2 Oct 2010

Pengasas Facebook Beri Sumbangan

Pengasas laman rangkaian sosial terkemuka Facebook, Mark Zuckerberg menyumbangkan AS$100 juta (RM309.4 juta) kepada sekolah-sekolah di Newark, New Jersey, Amerika Syarikat (AS).
.

Sumbangan itu adalah sebagai sebahagian usaha membaiki sistem pendidikan di negara itu.

.

Pengumuman rasmi mengenai penyampaian sumbangan itu dilakukan oleh Zuckerberg dalam rancangan The Oprah Winfrey Show pada 24 September 2010.

.

Turut hadir dalam rancangan bicarawara itu ialah Datuk Bandar Newark, Cory A Booker dan Gabenor New Jersey, Chris Christie.

.

Pengumuman awal mengenai sumbangan itu turut disiarkan di akhbar New York Times pada 22 September 2010 sebelum Forbes menyiarkan maklumat terkini bahawa pengasas Facebook itu berada pada tangga ke-35 orang paling kaya di AS.

.

Zuckerberg yang lahir pada 14 Mei 1984 di White Plains, New York dan membesar di Dobbs Ferry, New York menjadi terkenal apabila dia bersama-sama rakan sekuliahnya di Universiti Harvard – Dustin Moskovitz, Eduardo Saverin dan Chris Hughes – melancarkan Facebook pada 4 Februari 2004.

.

Sumbangan derma AS$100 juta yang diumumkan oleh jutawan muda itu turut dikritik dan dikatakan sebagai suatu usaha terdesak Zuckerberg untuk membersihkan imejnya yang dilaporkan tidak begitu baik dalam filem The Social Network yang ditayangkan mulai 1 Oktober 2010. [Dapatkan maklumat filem berkenaan DI SINI.]

.

Dalam filem berkenaan, watak Zuckerberg dilakonkan oleh Jesse Eisenberg yang pernah berlakon dalam Zombieland (2009) dan Solitary Man (2010).

.

Filem itu yang diarahkan oleh David Fincher dibuat berdasarkan buku The Accidental Billionaires: The Founding of Facebook, A Tale of Sex, Money, Genius and Betrayal (2009) tulisan Ben Mezrich.

..

(Skrip ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di halaman “Santai Global” akhbar Sinar Harian pada 25 September 2010.)