Seorang saudagar muda dari Tamralipta (Bengal, India) perlu pergi ke Kataha (Kedah Tua) untuk urusan perniagaan. Isterinya cemburu dan bimbang kalau-kalau saudagar itu tergoda dengan wanita tempatan. Tentu sahaja kisah ini menarik perhatian kita kerana cerita rakyat India itu menyentuh tentang Kedah Tua.
Kita biasanya merujuk Hikayat Merong Mahawangsa untuk mengetahui asal-usul kerajaan Kedah.
Sebagai tambahan, karya seperti Pattinappalai,
Silappadikaram, Kathasaritsagara, Kaumudi Mahotsava, dan Perunkathai dari negara India diakui
oleh pensyarah Universiti Sains Malaysia, Dr. Nasha Rodziadi Khaw sebagai sumber rujukan yang amat membantu.
Beliau menyatakan demikian pada sesi “Negara Kota Yang Hilang”
anjuran Jabatan Muzium Negara pada November 2019. Bukti serupa juga diketengahkan
dalam tulisan pakar sejarah berwibawa seperti Roland Braddell dan Paul
Wheatley.
Sesungguhnya, karya sastera lama turut menjadi
sumber rujukan sejarah. Perkara ini tidaklah menghairankan kerana teks sastera klasik
di seluruh dunia merekodkan juga data dan fakta sejarah, walaupun ada unsur
imaginasi dan cerita rekaan dimasukkan dalam karya sastera berkenaan.
Apabila
memulakan pengajian di Universiti Malaya pada Julai 1993, saya turut berpeluang
menikmati bahan bacaan pelbagai bidang di perpustakaan universiti berkenaan. Sebagai
pencinta ilmu, saya umpama ayam yang dimasukkan ke kepuk atau itik yang
dicampak ke dalam kolam.
Pada
waktu itulah saya turut berkesempatan membaca sedikit kandungan buku The Ocean of Story (1924-28) dalam
sepuluh jilid oleh Norman Mosley Penzer
berdasarkan The Katha Sarit Sagara; or
Ocean of the Streams of Story (1880-84) oleh Charles Henry Tawney.
Karya
mereka bersumberkan Kathasaritsagara (“Lautan
Cerita”) dalam bahasa Sanskrit selenggaraan Somadeva pada kurun ke-11 di Kashmir. Somadeva pula mengakui bahawa
karyanya diadaptasi daripada Brihat Katha
(“Cerita Besar”) oleh Gunadhya dalam
bahasa Paisachi.
Memandangkan
naskhah Brihat Katha tidak ditemui, maka
segala fakta dan maklumat adalah berdasarkan catatan Somadeva dalam Kathasaritsagara. Dinyatakan bahawa
beliau menyelenggara dan menulis kisah-kisah itu pada sekitar tahun 1063 hingga
1081 untuk menghiburkan hati Suryavati, isteri kepada Raja Ananta di mana
Somadeva menjadi penyair diraja.
Kathasaritsagara merupakan sebuah cerita berbingkai iaitu ada beberapa
cerita kecil di dalam cerita utama. Pada penelitian saya, Kathasaritsagara adalah koleksi cerita rakyat, legenda, mitos, dan
dongeng yang mengungkapkan kekayaan budaya, pemikiran, dan imaginasi masyarakat
silam.
Sebagaimana
lazim dalam tradisi masyarakat India sejak dahulukala, kisah-kisah ini bukan
sekadar cerita. Sebaliknya, menampilkan ketajaman fikiran, ketinggian ilmu,
kekayaan budaya, keindahan sejarah, dan semacam itihasa (dokumentasi, sejarah) kehidupan manusia pada masa silam.
Teks Kathasaritsagara dalam versi Sanskrit terdiri
daripada 124 bab (taramga) yang
dimasukkan dalam 18 bahagian (lambhaka)
dan terdapat sekitar 350 kisah dianyam kemas dalam format cerita berbingkai.
Versi
terjemahan Tawney memuatkan Bab 1–56 dalam Jilid 1 dan Bab 57–124 dalam Jilid
2. Versi selenggaraan Penzer pula diterbitkan dalam sepuluh jilid dengan
tambahan komentar dan nota bagi membantu pemahaman pembaca.
Selepas menerbitkan buku Khanda Puranam pada pertengahan Julai 2022, saya memutuskan untuk melakukan
projek penceritaan semula kisah-kisah terpilih daripada Kathasaritsagara dalam Bahasa Malaysia (bukan bahasa Melayu) sebagai santapan minda masyarakat pelbagai
kaum yang menggemari bahan bacaan bermutu.
Teks
asal Kathasaritsagara dalam bahasa
Sanskrit amat kompleks kerana merupakan jaringan cerita berbingkai yang berselirat
serta menampilkan terlalu banyak watak dan subplot. Tidak mustahil, pembaca zaman
sekarang menghadapi masalah untuk menghayati dan menikmatinya jika saya sekadar
melakukan terjemahan langsung (direct translation).
Maka, bagi
tujuan projek ini, mulai 1 Ogos 2022, saya membaca, mendengar, meneliti,
mengkaji, menghayati, menganalisis, mendalami, memahami, dan menikmati Kathasaritsagara dalam pelbagai versi, edisi,
bahasa, dan dari pelbagai sumber.
Pada
masa sama, saya menceritakan semula (retell) kisah-kisah terpilih dengan gaya
dan kreativiti tersendiri menggunakan bahasa yang mudah difahami. Sesiapa yang membaca
kisah-kisah ini pasti akan menyedari betapa cerita rakyat dalam Kathasaritsagara merangkumkan pelbagai
tema yang sesuai dengan penduduk di seluruh rantau Asia.
Tidak
hairanlah koleksi cerita itu dinamakan “The
Ocean of Story” oleh Penzer. Koleksi
berkenaan umpama lautan yang mengumpulkan cerita dari kesemua sungai yang
mengalir ke dalamnya. Kajian oleh Jacob
Samuel Speyer berjudul Studies About
The Kathasaritsagara (1908) boleh membantu kita lebih memahami topik ini.
Anda tentu ingat filem Musang Berjanggut (1959) lakonan dan arahan P. Ramlee. Akan tetapi,
mungkin ramai orang tidak tahu bahawa cerita itu bersumberkan sebuah kisah
dalam Kathasaritsagara. Begitu
juga kisah Sultan Melaka mengarahkan Hang
Tuah dibunuh
tetapi Bendahara menyembunyikannya. Kisah hampir sama terdapat dalam teks
cerita rakyat ini.
Ada ratusan
cerita rakyat dan dongeng dalam Kathasaritsagara.
Misalnya, kisah seekor ikan ketawa
apabila seorang raja mengarahkan seorang pemuda dihukum bunuh. Roh seorang pemuda
pula meninggalkan tubuhnya dan masuk ke dalam tubuh raja yang mangkat. Apakah
kekecohan yang berlaku selepas itu? Buku Kathasaritsagara ada jawapan.
Memandangkan ada sekitar 350 cerita dalam teks
asal, tentulah saya tidak mampu memasukkan kesemuanya dalam buku Katha Sarit Sagara [working
title] yang sedang saya usahakan. Malah, ada banyak
cerita yang hanya satu atau dua perenggan pendek. Cerita seperti itu diabaikan
kerana saya menumpukan perhatian kepada cerita-cerita yang lebih panjang dan
mampu memikat hati pembaca pelbagai kaum di Malaysia.
Walaupun cerita rakyat dan dongeng sering
dianggap bahan bacaan dan cerita moral untuk kanak-kanak, projek buku Kathasaritsagara yang sedang saya usahakan disasarkan
kepada pembaca dewasa, khasnya ibu bapa. Harapan saya supaya mereka membaca
kisah-kisah ini dan kemudian menceritakan pula kepada anak-anak dengan gaya
tersendiri.
Buku yang saya berikan judul tentatif Katha Sarit Sagara diharap
membantu kita memahami betapa manusia di seluruh dunia, khasnya di rantau Asia,
memiliki khazanah cerita rakyat yang hampir sama kerana budaya, corak pemikiran,
dan pandangan dunia (weltanschauung, worldview) kita sebenarnya tidak jauh
berbeza. [Sila klik di sini untuk
maklumat lanjut berkaitan projek buku Katha
Sarit Sagara.]