15 Aug 2020

Analisis Karya Antologi Menara

Keberhasilan Dasar Pelajaran Kebangsaan dalam melahirkan generasi baharu kaum Bukan Melayu yang mampu menyumbang kepada perkembangan Sastera Kebangsaan dapat dilihat secara nyata menerusi Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (kemudian dinamakan Hadiah Cerpen Maybank-DBP) yang dianjurkan sebanyak tujuh kali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Malayan Banking (Maybank).

Pertandingan ini terbuka kepada penulis Bukan Melayu yang bahasa ibunda mereka bukan bahasa Melayu. Cerpen-cerpen yang layak diberi hadiah termuat dalam tujuh buah antologi iaitu Menara (11 cerpen), Menara 2 (12 cerpen), Menara 3 (13 cerpen), Menara 4 (11 cerpen), Menara 5 (12 cerpen), Menara 6 (11 cerpen), dan Menara 7 (11 cerpen).

Daripada sejumlah 81 buah cerpen yang menang hadiah dan termuat dalam tujuh buah antologi ini, 25 buah cerpen dihasilkan oleh 10 orang penulis kaum India. Daripada sejumlah 25 cerpen oleh 10 penulis kaum India, hasil pembacaan teliti mendapati hanya 17 cerpen oleh 6 penulis kaum India menampilkan budaya kaum India dan memenuhi skop kajian ini.


Walau bagaimanapun, daripada 6 orang penulis berkenaan, seorang adalah pengkaji sendiri yang menghasilkan 7 cerpen yang menggambarkan budaya kaum India. Maka, hanya 10 cerpen yang dihasilkan oleh 5 penulis kaum India serta termuat dalam antologi pemenang Hadiah Cerpen Maybank-DBP dianalisis secara lebih lanjut untuk meneliti sumbangan penulis kaum India kepada Sastera Kebangsaan menerusi pemaparan budaya kaum India.

Esei penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2021).

[Esei kajian ini bertajuk “Paparan Budaya Kaum India dalam Cerpen Sasterawan Kavyan: Analisis Karya Antologi Menara”. Esei ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB semasa Sesi Penulisan Intensif V pada November 2019 dan tersiar di majalah Dewan Sastera keluaran Ogos 2020. Baca juga  Sarjana: Sumbangan Penulis Kaum India Malaysia]