20 Sept 2013

Selamat Memantau!

Baru-baru ini – 15 September 2013 – saya mendapat maklumat rasmi bahawa banyak juga makalah saya yang disiarkan di portal berita dalam talian seperti Free Malaysia Today, The Malaysian Insider, Projek Dialog, The Malay Mail Online dan Roketkini diterjemahkan ke Bahasa Tamil.
 
Versi terjemahan Bahasa Tamil itu pula disiarkan di pelbagai media; media bercetak dan media alternatif. Saya memang tidak tahu-menahu mengenai perkara ini.
 
Foto yang dipaparkan di sini adalah keratan akhbar Tamil Malar (18 September 2013) yang menyiarkan petikan makalah saya bertajuk “Penulis Tamil Juga Mangsa Royalti” (Free Malaysia Today, 16 September 2013). Saya mendapat tahu menerusi perkongsian rakan-rakan di Facebook.
 
Pada tarikh sama juga saya mendapat pengesahan bahawa makalah-makalah saya yang diterjemahkan daripada Bahasa Malaysia ke Bahasa Tamil dan disiarkan di media Bahasa Tamil dipantau oleh “pihak berkuasa” (pihak yang ada kuasa).
 
Terdapat “unit khas” yang bertugas menterjemahkan makalah-makalah Bahasa Tamil itu ke Bahasa Malaysia dan menyediakan laporan untuk perhatian “pihak atasan” (pihak di atas yang tiada masa untuk membaca).
 
Umum mengetahui bahawa saya secara penuh sedar memilih untuk menulis makalah menggunakan Bahasa Malaysia supaya apa-apa yang saya tulis mampu dibaca oleh seluruh Bangsa Malaysia. Cuma sesekali saya menulis menggunakan Bahasa Inggeris.
 
Maka, amat pelik apabila makalah-makalah saya yang pada asalnya memang dalam Bahasa Malaysia – kemudian dipetik dan diterjemahkan ke Bahasa Tamil tanpa pengetahuan saya – diterjemahkan kembali ke Bahasa Malaysia oleh “unit khas” bagi membolehkan “pihak berkuasa” memantau tulisan saya.
 
Saya menyarankan kepada “pihak berkuasa” supaya terus sahaja memantau blog saya di www.uthayasb.blogspot bagi memudahkan urusan “unit khas” (penterjemah).
 
Atau ikuti perkembangan saya menerusi Facebookwww.facebook.com/uthaya – kerana setiap kali makalah saya tersiar di mana-mana portal berita, saya akan kongsikan menerusi Facebook.
 
Kalau puak anti-Kavyan dan puak anti-Uthaya boleh melakukan demikian (memantau Facebook dan blog saya) tanpa sebarang sekatan atau halangan, tentulah saya juga tidak akan menghalang “pihak berkuasa” dan “unit khas” mengikuti perkembangan saya menerusi Facebook dan blog. Tidak perlu menjadi “sahabat” saya di Facebook kerana paparan saya adalah berciri “umum” (public).
 
Apa-apa pun, terima kasih kerana memilih blog dan tulisan/makalah saya untuk dipantau. Saya berasa amat bangga dan terharu atas perhatian yang diberikan. Semoga hasil pemantauan ini akan memutikkan rasa cinta “unit khas” dan “pihak berkuasa” terhadap Bahasa Malaysia. Selamat memantau!