28 Aug 2011

Terima Kasih, Cikgu Saleeh!

Saya mengenali Dr Mohamed Saleeh Rahamad (foto: depan, tengah) semasa saya meneruskan pengajian di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1993-1998).

Sejak dahulu hingga kini, saya memanggil beliau sebagai “Cikgu” – sementara saya memanggil Allahyarham Dr Othman Puteh sebagai “Pak Haji” semasa hayatnya.

Cikgu Saleeh antara lain merupakan pensyarah saya bagi Kursus Penulisan Kreatif I (Cerpen) – sementara Allahyarham Sasterawan Negara Dr S. Othman Kelantan mengajar Kursus Penulisan Kreatif II (Novel).

Saya masih ingat bagaimana saya menghasilkan sebuah cerpen bagi tujuan kursus. Selepas membincangkannya di kelas, Cikgu Saleeh menghulurkan borang penyertaan Hadiah Cerpen Esso-Gapena dan menggalakkan saya menyertainya.

Akur pada permintaan serta menghargai suntikan semangat yang diberikannya secara penuh ikhlas, saya mengambil bahagian.

Manuskrip cerpen dan borang penyertaan itu saya serahkan pada saat akhir kepada salah seorang orang kuat Gapena, Haji Hamzah Hamdani yang pada waktu itu (1996) bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Akhbar New Straits Times (6 Ogos 1997) melaporkan bahawa "an entry which would have been originally eligible for for consideration in the category for non-Malays was instead awarded the overall second prize" kerana "according to the organisers, 'it is of a quality well above those in the non-Malay category'."

Itulah cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” yang menggunakan latar masa 26 Februari 1994 dan menang tempat kedua Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1996.

Kemudian, pada suatu hari, Cikgu Saleeh membawa akhbar Mingguan Watan bertarikh 4 Ogos 1996 ke kelas dan mengucapkan tahniah kerana cerpen “Pedas” – yang saya hasilkan bagi satu lagi kursus yang ‘entah apa-apa’ – tersiar di akhbar berkenaan; sebelum dimuatkan dalam Surat dari Madras (1999).

Malah, Cikgu Saleeh juga penyelia saya bagi tesis ijazah Sarjana Muda Sastera bertajuk “Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia” (1998).

Semasa kontroversi novel Interlok Edisi Murid sedang hangat pada Januari 2011, saya bertugas sebagai Penolong Editor di akhbar Sinar Harian.

Saya menghubungi Cikgu Saleeh yang juga presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) untuk mendapatkan komen dan bahan berita yang kemudian disiarkan di akhbar itu. [CONTOH BERITA]

Malah, apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bercadang menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 15 Januari 2011, saya memberitahu Cikgu Saleeh bahawa saya mahu hadir sama. Tambahan pula, saya ahli seumur hidup Pena.

“Lebih baik awak jangan hadir dalam perhimpunan Sabtu; takut sentimen,” katanya dengan nada risau dan mengambil berat pada lewat malam 13 Januari 2011.

Saya nyatakan bahawa para penulis yang hadir nanti adalah kawan-kawan saya juga dan pasti tidak ada apa-apa yang perlu beliau risaukan.

“Tak apa; datanglah,” balas beliau akhirnya.

Saya menghadiri perhimpunan itu dan catatan pengalaman saya boleh dibaca DI SINI.

Saya kenal hati budi Cikgu Saleeh seawal tahun 1996. Sebab itulah apabila seorang individu cuba menabur fitnah terhadap beliau, saya bukan bodoh untuk mempercayainya.

Individu berkenaan menelefon saya hampir setiap hari bermula 20 Disember 2010 dan mengutuk novel Interlok Edisi Murid serta kepimpinan Pena.

Kemudian, pada 23 Februari 2011, individu itu menambah dosa dengan memberitahu saya menerusi perbualan telefon bahawa dia sebenarnya “diarahkan” oleh Cikgu Saleeh untuk menghubungi saya dan “mengorek rahsia” mengenai pendirian Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid!

“SMS awak pun saya telah forward kepada semua AJK Pena dari awal (20 Disember 2010). ... Kita akan jumpa di mahkamah,” katanya menerusi SMS yang boleh dibaca DI SINI.

Saya tidak memanjangkan isu itu atau bertanya kepada Cikgu Saleeh mengenainya kerana saya tidak mahu “ambil pusing” kata-kata individu berkenaan yang mungkin menghadapi masalah peribadi.

Pada petang 28 Ogos 2011, semasa tidur sebentar – saya memang suka tidur kalau ada masa lapang! – saya bermimpi bertemu Cikgu Saleeh. Maka saya menulis catatan ini sebagai kenang-kenangan.