12 Apr 2009

Seminar Kampung-kampungan

Pernahkah anda menghadiri sebarang seminar peringkat kebangsaan dan kemudian amat kecewa kerana seminar itu sebenarnya hanya bertaraf kampung-kampungan?

Saya mengalami perasaan itu sewaktu menghadiri Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja bertema “Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja Penyumbang Kesusasteraan Melayu” anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PURNAMA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 9 April 2009 (Khamis).

Seminar berkenaan – bagi saya – hanya gah pada nama. Kandungan kertas-kertas kerja amat mengecewakan.

Kebanyakan pembentang adalah pelajar Sarjana di UPM. Ada juga mahasiswa (Sarjana Muda) dan pelajar Ijazah Kedoktoran. Bagaimanapun, daripada kandungan kertas kerja dan cara penyampaian, tahap kesemuanya sama sahaja – hampir menyamai pelajar kolej swasta berumur 18 tahun yang pernah saya ajar semasa menjadi pensyarah.

Apa pun, buku program (atur cara) yang diberikan amat cantik!