Orang ramai telah dipelawa menjadi pembaca beta [baca di sini] dan berkongsi pandangan ikhlas selepas membaca petikan awal sebuah cerpen bertajuk “Menunggu Kathiravan”. Berikut pandangan yang diterima:
Pada bahagian awal cerpen ini, cangkuk naratif (narrative hook) wujud apabila muncul watak Mukundan pada perenggan kelima. Sebelum ini, kita disajikan kisah “Mukundan Sudah Mati” dan “Siapa Bunuh Mukundan?”. Kita tahu Mukundan adalah gengster. Jadi, muncul rasa ingin tahu dalam diri saya sebagai pembaca beta, apa urusan Mukundan dengan Guruji dan apakah yang mereka berdua akan buat seterusnya? Sudah pasti mereka tidak akan berbuat sesuatu untuk menbetulkan masyarakat atau dunia!
Dialog di antara watak Guruji dan Mukundan adalah penting untuk menggerakkan cerpen ini. Dengan perbualan mereka berdua itulah kita ketahui dan akan ketahui apakah aktiviti-aktiviti akan mereka lakukan seterusnya dengan berkomplot. Dialog amat penting di sini untuk membantu pembaca mengetahui perasaan dan sifat kedua-dua watak negatif ini. jadi, dialog dalam petikan cerpen ini bukan sekadar perbualan kosong.
Watak Mukundan, Guruji, dan Prashamsaneeji bergabung dalam satu cerpen yang bertajuk “Menunggu Kathiravan”. Saya memang teruja untuk membaca kisah ketiga-tiga watak ini yang sudah kita kenali sebelum ini bergabung di dalam sebuah kisah. Pada pandangan saya, cerpen ini pasti akan menceritakan dengan lebih terperinci mengenai aktiviti-aktiviti haram yang mereka lakukan. Jadi, tidak timbul rasa bosan walaupun kisah watak-watak ini diceritakan berkali-kali. Bagi saya, watak-watak negatif tidak pernah menjemukan!
Cuma, pada awal perenggan petikan cerpen ini, nampak berbunga sedikit cara penulisan Uthaya. Yang lain keseluruhannya adalah gaya bahasa yang biasa kita baca dalam cerpen-cerpen Uthaya sebelum ini. Jadi, tidak timbul rasa bosan. Saya masih dapat merasakan unsur saspens, emosi, dan lain-lain struktur penting untuk sebuah cerpen.
Pembaca
beta berpeluang membaca sekitar 500 perkataan awal bagi cerpen ini. Apa yang
mungkin berlaku seterusnya? Pada andaian saya, watak Guruji akan mempergunakan
khidmat Mukundan secukup-cukupnya. Manakala Mukundan teringin pula untuk mengetuai kultus ini. Maka,
Guruji mengamuk lalu mengupah orang untuk membunuh Mukundan. Demikian andaian
dan imaginasi saya.
[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang.
Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil
sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung
beliau manakala Thalaivar (2021)
kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan
Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan
beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya
Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]
Permulaan cerpen ini seperti gambaran satu pesta keagamaan yang dikunjungi oleh pengikut-pengikut setia seorang individu yang dipuja dan disanjungi tanpa mengenal latar belakang sebenar individu tersebut. Walaupun nampak seperti permulaan cerita biasa, saya dapat rasakan ada sesuatu insiden yang akan berlaku dan insiden itu akan membuatkan pembaca mahu terus membaca dan mendapatkan jawapan kepada pertanyaan yang timbul.
Dialog dalam bahagian awal cerpen ini memberikan impak kepada saya sebagai seorang pembaca beta. Dialog yang diutarakan menunjukkan ketegasan dan pendirian individu yang bercakap. Contohnya, apabila Mukundan menyatakan dia adalah ketua penjenayah yang mahukan keuntungan dan tidak berminat dengan politik. Dialog watak Guruji juga secara selamba tetapi mampu membuatkan pembaca berfikir apakah langkah seterusnya yang difikirkan oleh Guruji.
Walaupun watak-watak yang pernah muncul dalam cerpen-cerpen lain dihadirkan semula di sini, bagi saya, ia tidak mengurangkan minat saya untuk membaca. Malah, saya pasti dapat membuat satu perkaitan apabila membaca kesudahan cerita-cerita ini jika semuanya terbit sebagai sebuah buku pada hujung tahun 2025 — sepertimana disebut sendiri oleh Uthaya dalam wawancara TheGoodCastShow (17 Januari 2025). Saya rasa setiap cerita mempunyai satu perkaitan yang sedia memberi satu kejutan atau pengajaran pada penghujungnya untuk pembaca matang yang berfikiran kritis.
Penggunaan bahasa yang mudah oleh Uthaya sepatutnya dihargai kerana membolehkan lebih ramai pembaca memahami penyampaian cerita dengan mudah tanpa menghentikan minat untuk terus membaca. Penggunaan perkataan bombastik akan menghentikan “kelancaran” membaca cerita kerana khalayak umum kurang memahami isu yang ingin disampaikan, Penggunaan bahasa dalam cerita ini sangat mudah dan sesuai untuk mereka yang meminati buku-buku Uthaya.
Sejujurnya, saya tidak pernah dapat mengagak kesudahan
cerita yang ditulis oleh Uthaya. Saya pernah menjadi pembaca beta untuk beberapa
cerpen beliau (rujuk senarai di hujung paparan ini) tetapi sehingga kini, ada
sahaja kelainan, keunikan, dan keluarbiasaan yang diwujudkan di penghujung setiap
cerita. Saya sebenarnya tertanya-tanya tentang tajuk cerpen ini, “Menunggu
Kathiravan”. Mungkinkah Kathiravan akan menjadi penyelamat para pengikut Guruji
di penghujung cerpen? Tapi dah macam cerita biasa pula nanti!
[Anuradha
Chelliah lahir di Klang, Selangor. Beliau mendapat pendidikan awal di
SRK Methodist dan SMK Methodist, Banting sebelum melanjutkan pengajian sarjana
muda (2001) dan sarjana (2011) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha
kini tinggal di Banting, Selangor dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris
di SK Sri Langat, Banting. Karya beliau boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]
Berikut pula reaksi pembaca beta bagi cerpen-cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta] – [Cinta Maya Arjuna]