27 Nov 2018

Penjilat Mahu “Melawan” Untuk Jumpa Menteri?

Khabarnya, penulis dan persatuan penulis “arus perdana” merasakan mereka juga perlu bersikap “melawan” jika mahu mendapat peluang bertemu empat mata dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Perkara ini disebut oleh Sayed Munawar selaku moderator semasa sesi khas bersama Maszlee sempena Himpunan Penulis Malaysia di Universiti Kebangsaan Malayia (UKM) pada 16 November 2018.

Menurut Munawar, ada wakil persatuan “arus perdana” berbisik hal itu kepadanya berikutan peristiwa sekumpulan penulis/penerbit/aktivis “pinggiran” mengadakan pertemuan dalam kumpulan kecil bersama Maszlee pada 14 November 2018 di Putrajaya — foto di sini.

Ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan supaya tidak timbul salah faham dan “salah asuhan” dalam perkara ini.

Kami, kumpulan penulis/penerbit/aktivis, yang dikatakan “melawan” sebenarnya bukan melawan. Kami sekadar menjalankan tanggungjawab mengingatkan Maszlee bahawa beliau selaku menteri perlu berwaspada terhadap “penjilat” yang akan menyokong mana-mana kuasawan asalkan mendapat dana dan habuan.

Kami mengingatkan Maszlee supaya jangan lupa bertemu “penulis” iaitu kelompok yang benar-benar menggerakkan industri penulisan dan perbukuan negara tanpa cuba “menjilat” kuasawan.

Baca ulasan bertajuk “Maszlee perlu bertemu penulis, bukan ‘penjilat” (Malaysiakini, 12 Novmber 2018) untuk penjelasan lanjut berkenaan hal ini.

Perlu juga ditekankan bahawa kumpulan kami (“pinggiran”) tidak tampil “melawan” (seperti ditanggapi wakil persatuan “arus perdana”) dengan niat dan harapan mahu bertemu empat mata dengan Maszlee.

Kami sekadar menjalankan tugas dan amanah mengingatkan menteri tentang realiti penulis, penulisan, persatuan penulis dan penerbitan di negara ini, agar beliau tahu membezakan antara “penulis” dan “penjilat”.

Itu sahaja. Kami tidak ada agenda mahu supaya diundang bertemu menteri dalam perjumpaan eksklusif. Kebetulan, Maszlee berpeluang membaca tulisan-tulisan (“amaran”) kami di media sosial dan Malaysiakini, lalu mengundang kami untuk bertemu. Maszlee mahu bertemu “penulis” seperti yang kami sarankan.

[Baca juga — Faisal Tehrani (Sastera adalah makanan anjing, 8 November 2018), Ronasina (Budaya ‘penulis menjilat’ memang ada, bukan baru, 10 November 2018), Arafat Hambali (Kenapa saya boikot himpunan penulis?, 10 November 2018) dan Abdullahjones (Sastera, anjing, kuda dan pura-pura, 11 November 2018)]

Malah, kami turut menghadiri Himpunan Penulis Malaysia kerana memang itu tempat kami sebagai penulis dan kami berhak untuk hadir. Himpunan itu bukan untuk “penjilat” tetapi bagi “penulis” seperti yang tercatat pada nama program. Ramai rakan-rakan penulis yang saya temui di sana — lihat foto di sini — dan saya berasa amat gembira kerana golongan “penulis” turut hadir.

Saya dimaklumkan, tokoh lidah bercabang dan talam dua muka juga hadir. Biarlah, kerana kehadiran mereka tidak bermakna “penulis” tidak boleh hadir.

Berbalik kepada undangan Maszlee untuk bertemu kami dua hari sebelum acara rasmi. Hal ini ternyata berbeza dengan kata-kata wakil persatuan penulis “arus perdana” yang mahu “melawan” dengan niat supaya menteri akan mengajak untuk bertemu secara eksklusif.

Nampak niat yang tidak murni dan tidak ikhlas itu? Tidak mustahil niat “pura-pura melawan” seperti difikirkan itu adalah untuk mencari ruang dan peluang mahu bertemu menteri secara eksklusif untuk “menjilat”, bukan untuk meneruskan perbincangan isu-isu penting seperti yang kami kumpulan “pinggiran” lakukan apabila diundang bertemu Maszlee.

Apa-apa pun, seperti disebutkan berkali-kali oleh Maszlee, tidak perlu ada lagi kategori penulis/penerbit/aktivis “pinggiran” di Malaysia Baharu kerana merekalah yang lebih berhak berada di “arus perdana”.


Pada masa sama, golongan “penjilat” juga tidak boleh dinafikan hak kerana selain aktif menjalankan kerja-kerja “menjilat”, mereka turut menyumbang kepada bidang penulisan dan penerbitan. Kehadiran mereka juga perlu direstui dan diterima dengan hati terbuka dan tanpa prejudis.

Cuma saya berharap “penjilat” tidak tiba-tiba menyusun agenda mahu “melawan” dengan niat mahu diundang bertemu oleh menteri supaya mereka boleh “menjilat” secara lebih dekat. Keadaan itu pasti menjadi malapetaka kepada negara dan bangsa, serta menjatuhkan maruah para penulis Malaysia.

Janganlah kerana “penjilat” setitik, rosak “penulis” sebelanga!

[UTHAYA SANKAR SB adalah penulis, penerbit dan pencinta buku. Ulasan ini ditulis pada 17 November 2018 dan disiarkan di Malaysiakini pada 19 November 2018. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]