[Keputusan HRP untuk bertanding menentang calon Pakatan Rakyat
mendapat reaksi awal daripada beberapa individu di Facebook.]
Sebelum ini, bermula 20
Januari 2013, saya menumpukan pada usaha membuat ramalan mengenai calon-calon
MIC yang bakal bertanding di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN); khususnya di Selangor – RUJUK DI SINI.
Tepat dua bulan
kemudian, saya mendapat pengesahan bahawa pemimpin Parti Hak Asasi yang lebih
dikenali dengan nama Human Rights Party (HRP) akan turut bertanding kerusi Parlimen
Kota Raja dan DUN Sri Andalas.
Kempen untuk P.
Uthayakumar dibuat menggunakan slogan “Undi MP Hindraf Pertama ke Parlimen” dan “Peluang Terakhir Hantar Calon Hindraf
Pertama ke Parlimen”. Saya turut menerima risalah kempen yang diedarkan juga di
sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam pada 5 April 2013.
Risalah itu didakwa
“disediakan oleh P. Uthayakumar (20/5/12)”. Petikan kata-kata yang paling
mengganggu fikiran saya sehingga membuatkan saya memaparkan foto berkenaan di Facebook adalah “Jangan undi BN. Di
kawasan selain Kota Raja dan Sri Andalas undi atau tidak adalah pilihan anda.”
Serta-merta saya
mendapat komen daripada beberapa rakan. Kebanyakan daripada mereka menganggap
tindakan Uthayakumar bertanding di Kota Raja dan Sri Andalas sebagai “tindakan yang
tidak tepat”. Hal ini kerana langkah HRP akan memecah undi kaum India (khususnya) dan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi-kerusi berkenaan yang disandang
oleh calon Pakatan Rakyat (PR).
“Tentulah nasib kaum
India lebih buruk nanti berbanding apa yang dikatakan oleh HRP dalam risalah
mereka. Apa-apa pun, soal di sini bukan mengenai kaum; sebaliknya tentang
perpaduan. Kita perlu memikirkan soal bekerjasama dan tolong-menolong sebagai
satu bangsa,” kata Alexzander Johnson.
Adib Adam
yang lahir di Kuala Lumpur dan kini tinggal di Meru, Klang menggunakan
perumpamaan “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran” bagi
menggambarkan tindakan HRP.
“Kita sedia maklum
bahawa apabila BN kuat, masyarakat minoriti akan terpinggir. Walau gegak-gempita bagaimana pun suara MIC,
PPP dan parti-parti minoriti lain dalam BN, suara mereka kurang didengar UMNO
iaitu parti dominan.
“Kita dapat melihat
perubahan dalam kalangan masyarakat minoriti di Selangor dan Pulau Pinang sejak
2008. Oleh itu, adalah penting untuk HRP bersama-sama PR. Tidak perlu
mendesak,” kata pemuda itu yang menguruskan perniagaan sendiri.
Dalam beberapa tulisan,
saya selalu menyebut Hindraf sebagai pemangkin kepada semangat kebangkitan minoriti
kaum India untuk berani bersuara dan menuntut hak. Perkara ini turut diakui dan
dipersetujui Emmanuel Joseph,
seorang eksekutif teknologi maklumat (IT) dari Klang.
“Hindraf bermula
sebagai kebangkitan peringkat nasional tetapi kemudian menjadi entiti yang
memperjuangkan hak kaum tertentu sahaja; walaupun HRP menggunakan nama ‘hak
asasi’. Jika HRP yang diterajui Uthayakumar ikhlas dalam perjuangan membela
nasib kaum India secara keseluruhan, mereka patut bertanding menentang calon
kaum India di semua kerusi,” kata pemuda kelahiran Klang itu.
“Kami boleh nafikan peluang PR di Selangor, Putrajaya”
Wakil HRP, A. Sugumaran turut tampil berusaha
memberikan penjelasan dalam perbincangan terbuka yang berlaku di dinding Facebook saya.
“Good job, Hindraf. People worry or talk about ‘you’ only
when you hit them where it hurts the most – seat/power!” (Syabas, Hindraf. Orang ramai ambil tahu atau
mula bercakap mengenai ‘kamu’ hanya apabila kamu terkam mereka di tempat yang
paling menyakitkan – kerusi/kuasa!) Demikian kata guru swasta berkenaan yang
tinggal di Kota Kemuning, Shah Alam.
Perlu disedari bahawa
seperti yang ditegaskan oleh Emmanuel, “kuasa” sebenar terletak di Putrajaya
(Kerajaan Persekutuan) dan bukan hanya di Parlimen. Katanya, jika Hindraf atau
HRP mahu membuktikan apa-apa, maka mereka perlu menumpukan pada Putrajaya.
“Atau apakah Hindraf
hanya percaya pada perwakilan berasaskan kaum semata-mata?” Emmanuel bertanya
soalan retorik yang juga sudah mula bermain dalam fikiran saya; kerana saya
secara peribadi mahukan Ahli Parlimen dan ADUN yang mampu mewakili Bangsa Malaysia tanpa mengira etnik, kaum dan agama.
Sugumaran yang berasal
dari Bedong, Kedah menegaskan bahawa HRP “terpaksa” bersikap memihak/mewakili
kaum kerana “kaum-kaum lain tidak ambil kisah isu kaum India”.
“UMNO dan BN sudah
pasti tidak boleh diharapkan. PR pula mahu mewujudkan ‘Samyveluisme’ yang baru!
Kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku. Hindraf tidak boleh menang
secara bersendirian tetapi boleh menafikan peluang PR menguasai Selangor atau
Putrajaya,” tegas Bendahari HRP itu.
Kata-kata itu
seolah-olah mengesahkan apa yang dibimbangi ramai; iaitu agenda HRP adalah
untuk “menghalang” PR dan bukannya untuk “menentang” BN. Tumpuan HRP juga
seolah-olah hanya terhadap masyarakat India.
Persoalan itu juga diketengahkan
oleh Alexzander dalam dialog yang berlaku secara terbuka. Jika dan apabila
Uthayakumar menang di Kota Raja atau Sri Andalas, adalah dia akan berkhidmat
kepada semua penduduk/pengundi di kawasannya atau hanya bagi kaum India?
“Politik berasaskan kaum
adalah amat bodoh! Hindraf bermula dengan niat dan perjuangan yang amat murni
dan mulia. Hindraf harus kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tindakan HRP menunjukkan seolah-olah niat sebenar adalah untuk kerusi/kedudukan
dan bukannya perjuangan hak minoriti,” katanya.
Pandangan kebanyakan
rakan-rakan yang memberikan komen (termasuk menerusi mesej peribadi) adalah
bahawa tindakan HRP akan memecah undi bukan hanya di Kota Raja dan Sri Andalas,
tetapi juga di Kelana Jaya, Kuala Selangor, Sri Muda, Seri Setia, Bukit
Melawati dan Ijok di mana HRP mahu bertanding.
Pengesahan yang dibuat
oleh Sugumaran juga membuktikan bahawa niat HRP secara jelas mahu melakukan
‘serangan’ ke atas kerusi-kerusi yang ditandingi/dipertahankan calon PR.
Maknanya bukanlah mahu “melawan” UMNO seperti dikatakan dan dipercayai sebelum
ini.
Demikian analisis
Emmanuel yang berkata bahawa selain daripada berkempen menentang BN, dia juga
kini akan berkempen lebih hebat menentang HRP.
“Bagi saya, kedudukan
HRP pada masa sekarang lebih buruk daripada MIC. MIC boleh diumpamakan seperti
menerima tulang dan mencium kaki UMNO. Pejuang Hindraf dalam HRP pernah masuk
penjara (ISA), dicemuh dan dihina dengan pelbagai kata-kata berbentuk rasis.
Tetapi HRP kini seolah-olah turut mencium kaki UMNO. Jadi, siapa yang lebih
teruk: MIC atau HRP?”
Saya memahami
kekecewaan yang diluahkan oleh Emmanuel dengan penuh kemarahan. Saya sendiri
tidak akan mengundi mana-mana calon yang didapati berubah pendirian semata-mata
untuk kepentingan diri. Saya akan memilih calon yang berwibawa.
Jangan terkeliru antara Hindraf dan HRP
Harus dinyatakan bahawa
Hindraf dan HRP adalah dua pertubuhan yang berbeza. HRP boleh dianggap sebagai
serpihan daripada Hindraf apabila gerakan itu berpecah dahulu. Atas sebab
itulah penggunaan “Hindraf” pada risalah HRP sedikit mengelirukan.
Saya terpaksa
mengemukakan pertanyaan kepada Sugumaran selaku wakil HRP: Adakah Uthayakumar
bertanding atas tiket Hindraf atau HRP? Tambahan pula, slogan yang digunakan
adalah “MP Hindraf Pertama” bukan “MP HRP Pertama”.
Rupa-rupanya
Uthayakumar akan bertanding sebagai calon bebas walaupun “Bilik Gerakan
Hindraf” dinyatakan pada risalah. Maka, orang ramai tidak boleh disalahkan jika
keliru, terkeliru dan dikelirukan. Nama HRP juga menggunakan “hak asasi” dan
bukannya “hak kaum India” sedangkan HRP menerusi risalah mereka ternyata
mengharapkan undi kaum India untuk menang.
“Cukuplah dengan
politik berasaskan kaum,” komen Mokhzani
Mohamad dari Subang Jaya. Kata-katanya amat wajar kerana Bangsa Malaysia –
khususnya generasi muda – sedang berusaha meninggalkan politik berasaskan kaum (seperti yang amat nyata dalam BN) serta
bergerak ke arah parti politik yang mewakili semua dan bersifat inklusif.
Apa yang pasti menerusi
risalah HRP yang sampai ke tangan saya, Uthayakumar mengharapkan undi kaum
India untuk menang di Kota Raja dan Sri Andalas. Ashton Alexander yang berasal dari sana berpendapat, HRP umpama
menanti buah yang tidak akan gugur.
“Uthayakumar tidak
mengetahui tentang masyarakat di Kota Raja. Dia patut berasa gembira dan
bersyukur jika tidak hilang wang deposit pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Saya percaya bahawa pengundi akan
memilih antara BN dan PR. Hindraf atau HRP tidak termasuk dalam ‘pilihan’
pengundi,” kata siswa bidang kejuruteraan di Universiti Purdue, Indiana,
Amerika Syarikat.
Pada
pemerhatian Emmanuel, HRP sendiri tidak pasti akan pendirian sebenar mereka.
Katanya, majoriti penyokong Hindraf kini menyokong PR. HRP pula sedang terus
mengharapkan undi simpati daripada kaum India semata-mata.
Sugumaran
tampil menjelaskan bahawa Emmanuel dan Ashton mungkin keliru kerana tidak mengikuti berita
mengenai HRP. Emmanuel pula segera mengaku bahawa dia sudah berhenti mengikuti
berita/perkembangan HRP/Hindraf apabila mereka mula melakukan serangan terhadap
PR.
“Kamu telah
meminggirkan kami sejak sekian lama. HRP dan Hindraf bukan pertubuhan politik
berdaftar. Tidak ada sesiapa yang cuba ambil tahu mengapa kerajaan tidak
meluluskan pendaftaran Hindraf dan HRP. Sebab itulah Uthayakumar terpaksa
bertanding dalam PRU-13 sebagai calon bebas. Beliau masuk penjara dahulu kerana
Hindraf, bukan kerana HRP,” Sugumaran menerangkan.
Semua perbincangan ini
berlaku sebelum hari penamaan calon (20 April 2013) dan sebelum kempen bermula
secara rasmi. Sama ada kempen yang dilakukan HRP mampu menarik simpati pengundi
atau sebaliknya, hanya akan diketahui selepas pengiraan undi nanti (5 Mei 2013).
Benarkah Hindraf boleh
menafikan peluang PR menguasai Selangor atau Putrajaya seperti ditegaskan
Sugumaran? Tepuk dada, tanya selera. – Baca juga: “Undi Pecah, BN Untung”
[Uthaya
Sankar SB adalah pengundi berdaftar di Parlimen Kota Raja dan DUN Sri Muda. Makalah
ini ditulis pada 6 April 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 8 April 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]