1 Oct 2010

Viva Palestine Menuju ke Gaza

Aktivis kemanusiaan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Viva Palestine dari Britain sudah merentas Perancis dan Itali sebelum tiba di Istanbul, Turki pada 27 September 2010.
.

Misi bantuan kemanusiaan antarabangsa yang diketuai George Galloway dari Britain turut disertai wakil dari Malaysia, Australia, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat, Britain dan Ireland Utara.

.

Wakil-wakil dari Perancis, Itali, Greece dan Turki akan menyertai konvoi ini yang menggunakan jalan laut dan darat untuk membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

.

Selepas berehat dan membuat persiapan rapi selama empat hari di Istanbul, konvoi ini dijadualkan meneruskan perjalanan pada 1 Oktober 2010 melalui Ankara, Kayseri, Adana, Gaziantep dan Kilis sebelum memasuki Syria.

.

Tiga kumpulan aktivis kemanusiaan yang bertolak pada 18 September 2010 dari tiga tempat berbeza (Britain, Maghribi dan Qatar) akan berkumpul di Latakia, Syria sebelum hampir 200 kenderaan dimasukkan ke dalam kapal laut dan berlayar ke Pelabuhan el-Arish, Mesir.

.

Dari sana, aktivis terbabit akan meneruskan perjalanan menggunakan jalan darat dan memasuki Gaza melalui Rafah.

.

Kementerian Luar Mesir pula sudah mengeluarkan kenyataan menghalang konvoi yang diketuai Galloway memasuki negara itu sebelum meneruskan perjalanan ke Gaza.

.

“Saya merayu kepada kerajaan Mesir supaya membenarkan kami meneruskan konvoi misi bantuan kemanusiaan ini. Saya tidak menerima sebarang notis rasmi mengenai sebarang halangan dan sekatan masuk. Tambahan pula, saya tidak pernah memberi apa-apa masalah kepada kerajaan Mesir,” kata Galloway apabila dimaklumkan mengenai sekatan itu.

.

Kerajaan Mesir mencadangkan supaya semua bantuan kemanusiaan yang dibawa pasukan Viva Palestine diturunkan di Pelabuhan el-Arish dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir akan menguruskan sepenuhnya penghantaran barangan itu kepada penduduk Palestin di Gaza.

..

(Skrip ini ditulis berpandukan pelbagai sumber dan disiarkan di ruangan “Perkembangan di Palestin” akhbar Sinar Harian pada 28 September 2010. Sila KLIK DI SINI untuk Kronologi Flotila ke Gaza.)