26 Oct 2012

Cerita Kecil Tentang Agama Hindu

Agama Hindu diakui sebagai agama tertua di dunia; serta mempunyai jumlah pengikut ketiga tertinggi selepas agama Kristian dan Islam. Ajaran yang terkandung di dalamnya amat kompleks dan sering kali menjadi mangsa salah tafsir. Hal ini tidak menghairankan kerana tidak ada suatu “syarat” yang jitu dalam ajaran agama yang bersifat universal ini.

Pasti sahaja apabila saya memperkatakan mengenai agama Hindu, akan ada pihak (pemantau) yang segera menyebarkan berita bahawa saya sedang “menyebarkan agama Hindu”. Sesungguhnya ada perbezaan yang amat nyata antara menyebarkan agama Hindu dan memperkatakan mengenai agama itu dalam sebuah sesi dialog secara sihat dan positif.

Sejak dahulu, sering kali rakan-rakan dan kenalan pelbagai kaum dan agama bertanya kepada saya mengenai budaya India dan agama Hindu yang amat kompleks dan sedikit mengelirukan. Terdapat enam mazhab utama, empat veda, ribuan berhala, amalan, ritual keagamaan, dewa-dewi dan pelbagai perkara berkaitan yang tidak mustahil menimbulkan kekeliruan.

Dalam konteks negara kita, hakikat yang tidak pernah dinafikan adalah bahawa Islam adalah agama rasmi. Pada masa sama, agama-agama lain masih diamalkan dengan bebas mengikut jaminan Perlembagaan Persekutuan. Maka, rakyat Malaysia hidup secara harmoni di tengah-tengah kepelbagaian agama, budaya, adat dan kepercayaan.

Menyedari hakikat ini, tidaklah menghairankan apabila ada individu bukan beragama Hindu – malah penganut agama Hindu juga – yang sering tertanya-tanya mengenai pelbagai perkara berhubung agama yang bermula di Lembah Indus, lebih 5,000 tahun dahulu.

Apabila pertanyaan diajukan kepada saya oleh rakan-rakan dan kenalan yang memang ingin tahu, maka saya akan berusaha untuk memberikan penjelasan serba ringkas bagi merungkaikan kecelaruan. Saya berusaha menyampaikan kisah berusia lebih 5,000 tahun ini dengan cara paling mudah supaya boleh difahami dengan mudah juga.
Tentu sahaja perkongsian maklumat dan pengetahuan mengenai agama Hindu yang saya lakukan adalah atas dasar berkongsi ilmu dan maklumat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Tidak ada sebarang niat “menyebarkan agama Hindu” kepada sesiapa kerana ajaran agama Hindu tidak pernah berusaha memujuk sesiapa “masuk Hindu”.

Soalan paling asas yang biasa ditanya kepada saya adalah mengenai siapakah pengasas agama Hindu. Apabila kita bercakap mengenai agama Kristian, Islam dan Sikh misalnya ada “pengasas” – walaupun istilah “pengasas” mungkin kurang tepat.
 
[Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Malaiur Manikam. Baca juga: Hinduisme, abang sulung kepada Islam? serta Why Do Hindus Pray to So Many Gods? dan The 33 Devas untuk pemahaman lanjut serta pencerahan minda. Topik berkaitan: Bahasa Malaysia dan Agama Hindu.] - Koleksi makalah berkaitan Hindu: SILA KLIK DI SINI.

(Makalah ini ditulis pada 8 Oktober 2012 dan disiarkan di Projek Dialog pada 10 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di blog ini atas pilihan sendiri.)