Wednesday, 15 May 2019

Penulis Tamil ke Gapena


SASTERA Kebangsaan di negara ini turut diwarnai penulis bukan Melayu, seperti penulis kaum Cina dan India, keturunan Siam serta etnik di Sabah dan Sarawak.

Pengkaji sastera seperti Othman Puteh, Mohamad Saleeh Rahamad dan Krishanan Maniam mengakui jumlah penulis kaum India yang terlibat secara langsung dalam Sastera Kebangsaan sejak tahun 1970-an boleh dibilang dengan jari.

Sementara itu, laporan Bernama (29 April 2013) menyebut terdapat sekurang-kurangnya seribu penulis Tamil sepenuh masa di Malaysia, manakala ribuan lagi menulis secara sambilan. Menurut kenyataan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (Bernama, 26 Mei 2013), jumlah keahliannya adalah 1,500 orang.

Bayangkan jika 10 peratus daripada mereka turut menghasilkan karya menggunakan bahasa kebangsaan! Maka akan ada sekurang-kurangnya 100 penulis kaum India yang menyumbang kepada perkembangan Sastera Kebangsaan.

Sebenarnya, usaha ke arah itu pernah dilakukan sejak tahun 1960-an. Pada 11 Jun 1972 pula, sekitar 50 penulis Tamil mendengar ceramah khas mengenai Sastera Kebangsaan yang disampaikan oleh Shahnon Ahmad, Usman Awang dan Abdullah Hussain mewakili Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).

Program yang berlangsung di Galeri Seni, Batu Caves itu turut dilaporkan dengan nada positif dan penuh harapan di akhbar Balai Muhibbah (Jun 1972) dan majalah Dewan Sastera (Julai 1972).

Presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia waktu itu, Murugu Subramanian yang juga ketua pengarang akhbar Tamil Nesan menzahirkan komitmen penulis Tamil untuk turut menghasilkan karya bahasa kebangsaan.

Susulan daripada itu, setiausaha persatuan berkenaan, Peer Mohamed Syed Mohamed (foto) memaklumkan bahawa mesyuarat agung tahunan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia meluluskan usul untuk menjadi anggota kerabat Gapena (Balai Muhibbah, Ogos 1972).

“Kami sedang giat menguasai bahasa kebangsaan untuk menulis dengan baik dan memberikan sumbangan terhadap kesusasteraan nasional,” kata Murugu dengan penuh keinsafan seperti dilaporkan media waktu itu.

Sebagai langkah awal, karya-karya bahasa Tamil diterjemahkan dan disiarkan di akhbar Balai Muhibbah (terbitan Jabatan Perpaduan Negara) dan majalah Dewan Sastera (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka).

Gapena dan DBP juga sering mengundang para penulis Tamil menghadiri program Sastera Kebangsaan yang dianjurkan di seluruh negara pada tahun 1970-an dan 1980-an.

Akan tetapi, niat dan cadangan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia untuk menjadi anggota kerabat Gapena senyap begitu sahaja. Generasi baharu penulis Tamil yang menganggotai persatuan itu mungkin tidak tahu-menahu mengenai apa yang pernah berlaku pada tahun 1970-an dahulu.


Semasa menyertai Festival Sastera Perpaduan Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah pada 22-25 Ogos 2003, penulis berpeluang berbual dengan Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussein (foto) mengenai perkara ini.

Beliau antara tokoh bahasa dan sastera yang menyokong kuat idea Sastera Kebangsaan yang mana penulis pelbagai kaum diseru supaya menghasilkan karya sastera menggunakan bahasa kebangsaan bagi menggambarkan keunikan budaya dan kehidupan kaum masing-masing.

Ismail Hussein memaklumkan bahawa cadangan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia untuk bernaung di bawah Gapena terpaksa ditolak kerana persatuan itu tidak mahu berkompromi dalam soal bahasa yang termaktub dalam perlembagaan pertubuhan itu.

Persatuan itu mahu tetap mengangkat bahasa Tamil sebagai bahasa utama yang dijadikan medium penulisan dan diperjuangkan. Manakala, Gapena menetapkan semua persatuan yang menjadi kerabatnya meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama.

Penulis juga berpeluang menghubungi Peer Mohamed Syed Mohamed, baru-baru ini [7 April 2019], untuk mendapatkan maklumat mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

Menurut beliau, Murugu Subramanian memang bersetuju dengan keputusan menjadi ahli kerabat Gapena dan menggalakkan penulis Tamil turut menghasilkan karya bahasa kebangsaan. Akan tetapi, ada sebahagian ahli yang kurang bersetuju.

Dipendekkan cerita, Murugu (Presiden) dan Peer Mohamed Syed Mohamed (Setiausaha) tidak dapat mempertahankan jawatan mereka. Jawatankuasa baharu pula memutuskan untuk membatalkan cadangan menjadi ahli kerabat Gapena.

Namun begitu, Gapena dan DBP meneruskan usahasama dengan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia bagi memeriahkan program sastera tanah air.

Penulis Tamil digalakkan menterjemah karya mereka agar boleh dibaca dan dinikmati seluruh rakyat Malaysia. Pada masa sama, mereka juga sentiasa dinasihatkan supaya berusaha menulis secara langsung dalam bahasa kebangsaan.

Antara penulis Tamil yang berjaya menghasilkan karya dalam bahasa kebangsaan pada tahun 1970-an ialah G. Soosai, Joseph Selvam (foto) dan N.S. Maniam.

Generasi baharu penulis kaum India yang muncul selepas tahun 1985 sudah mampu menulis secara langsung menggunakan bahasa kebangsaan. Mereka terhasil daripada Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dilaksanakan mulai tahun 1970.

Mereka inilah juga kelompok penulis yang diimpikan oleh Ismail Hussein, Baha Zain, Mohd. Taib Osman dan Kemala sejak tahun 1970-an lagi iaitu kelompok penulis bukan Melayu yang mampu memperkaya Sastera Kebangsaan dengan karya yang mengangkat budaya kaum sendiri menjelang tahun 1990-an.

Menurut data Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pada masa kini, terdapat sekitar sepuluh sahaja Sasterawan Kavyan iaitu penulis kaum India yang masih aktif menghasilkan karya secara asli dalam bahasa kebangsaan.

Sementara itu daripada sekurang-kurangnya 1,500 penulis Tamil yang dikatakan menjadi ahli Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, tidak ada seorang pun dikenal pasti aktif menyumbang kepada Sastera Kebangsaan.

Mungkin senario pada hari ini adalah amat berbeza jika Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia menjadi ahli kerabat Gapena pada tahun 1972.

Uthaya Sankar SB adalah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Beliau terlibat dalam Sastera Kebangsaan sejak tahun 1991.

[Rencana ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 18 April 2019 dan disiarkan di Mingguan Malaysia pada 12 Mei 2019. Baca juga — Penerimaan Kaum India Terhadap Bahasa Kebangsaan]


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!