6 Jun 2011

Dari Pulau Cinta ke Panchayat

Bermula 7 Ogos 2010, saya menyiarkan beberapa bahagian faksyen “Pulau Pendatang” secara eksklusif di blog saya kerana saya sedia maklum bahawa tidak ada gunanya saya berusaha mengirim manuskrip itu ke mana-mana akhbar/majalah arus perdana.

Selepas itu, beberapa bahagian faksyen “Anak-anak Pulau Cinta” pula menyusul bermula 7 September 2010; juga secara eksklusif di blog saya. Ia diikuti faksyen “Wanita Farsa” bermula 16 Disember 2010.

Tanpa sedikit pun mempertikaikan kredibiliti mana-mana akhbar/majalah konvensional, saya memutuskan bahawa ketiga-tiga faksyen berkenaan paling afdal diterbitkan di blog saya sendiri.

Saya juga lebih “seronok” menerbitkannya secara bersiri di blog kerana memang dalam konsep begitulah manuskrip berkenaan dihasilkan. Sebab itulah juga ia disiarkan dalam bentuk sama (bersiri) menerusi Free Malaysia Today bermula 2 April 2011.

Roslan Jomel menulis di blognya mengenai “Pulau Pendatang” pada 23 Ogos 2010: “Fakta difiksyenkan. Ia bukan kerja mudah. Anda perlu peka dengan sebarang berita dan pergolakan sesuatu isu besar. Kerana ia secara refleksi akan merangsang draf penulisan. Gaya sedemikian, seperti difahamkan, lebih menjangkau realiti semasa.” [TEKS LENGKAP]

Perlu saya nyatakan bahawa faksyen “Pulau Pendatang” siap ditulis pada 1 Ogos 2010, sekali gus tidak ada kaitan dengan kenyataan berunsur perkauman oleh Puan Hajah Siti Inshah Mastor dari SMK Tunku Abdul Rahman Putera, Kulaijaya, Johor pada 12 Ogos 2010.

Faksyen “Anak-anak Pulau Cinta” adalah prequel kepada “Pulau Pendatang”. Manakala “Wanita Farsa” pula bahagian yang menerangkan apa yang berlaku lebih dahulu serta memberi momentum kepada perubahan drastik yang melanda Pulau Cinta.

Ketiga-tiga faksyen ini bersandar kepada “hak penulis untuk berkreatif” seperti diberikan kepada Datuk Chamil Wariya berikutan penyiaran cerpen berjudul “Politik Baru YB J” (Mingguan Malaysia, 12 Oktober 2008) yang disifatkan oleh penulisnya sebagai “hanya rekaan semata-mata. Watak-wataknya adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati”.

Untuk makluman, cerpen itu yang mengisahkan pembunuhan seorang Wakil Rakyat wanita Cina ditegaskan tidak ada kena-mengena dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) pula tampil menyokong tindakan itu atas alasan “hak penulis untuk berkreatif” seperti dilaporkan secara amat objektif oleh Jimadie Shah Othman di Malaysiakini pada 17 Oktober 2008 - BERITA PENUH DI SINI.

Perlu saya akui bahawa cerpen “Pulau Pendatang” sebuah faksyen yang ada kaitan dengan konsep “pendatang” dan mungkin membuatkan pihak tertentu “panas punggung” seperti yang berlaku selepas penyiaran cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” (Dewan Masyarakat, September 2002).

Kalau ada mana-mana pihak yang mahu bertindak di luar batas kemanusiaan (mengarak kepala binatang tertentu atau merancang membakar rumah ibadat agama tertentu, misalnya) selepas membaca siri faksyen Pulau Cinta, terbukti mereka tidak berkesempatan membaca cerpen “Politik Baru YB J” yang menjadi contoh klasik “hak penulis untuk berkreatif” mengikut undang-undang Malaysia.

Satu lagi “hujah” sokongan terhadap karya yang “ada unsur kejelekan” tetapi “mendaulatkan perpaduan kaum” boleh dirujuk pada penegasan yang dibuat oleh Presiden Pena, Mohamed Saleeh Rahamad berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid (2010).

Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya itu berpendirian bahawa “Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum penting” (Berita Harian, 20 Disember 2010).

Maka, siri Faksyen Pulau Cinta juga perlu dan wajar dilihat dari sudut sama walaupun pelbagai kritikan yang berpijak di bumi terkandung di dalamnya; selaras dengan peribahasa Melayu, “siapa termakan cili, dia terasa pedasnya”.

Apa yang terkandung dalam karya faksyen bukanlah idea yang muncul dari khayalan. Sebaliknya perkara-perkara sebenar yang berlaku dalam realiti. Apa yang termuat di dalamnya adalah kejadian sebenar, kecuali dapat dibuktikan sebaliknya.

Dalam hal ini, usah kita lupa akan pandangan empat Sasterawan Negara (Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Shahnon Ahmad dan Noordin Hassan) menerusi kenyataan bersama bertarikh 8 Mac 2011:

“Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian. Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.” [TEKS LENGKAP]

Orang ramai yang berpeluang membaca siri Faksyen Pulau Cinta di FMT sejak 2 April 2011 pasti menyedari hakikat betapa kisah-kisah yang dipaparkan hampir sama dengan apa yang pernah/sedang berlaku dalam realiti; tanpa terhad kepada Malaysia semata-mata.

Saya menggunakan insiden sebenar, lalu dibaurkan dengan sedikit fiksyen bagi menghasilkan siri itu; sebagaimana saya lakukan bagi pelbagai karya lain.

Membaca sebuah faksyen adalah membaca kisah sebenar (fakta) yang terpaksa dilapik dengan kulit fiksyen.

Pembaca boleh membaca Faksyen Pulau Cinta sebagai sebuah sebuah fiksyen semata-mata atau sebagai fakta yang disampaikan dalam bentuk fiksyen.

Bermula 5 Jun 2011, novel Panchayat: Edisi Khas pula akan disiarkan secara bersiri menerusi FMT. Unsur ‘fiksyen’ mungkin lebih menonjol berbanding ‘faksyen’ dalam novel ini kerana ‘fakta’ masih tersembunyi dan perlu dilihat secara penuh teliti pada lapis makna tersirat.

Khalayak yang ‘kurang memahami’ maksud tersirat dalam Panchayat apabila ia pertama kali terbit sebagai Panchayat dalam edisi terhad pada tahun 2002 mungkin dapat ‘melihat’nya pada kali ini menerusi kaca mata yang baru, dewasa dan lebih matang.

Novel Panchayat: Edisi Khas juga hanya akan dicetak selepas disiarkan secara bersiri di FMT. Maka, sepanjang disiarkan, pembaca boleh membantu kerja-kerja ‘pemurnian’ dengan mengemukakan komen berkaitan kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang dirasakan menyentuh sensitiviti masyarakat. [Contoh: DI SINI]

Saya boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk sebarang komen bagi ‘memurnikan’ novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT.

(© Uthaya Sankar SB. Tulisan ini adalah sambungan daripada Bahagian Satu dan disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 4 Jun 2011.)