Katakan Sabah dan Sarawak itu negara.
Jangan lagi sebut “negeri”. Biasakan lidah anda menyebut.
Sebutkan dengan jelas “Negara Sabah”,
“Negara Sarawak”, “Negara Malaya” dan “Persekutuan Malaysia”.
Demikian ditegaskan dengan berani menerusi
laman rangkaian sosial oleh seorang rakan penulis dan aktivis, Daniel Jebon Janaun, baru-baru ini. [Nota: Daniel Jebon
Janaun meninggal dunia pada 5 Disember 2014]
Saya yang mengikuti perjuangan Daniel,
Doris Jones serta sejumlah nasionalis Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM)
cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendirian bekas penjawat awam itu.
“Sabah dan Sarawak dahulunya masing-masing
sebuah negara. Kedua-duanya dimerdekakan oleh British. Sabah merdeka pada 31
Ogos 1963, sementara Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963.
“Kemerdekaan itu meletakkan Sabah dan
Sarawak sebagai dua negara merdeka dan berdaulat,” Daniel yang lahir di Kota
Marudu, Sabah pada 25 Ogos 1967 menghuraikan.
Mengulas lanjut mengenai perkara yang
menjadi isu hangat sekarang, Daniel berkata, ketika proklamasi Persekutuan
Malaysia pada 16 September 1963, status Sabah dan Sarawak tetap sebagai negara
yang memiliki autonomi penuh, berkerajaan sendiri serta memiliki entiti
berasingan daripada Malaya (Tanah Melayu).
Pendedahan berani seperti ini tentulah
sesuatu yang amat baru bagi generasi muda kita. Buku-buku sejarah dari
peringkat sekolah rendah hingga universiti tidak membicarakan fakta ini.
Suara dan hujah para pejuang dan nasionalis
seperti Daniel juga pasti tidak akan mendapat tempat di media arus perdana yang
rata-rata dijadikan alat propaganda parti-parti politik dan kuasawan.
Tuntutan yang berasas dan sah
Namun begitu, dengan adanya laman rangkaian
sosial serta kesedaran dalam kalangan masyarakat, suara Daniel dan
rakan-rakannya kini kedengaran di seluruh dunia.
Atau sekurang-kurangnya mampu sampai juga
kepada penduduk di Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu) yang selama ini mungkin
tidak tahu tentang perjuangan, penderitaan dan hak Sabah dan Sarawak.
Makalah ini sendiri bukan bertujuan
menghasut sesiapa, sebaliknya membuka mata generasi muda serta memberikan ruang
agar mereka mendengar kisah sebenar yang sedang berlaku sekarang.
“Kami selaku penduduk Sabah dan Sarawak
tetap berjuang untuk memastikan Perjanjian Persekutuan Malaysia 1963, Perkara
20/18, Laporan IGC dan Laporan Cobbold dipatuhi.
“Walaupun ancaman, ugutan dan pelbagai
tindakan diambil untuk menghentikan perjuangan ini, kami tetap cinta akan
negara kami, iaitu Negara Sabah dan Negara Sarawak yang merdeka dan berdaulat,”
Daniel menegaskan.
Dalam perbualan kami, Daniel turut
menyentuh mengenai pendedahan yang dilakukan Robert Lai, seorang peguam
kelahiran Sarawak yang kini berada di Australia.
Menurut Robert, rakyat Sabah dan Sarawak
mencadangkan agar panel peguam dari Sabah dan Sarawak ditubuhkan untuk mengkaji
dan menyemak kedudukan Perjanjian Malaysia 1963.
“Seperti dilaporkan media berdasarkan
pendedahan Robert, rakyat Sabah dan Sarawak mencadangkan agar panel peguam
tersebut membawa kes ini ke Mahkamah Antarabangsa untuk membolehkan kami
mendapat keadilan antarabangsa,” Daniel menghuraikan.
Tentu sahaja jalan yang dipilih dan
diperjuangkan oleh orang seperti Daniel, Doris dan para pejuang lain dipenuhi
onak.
“Mari kita bangun daripada tidur!”
Malah, tentu sahaja pelbagai sekatan,
halangan dan undang-undang akan digunakan oleh kuasawan untuk menghalang
perjuangan mereka serta menutup mulut mereka.
Misalnya, Doris yang “lari ke Britain”
sedang “diburu” polis, seperti dilaporkan akhbar Harian Metro baru-baru ini.
Pendedahan yang dilakukan menerusi makalah
ringkas ini pula diharap dapat membantu menyampaikan suara perjuangan mereka
(penduduk Sabah dan Sarawak) kepada khalayak ramai.
Pada 4 September 2014, Daniel mengumumkan
cadangan penubuhan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipanggil Momogun Movement for Self-Determination
(Mosik).
Perkataan “Momogun” bererti “Orang Asal
Sabah” manakala slogan “Mosik tokou” yang digunakan dalam Bahasa Kadazan Dusun
membawa makna “Mari kita bangkit/bangun daripada tidur”.
Menurut Daniel, objektif penubuhan Mosik
adalah untuk berjuang memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara merdeka dan
berdaulat, selaras Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963,
Perkara 20, Laporan IGC 1962 dan Laporan Cobbold 1962.
Pejuang daripada etnik Kadazan (Kimaragang)
itu mengundang golongan “Momogun” menyertai Mosik sambil berkata dengan penuh
yakin: “Berikan saya sepuluh orang pejuang atau nasionalis Sabah dan saya akan
gegarkan negara Sabah.”
Sekiranya diteliti secara objektif dan
tanpa sentimen politik kuasawan, perjuangan Mosik adalah untuk memulihkan (reset) Malaysia seperti dijanjikan
dahulu, iaitu mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20/18.
Malangnya, semua itu adalah fakta, sejarah
dan kebenaran yang semakin disembunyikan dan dihapuskan oleh kuasawan demi
kepentingan peribadi.
Perjuangan ini bukan hasutan
Hal ini bermakna perjuangan Mosik perlu
bermula dari bawah, iaitu memberi kesedaran kepada orang ramai di seluruh Persekutuan
Malaysia mengenai apa sebenarnya yang dijanjikan dan dipersetujui semasa
pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Mungkin juga kerja-kerja mendidik dan
mengajar wajar dimulakan dengan golongan politikus dan kuasawan kerana merekalah kelompok
kurang pengetahuan (maklumat/fakta) yang biasanya membuka mulut mengeluarkan
pelbagai kenyataan “kurang cerdik” dan kemudian dilaporkan pula media arus
perdana.
Sekiranya penjelasan Daniel dapat
didengar/dibaca dan difahami dengan fikiran yang tenang, maka kita akan sedar
bahawa tiada sebarang bentuk hasutan, penipuan atau manipulasi fakta dilakukan.
Sebaliknya perjuangan Mosik adalah untuk
memulihkan status autonomi Sabah dan Sarawak seperti yang dijanjikan dan
dipersetujui bersama semasa pembentukan Persekutuan Malaysia dahulu.
Daniel bakal menerbitkan sebuah buku
berjudul Sabah Sebuah Negara tidak
lama lagi. Buku berkenaan yang dijangka terbit dalam versi bercetak dan
elektronik (e-book) antara lain
membincangkan secara kritis fakta sejarah yang membuktikan sedudukan Sabah
sebagai sebuah negara.
“Perjuangan Mosik adalah untuk mendapatkan
autonomi yang telah dinafikan sejak sekian lama. Perjuangan ini bererti
memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara,” Daniel menegaskan
dengan penuh semangat.
Seperti yang sudah dapat dijangkakan,
perjuangan dan keberanian orang seperti Daniel pasti tidak disukai pelbagai
pihak. Bukanlah “perjuangan” sekiranya tiada “penentangan”.
Pada 10 September 2014, Daniel menerima
mesej daripada seseorang yang menggunakan nama “Arabella Aerika” di Facebook dan memberi amaran kepadanya
supaya menghentikan perjuangan Mosik.
“Adakah ini suatu mesej ancaman atau ugutan
untuk saya berhenti memperjuangkan hak serta memulihkan status Sabah dan
Sarawak? Apa-apa pun, saya tidak akan berhenti berjuang!”
Demikianlah Daniel yang mula-mula saya
kenali pada tahun 1990-an sekadar sebagai seorang penulis cerpen dan kini sudah
meningkat menjadi seorang pejuang demi hak dan kebenaran. [Nota: Daniel Jebon
Janaun meninggal dunia pada 5 Disember 2014]
[Makalah ini ditulis pada 22 September 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 23 September
2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]