Jika anda termasuk dalam salah satu kategori di bawah, maka
anda harus meneruskan pembacaan kerana catatan ini ditujukan khusus kepada
anda.
1 – Mengambil
mata pelajaran Bahasa Tamil peringkat SPM dan/atau STPM.
2 – Penulis karya
kreatif Tamil (cerpen, puisi, novel).
3 – Guru besar
atau penolong kanan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
4 – Guru di
SJKT; khususnya jika mengajar mata pelajaran Bahasa Tamil.
5 – Ibu bapa atau
penjaga yang menghantar anak-anak ke SJKT.
Saya memerlukan sokongan anda untuk membantu mengembang dan
merancakkan industri buku (puisi, cerpen, novel) Tamil di Malaysia.
Kita sering mendengar bagaimana para penulis Tamil tempatan
(warganegara Malaysia) menghadapi masalah untuk menjual buku-buku karya fiskyen
– puisi, cerpen, novel – yang mereka hasilkan; biasanya diterbitkan sendiri.
Dahulu, sering kali politikus dan pemimpin MIC diundang
untuk melancarkan buku. Majlis-majlis pelancaran buku Tamil masih diadakan –
dengan mengundang atau tidak melibatkan politikus.
Walau bagaimanapun, golongan penulis Tamil sering merungut
dan mengeluh kerana sukar menjual 500
naskhah buku yang dicetak – biasanya menggunakan wang sendiri. Cerpen Ve.
Rajeswary yang diterjemahkan dengan judul “Raja Kehilangan Tampuk” (Seruling di Persimpangan, DBP:
1999) mendedahkan secara terus terang hakikat dan cabaran yang terpaksa
dihadapi oleh penulis Tamil yang ingin membukukan hasil karya mereka.
Apa yang mahu dilakukan?
Saya mahu berusaha mencari formula dan melaksanakan cara
mudah untuk membantu para penulis Tamil tempatan mempromosi dan
memasarkan buku yang mereka terbitkan.
Hampir 85% kaum India di Malaysia adalah orang
berketurunan Tamil yang mengamalkan
budaya Tamil, dan bertutur bahasa Tamil (Sumber). Malah, ramai juga orang
berketurunan Telugu dan Malayali yang turut menguasai serta bertutur
bahasa Tamil.
Secara logik yang mudah, sejumlah hampir 85% kaum India
berketurunan Tamil ini sudah mencukupi untuk memberi sokongan padu kepada para
penulis Tamil tempatan yang mahu menjual buku puisi, cerpen dan novel mereka.
Bagaimanapun, marilah kita melihat golongan atau kelompok
yang lebih berfokus dan sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk menyokong,
membeli dan membaca buku Tamil tempatan.
1 – Calon serta lepasan SPM dan STPM yang
mengambil mata pelajaran Bahasa Tamil. Sekitar 55% anak-anak kaum India belajar
di SJKT. Bagaimanapun, jumlah calon yang mengambil Bahasa Tamil bagi SPM pada
masa kini sekitar 9,500 orang dan bagi STPM pula sekitar 700 orang (Sumber).
Calon-calon SPM dan STPM ini boleh dianggap pencinta sejati
bahasa Tamil. Ada juga dalam kalangan mereka yang mengambil mata pelajaran
Sastera Tamil. Maka, bayangkan jika 500 orang daripada pencinta Tamil yang mengambil
mata pelajaran Bahasa Tamil peringkat SPM/STPM menyokong, membeli dan membaca buku
penulis Tamil tempatan!
2 – Menurut kenyataan Persatuan Penulis-penulis
Tamil Malaysia, terdapat sekurang-kurangnya 1,000 penulis Tamil sepenuh masa di
Malaysia. Jumlah ahli persatuan itu pula seramai 1,500 orang (Sumber). Terdapat juga pelbagai
persatuan dan kelab berkaitan bahasa Tamil, pencinta sastera Tamil, dan pembaca
buku Tamil di seluruh negara.
[Jumlah penulis Tamil dipertikai oleh penulis Tamil sendiri! — Baca di Sini]
[Jumlah penulis Tamil dipertikai oleh penulis Tamil sendiri! — Baca di Sini]
Realiti kewujudan lebih 1,000 penulis Tamil adalah sesuatu
yang amat membanggakan. Secara perbandingan, jumlah Sasterawan Kavyan – penulis kaum India
yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia – tidak sampai 30 orang di
seluruh negara. Maka, bayangkan jika 500 orang daripada lebih 1,000 penulis Tamil
menyokong, membeli dan membaca buku penulis Tamil tempatan!
3 – Guru besar dan penolong kanan di SJKT
termasuk dalam kategori pentadbir sekolah. Mereka sudah lama menjadi guru di
SJKT dan merupakan pencinta sekolah Tamil dan bahasa Tamil.
Pada masa kini, terdapat 530 buah SJKT di seluruh negara.
Setiap sekolah tentu ada peruntukan khas bagi membeli buku. Kita sedar bahawa
peruntukan itu amat kurang. Akan tetapi, di
mana ada kemahuan di situ ada jalan. Buku boleh dibeli untuk perpustakaan
sekolah.
Golongan guru besar dan penolong kanan yang merupakan
pencinta bahasa Tamil tentu tidak menghadapi masalah untuk menyokong buku-buku
Tamil tempatan. Maka, bayangkan jika 500 orang guru besar dan penolong kanan dari lebih 500 buah SJKT seluruh negara
menyokong, membeli dan membaca buku penulis Tamil tempatan!
4 – Setiap SJKT ada guru kaum India yang
merupakan pencinta bahasa Tamil. Kebanyakan mereka memang menjadi guru Bahasa
Tamil di SJKT kerana itulah impian dan cita-cita mereka. Ramai mengajar mata
pelajaran Bahasa Tamil. Mereka adalah pejuang sejati bahasa Tamil dan budaya
Tamil.
Golongan guru-guru ini bukan hanya menjadi pendidik yang
mengasuh murid-murid menjadi pencinta bahasa ibunda. Lebih daripada itu, mereka
sendiri adalah pencinta bahasa, budaya dan sastera Tamil. Maka, bayangkan jika 500 orang guru Tamil dari lebih 500 buah SJKT seluruh negara menyokong, membeli dan membaca
buku penulis Tamil tempatan!
5 – Pada masa kini, hampir 55% kanak-kanak kaum India mendapat pendidikan rendah di SJKT (Sumber). Secara logik, tentulah ibu
bapa atau penjaga yang membuat keputusan menghantar anak-anak mereka ke SJKT.
Rasional dan sebab utama adalah kerana ibu bapa dan penjaga mahu anak-anak
turut menguasai dan mencintai bahasa ibunda (Tamil). Kempen “SJKT
Pilihan Kita” juga mendapat sokongan padu.
Agak menarik kerana ibu bapa kaum India seperti di atas
memiliki kesedaran amat tinggi tentang kepentingan, keperluan serta peranan
mereka dalam memastikan anak-anak mereka turut menjadi pencinta bahasa Tamil.
Maka, bayangkan jika 500 orang daripada sekian ramai ibu bapa Tamil
menyokong, membeli dan membaca buku penulis Tamil tempatan!
Berapa orang yang diperlukan?
Daripada pemerhatian di atas, amat jelas bahawa kita
sepatutnya tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapat sokongan padu daripada
lima kategori pencinta bahasa Tamil bagi menyokong, membeli dan membaca buku
penulis Tamil tempatan.
500
orang calon SPM / STPM yang mengambil mata pelajaran Bahasa Tamil
500
orang penulis Tamil
500
orang guru besar / penolong kanan SJKT
500
orang guru Bahasa Tamil di SJKT
500
orang ibu bapa / penjaga yang menghantar anak-anak ke SJKT
Nah! Sudah ada minimum 2,500 orang yang secara terang-terangan merupakan
pencinta dan pejuang bahasa, budaya dan sastera Tamil. Kita belum lagi
mengambil kira pelbagai pihak lain. Malah, tidak juga mengambil kira pasaran di
luar negara seperti Sri Lanka, Singapura, dan Tamil Nadu, India.
Bayangkan jika 2,500 pencinta bahasa Tamil menyokong buku yang
dihasilkan oleh penulis Tamil tempatan – karya
sastera bermutu, tentunya. Kita tidak akan mendengar lagi kisah-kisah sedih
penulis Tamil yang terpaksa merayu dan menyembah politikus untuk datang
melancarkan buku.
Kita tidak perlu lagi melihat nasib buruk penulis Tamil yang
dikatakan (mungkin lawak sahaja?) terpaksa menyimpan stok buku di bawah katil
kerana tidak ada orang yang mahu membeli. Kita juga tidak perlu terlalu risau
jika jabatan kerajaan atau perpustakaan negeri/negara tidak membeli buku-buku
ini. Kita boleh menggunakan “kuasa” para pencinta bahasa dan buku Tamil untuk memastikan
karya Tamil tempatan terus maju dan makmur.
Bolehkah rancangan ini berjaya?
Sejumlah 2,500
orang yang dinyatakan di atas sebenarnya adalah angka minimum. Namun, untuk berlaku adil, buat permulaan, saya
hanya mahu mensasarkan kepada 20% daripada sejumlah 2,500 orang yang dinyatakan tadi.
Maknanya, hanya 500 orang mengikut anggaran berikut:
100 orang calon SPM / STPM yang mengambil mata pelajaran Bahasa Tamil
100 orang penulis Tamil tempatan
100 orang guru besar / penolong kanan SJKT
100 orang guru Bahasa Tamil di SJKT
100 orang ibu bapa / penjaga yang menghantar anak-anak ke SJKT
Tentulah tidak keterlaluan untuk mengharapkan sokongan
daripada 500
orang pencinta dan pejuang bahasa, budaya dan sastera Tamil di
Malaysia. Jumlah ini sebenarnya amat
kecil berbanding jumlah sebenar pencinta bahasa dan sastera Tamil di
Malaysia.
Saya bercadang mahu berkongsi maklumat mengenai buku-buku
terbaharu yang dihasilkan oleh penulis Tamil tempatan – khususnya daripada
kalangan 100 orang penulis Tamil
yang dinyatakan di atas.
Jika anda sedar bahawa anda termasuk dalam salah satu daripada lima kategori
individu yang dinyatakan di atas, saya memerlukan sokongan anda untuk
membantu mengembang dan merancakkan industri buku (puisi, cerpen, novel) Tamil di Malaysia.
Saya yakin bahawa perkara ini boleh dilakukan jika mendapat
kerjasama daripada anda – para
pencinta bahasa, budaya dan sastera Tamil!
Apa yang perlu dilakukan?
Sila kirim maklumat diri (nama
penuh) ke WhatsApp 011–11411952 (Uthaya Sankar SB) selewat-lewatnya pada 31 Disember 2019.
Mulai Januari 2020, saya akan berkongsi maklumat buku-buku
terbaharu yang dihasilkan penulis Tamil tempatan – khususnya penulis yang
mengambil bahagian dalam projek ini.
Jaminan: Nombor telefon anda tidak akan dikongsi dengan orang lain.
Sekiranya anda berminat membeli dan membaca buku Tamil tempatan
yang dipromosi, saya akan mengusulkan kepada penulis terbabit supaya memberi
diskaun khas. Anda akan membeli buku itu terus daripada penulis.
Kalau 500 orang dalam projek ini membeli buku berkenaan,
penulis Tamil tempatan boleh menarik nafas lega!
Saya – menerusi Kumpulan Sasterawan Kavyan – akan turut berusaha
mengatur program
seperti pelancaran buku bersama, diskusi buku, jualan buku, acara baca karya,
dan pertemuan dengan penulis pelbagai kaum/bahasa. Semua ini demi kebaikan para
penulis Tamil tempatan, sekali gus merancakkan industri buku Tamil tempatan.
Walau bagaimanapun, semuanya kini bergantung pada sokongan
daripada anda — pencinta dan pejuang
bahasa, budaya dan sastera Tamil.
Ayuh! Bertindaklah sekarang.
Sila kirim maklumat diri (nama
penuh) ke WhatsApp 011–11411952 (Uthaya Sankar SB) selewat-lewatnya pada 31 Disember 2019.