mampu
membaca sastera dan puisi Tamil.
“SJKT adalah jambatan yang menghubungkan
generasi akan datang dengan ibu bapa, keluarga, saudara-mara, budaya, sejarah,
identiti dan agama. Bahasa Tamil adalah ‘bahasa agama’ yang mampu menjamin
generasi akan datang terus mengekalkan kepercayaan dan pegangan agama Hindu,” katanya.
Semasa perkongsian pandangan sedang berlaku
secara terbuka di dinding Facebook
saya, beberapa orang menghubungi saya secara peribadi.
Hasil daripada belasan mesej peribadi yang
saya terima, ternyata kata-kata “keluarga saya pergi ke SK dan kami masih
mengekalkan identiti dan jati diri” dianggap menyentuh sensitiviti pihak
tertentu.
Kononnya kenyataan atau fakta itu
bertentangan dengan kempen besar-besaran yang sedang dijalankan para pejuang
Bahasa Tamil untuk menggalakkan ibu bapa kaum India menghantar anak-anak ke
SJKT.
Seorang guru sebuah SJKT di Selangor turut
menghubungi saya dan meminta namanya tidak dipaparkan kerana takut dipulaukan
pihak tertentu.
Katanya, apabila Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada tahun 2003,
ramai ibu bapa kaum India menghantar anak-anak ke SJKT. Bukan untuk belajar
Bahasa Tamil tetapi semata-mata kerana PPSMI.
Sejak PPSMI dimansuhkan pada 2012 dan
kedua-dua mata pelajaran itu kembali diajar menggunakan Bahasa Tamil di SJKT,
kelompok ibu bapa yang mementingkan kualiti pendidikan khabarnya semakin
beralih kepada SK atau sekolah persendirian.
“Sebagai usaha menyelamatkan SJKT daripada
ditutup, para pejuang Tamil dan politikus kaum India menggunakan sentimen
bahasa Tamil, budaya Tamil dan agama Hindu untuk menarik minat masyarakat,”
kata guru berkenaan.
Seorang guru dari sebuah sekolah menengah
di Cameron Highlands, Nachammal
Nachiamuthu turut mengingatkan bahawa ramai ibu bapa kaum India masa kini
memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah persendirian walaupun mereka
mencintai bahasa ibunda.
Tentulah makna “budaya Tamil” dan “identiti
Tamil” dalam perbincangan yang berlaku sedikit mengelirukan dan agak samar
maksudnya. Demikian juga dirasakan graduan Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM), Abdul Rahman Shah
menerusi komennya.
“Apakah identiti dan budaya Tamil
ditetapkan secara genetik dan biologikal? Apakah hanya ditentukan menerusi
penguasaan bahasa; iaitu kemampuan membaca dan bertutur Tamil?”
Abdul Rahman mengambil contoh individu yang
secara biologikal adalah orang Tamil tetapi tidak tahu bercakap Bahasa Tamil.
Beliau bertanya sama ada orang itu akan dianggap “Tamil murtad”.
Seperti yang dapat diduga, tidak ada
mana-mana “pejuang Tamil” yang tampil memberikan penjelasan terhadap kekeliruan
yang diketengahkan oleh Abdul Rahman.
Tiru
Mohan dari Kuala Lumpur mengemukakan beberapa
pertanyaan yang juga tidak pula dijawab oleh para pejuang Tamil.
“SJKT selalu menjadi pusat aktiviti agama
Hindu. Apakah kaitan antara Bahasa Tamil dan ajaran Hindu dalam konteks
pendidikan? Orang selalu keliru dengan agama dan budaya. Ponggal adalah acara budaya, tetapi
mengapa acara keagamaan seperti Navarathiri diraikan di sekolah?”
Demikian pandangan pemuda ini di mana
beliau dan isterinya memang bekas murid SJKT. Beliau bukan menolak SJKT tetapi
menegaskan hakikat bahawa usaha menyuburkan serta mengekalkan identiti dan
bahasa ibunda perlu bermula di rumah; bukan hanya apabila masuk ke sekolah.
Seorang lagi rakan yang berkongsi pandangan
ialah Novah Guruloo, graduan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.
“Kita perlu berbangga dengan adanya salah
satu bahasa tertua di dunia dengan begitu banyak peluang untuk melatih
anak-anak berfikir dalam pelbagai bidang.
“Sebagai produk SJKT, saya berbangga dapat
bertutur, menulis dan membaca Bahasa Tamil. Bahasa Tamil tidak hanya berpihak kepada
satu agama tetapi dapat menyatukan semua agama serta membuka ruang ke arah
perpaduan,” katanya.
[Nota: Novah memaklumkan selepas makalah ini disiarkan bahawa “kami
sekeluarga dapat membaca, bertutur dan menulis dalam Bahasa Telugu dan Tamil,
dan kami bukan beragama Hindu.”]
Hasil komen yang diterima (khususnya
menerusi mesej peribadi), ternyata sentimen terhadap SJKT masih tinggi. Ramai
yang melatah apabila saya berterus-terang mengatakan saya dan keluarga belajar
di SK, serta kami masih mampu mengekalkan identiti dan jati diri.
Saya meminta rakan-rakan tampil berkongsi pandangan
mengenai kehebatan dan kelebihan SJKT. Akan tetapi, hanya Novah dan Aslambigai
tampil merebut peluang itu.
Rata-rata “pejuang Tamil” memilih untuk
berdiam diri; mungkin kerana keberatan mengemukakan komen menggunakan Bahasa
Malaysia.
Aslambigai menceritakan bahawa beliau
selalu mendengar daripada rakan-rakannya mengenai kekurangan bahan bacaan serta
perkakas teknologi di SJKT.
“Mungkin kerana kekurangan wang, maka
kebanyakan SJKT tidak dapat berfungsi setanding SK. Pada saya, kekurangan dan
kelebihan SJKT bergantung pada komitmen guru besar dan guru-guru,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun Bahasa Tamil
bukan bahasa ekonomi atau bahasa kebangsaan di negara ini, penguasaan bahasa
itu dapat membantu percambahan akhlak berprinsipkan jati diri kaum India.
Apa-apa pun, beberapa hari selepas
perbincangan berlangsung di Facebook,
promosi di MinnalFM mengalami perubahan. Promosi yang disiarkan setiap jam
sudah dipendekkan menjadi “SJKT pilihan kita” sahaja.
Apakah saya perlu menarik balik ucapan
terima kasih kepada RTM dan menteri terbabit; atau membiarkan “pejuang Tamil”
melakukannya?
[Makalah ini ditulis
pada 4 Januari 2015 berdasarkan komen di Facebook dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 5 Januari 2015. BACA MAKALAH BERKAITAN SJKT DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan
sendiri.]