Sebagai
sebahagian pengisian Program Diskusi Buku Impian
dan Harapan sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Negeri Melaka 2012,
saya diberi ruang dan peluang untuk berkongsi pandangan dan pengalaman
berkaitan “panduan menulis cerpen untuk
memenangi peraduan” pada 8 Disember 2012 di Pusat Bahasa dan Pembangunan
Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka.
Topik
yang diberikan adalah amat wajar dan sesuai memandangkan Ikatan Persuratan
Melayu (IPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan
serta Kerajaan Negeri Melaka menerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme
(IKSEP) baru sahaja selesai menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen dan Sajak 2010/2011
sempena ulang tahun ke-60 penubuhan IPM.
Beberapa
panduan yang saya berikan pada program itu adalah berdasarkan pengalaman
mengendalikan siri bengkel cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di seluruh
negara sejak 1999.
Apa-apa
yang saya kongsikan adalah lebih berupa galakan, bimbingan dan suntikan
semangat demi manfaat sesiapa yang berminat untuk menimba ilmu ke arah
menghasilkan cerpen-cerpen bermutu, sekali gus meningkatkan peluang memenangi
peraduan.
1. Patuhi Syarat
Peraduan
Inilah
panduan paling utama jika anda merancang untuk mengambil bahagian dalam
mana-mana sayembara, peraduan atau pertandingan menulis cerpen. Baca
syarat-syarat dan peraturan dengan teliti. Walaupun saya pernah menang dalam
beberapa pertandingan cerpen, saya tidak pernah menulis cerpen khusus untuk
mana-mana pertandingan.
Bagaimanapun,
apabila saya memutuskan untuk mengirim manuskrip cerpen yang sedia ada (sudah
ditulis) bagi tujuan pertandingan, saya membaca dan meneliti semua syarat
pertandingan itu. Sekiranya manuskrip cerpen yang sedia ada itu memenuhi
kesemua syarat, barulah saya mengirimnya untuk dinilai. [Contohnya “Nayagi” serta “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah”]
Jika
anda bercadang menghasilkan manuskrip cerpen khusus untuk pertandingan, maka
bacalah peraturan dengan teliti dan jadikannya sebagai panduan sebelum
memulakan kerja-kerja menulis cerpen.
Antara
syarat, peraturan dan panduan yang perlu diberi perhatian adalah berkenaan
panjang cerpen, tema, persoalan, umur peserta, kaum dan agama (memang ada peraduan
yang meletakkan syarat itu), tempat lahir, cara menghantar manuskrip, dan
tarikh tutup.
Biasanya,
peraturan pertandingan juga akan menyatakan dengan jelas bahawa cerpen yang
menyentuh sensitiviti masyarakat serta menghina kaum dan agama akan ditolak.
Dalam konteks budaya Malaysia, tentulah memalukan sekiranya anda sebagai
penulis masih ketara menghasilkan karya yang secara terang-terangan menghina,
mempersenda, mendiskriminasi dan menjatuhkan maruah kaum, etnik dan penganut
agama lain.
Sekiranya
segala syarat, panduan dan peraturan pertandingan yang dinyatakan secara jelas
itu gagal dipatuhi, tindakan anda menulis dan mengirim manuskrip cerpen itu adalah
sia-sia. Penganjur berhak — dan amat wajar — menolak manuskrip yang tidak
mematuhi syarat.
2. Baca Laporan
Panel Hakim
Sekiranya
anda bercadang mengambil bahagian dalam mana-mana peraduan menulis cerpen,
ambil inisiatif untuk membaca laporan panel hakim yang biasanya akan
diterbitkan bersama-sama antologi atau buku yang diterbitkan.
Dalam
laporan panel hakim yang turut dimuatkan dalam antologi Impian dan Harapan (2012) misalnya, dinyatakan bahawa panel telah
melihat dari aspek tema, persoalan dan gaya bahasa sebagai penilaian utama.
Aspek-aspek
lain yang diberi perhatian turut dinyatakan. Maka, perkara-perkara ini boleh —
malah harus — dijadikan panduan asas apabila anda menulis cerpen bagi tujuan
pertandingan pada masa hadapan; khususnya jika dianjurkan IPM.
Anda
juga wajar — malah wajib — membaca kesemua cerpen yang termuat dalam antologi pertandingan
terdahulu untuk memahami kekuatan yang terdapat pada setiap satu daripadanya.
Dalam antologi Impian dan Harapan, panel
hakim turut menghuraikan kekuatan cerpen “Jangan Ambil Tahu” karya Ab Jalil bin
Alimon, “Takdir di Hening Takbir” (Alina binti Idris) dan “Ayun” (Nur Natasha
Mohamad Sain) yang menang hadiah utama.
Panel
hakim mengakui bahawa ketiga-tiga cerpen berkenaan mengangkat tema yang biasa
tetapi kekuatan terletak pada cara cerita diolah dan digarap. Maka, anda boleh
“belajar” bahawa seorang penulis yang berbakat pasti mampu menceritakan sesuatu
yang biasa dengan gaya dan teknik penceritaan yang luar biasa.
Pembacaan
teliti terhadap laporan hakim dan kesemua cerpen yang menang hadiah utama dalam
mana-mana pertandingan akan mampu membantu anda menghasilkan cerpen bermutu
untuk dikirim bagi pertandingan sama pada masa hadapan.
Calon
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biasanya membaca, meneliti dan menganalisis
kertas soalan tahun-tahun terdahulu. Tindakan itu bagi mempersiapkan diri
menghadapi peperiksaan akan datang. Langkah membaca, meneliti dan menganalisis
laporan panel hakin serta kesemua cerpen yang menang dalam pelbagai
pertandingan juga mempunyai tujuan hampir sama; iaitu sebagai persiapan bagi
menyertai pertandingan cerpen akan datang.
3. Cari Kelainan
dalam Cerita
Walau
bagaimanapun, dalam usaha memikat hati panel hakim, anda tentu sahaja tidak
setakat mampu menulis cerita berdasarkan tema yang biasa-biasa. Saya sering
menasihatkan peserta Bengkel Cerpen Kavyan supaya tidak mengulang tema/cerita
yang sudah 1,008 kali ditulis orang. [Lihat juga —
Sesi
Penulisan Intensif]
Sebagai
seorang insan kreatif, anda harus ada kemampuan untuk mencari kelainan dalam
tema dan gaya penceritaan. Tugas ini akan menjadi lebih mudah jika anda banyak
membaca. Jika idea cerita yang muncul dalam minda merupakan cerita yang klise,
bosan dan sudah 1,008 kali ditulis orang, maka tinggalkan idea itu dan cari
idea lain. — Bersambung … [Bahagian 2]
[Panduan
ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan pertama kali tersiar
di The Malaysian Insider pada 16
Disember 2012.]