Dalam
soal kemampuan menghasilkan karya Sastera Kebangsaan, pandangan Othman Puteh
(2010: 2) boleh dijadikan panduan kerana katanya, “Untuk menyampaikan pemikiran
dan perasaan, seseorang pengarang tidak hanya perlu menguasai persoalan dan
bahasa, tetapi juga harus dapat menguasai teknik pengolahan bahasa itu.”
Beliau
melihat cerpen sebagai karya kreatif yang mempunyai gaya tersendiri dalam
menyampaikan pemikiran dan emosi penulis dan masyarakat yang diwakilinya.
Dari
segi literasi secara amnya, Ismail Hussein
(1982: 21) melihat semacam revolusi yang hebat pada tahun 1980-an, iaitu
selepas Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya dan Bahasa Malaysia sudah
menjadi bahasa pengantar utama dari peringkat sekolah hingga universiti.
Beliau
menyaksikan tahap literasi Bahasa Malaysia yang membanggakan dalam kalangan
kaum Bukan Melayu. Malah, Ismail Hussein tidak was-was Bahasa Malaysia sudah
mencapai tahap mampu menjadi medium pengucapan budaya yang utama bagi masyarakat
pelbagai kaum.
Perkara
ini tentu juga termasuk kemampuan golongan penulis Bukan Melayu mengangkat
budaya masing-masing dalam karya Sastera Kebangsaan.
[Esei bertajuk “Sumbangan Penulis Kaum
India Malaysia Kepada Bahasa Kebangsaan dan Sastera Kebangsaan” ditulis oleh Uthaya Sankar SB
dengan kerjasama Krishanan Maniam.
Esei ini tersiar di jurnal Sarjana
terbitan Fakulti Sains dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Vol. 34 No. 2 (2019) dan boleh dimuat
turun di sini.
Baca juga — Analisis Karya Antologi Menara.]