12 Jan 2010

Sinar Harian

Pada pagi 12 Januari 2010, saya bersama-sama Devishi Prabha Sankari pergi ke Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd untuk mengambil surat tawaran kerja di akhbar Sinar Harian.
.

Kebetulan, ada perhimpunan skuad akhbar berkenaan yang akan berkonvoi ke Putrajaya sempena penempatan wartawan di Putrajaya dan Bangi.

.

Kemudian, selepas menghantar Devishi ke rumah pengasuh, saya pergi bertemu Faiz Hussamuddin, bekas pelajar saya, untuk bersarapan dan berbual-bual.

.

Walaupun mulai 1 Februari 2010, ayahnya akan menjadi majikan saya, saya percaya bahawa persahabatan kami akan berjalan seperti biasa.

.

Bercakap mengenai tawaran kerja di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, ada yang mengandaikan bahawa saya “meninggalkan” RTM selepas menerima tawaran baru.

.

Sebenarnya tidak! Saya sudah memutuskan serta menyerahkan notis peletakan jawatan pada 15 Disember 2009 selepas sebulan “makan gaji buta” di RTM.

.

[Sila KLIK DI SINI untuk membaca surat berkenaan.]

.

Memandangkan saya “tiada kerja” di RTM (walaupun tetap ada gaji), saya memilih untuk memberi notis peletakan jawatan dan mula mencari kerja di mana saya akan “ada kerja”.

.

Bagaikan “pucuk diundang, ulam mendatang,” saya menerima tawaran kerja sebagai Sub Grafik Kanan (sub-editor) di akhbar Sinar Harian.

.

Memandangkan saya tinggal di Taman Sri Muda (Seksyen 25) dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd terletak di Seksyen 15, Shah Alam, maka saya boleh turut menjimatkan duit tol, duit petrol, masa perjalanan serta terhindar daripada kesesakan jalan raya yang teruk saban hari.

.

Cuma, saya akan kehilangan peluang untuk membaca akhbar dan buku semasa terperangkap dalam kesesakan jalan raya.