25 Sept 2013

Monalita dan Nayagi

Saya menyukai cerpen “Nayagi”. Memang saya membaca kesemua cerpen dalam kumpulan Kisah dari Siru Kambam (2013) tetapi “Nayagi” paling melekat dalam hati. Hal ini mungkin kerana Uthaya Sankar SB mengangkat watak gadis kecil bernama Madhavi sebagai adiwira dalam cerpen ini. Madhavi dengan swadaya kecilnya berusaha untuk memboloskan diri daripada sebuah permintaan yang tidak mungkin direlakannya. Pengarang melukiskan watak Madhavi yang naif dengan baik, sehingga terasa dalam hati pembaca. Apabila Madhavi girang, saya turut merasa girang. Kesedihan Madhavi kerana dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak disukainya juga meresap memberikan simpati dalam jiwa. Saya suka latar cerita yang berunsur klasik dan tradisional. Sedikit sebanyak saya memperolehi pengetahuan tentang sosio-budaya kaum India – seperti adat perkahwinan – secara lebih dekat walaupun kerap menonton filem Tamil.
 
[Monalita Mansor seorang suri rumah dan penulis sepenuh masa. Beliau tinggal di Petaling Jaya dan karya-karya beliau sering menghiasi halaman akhbar dan majalah tempatan. Selain aktif menyertai aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Monalita juga terlibat sebagai Editor Bersekutu dalam menjayakan penerbitan kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013).]
 
Cerpen mana pula kegemaran anda? Kirim ulasan/komen/kritikan ringkas ke uthayasb@yahoo.com.my