8 May 2018

Antara Barisan dan Pakatan

Barisan Nasional atau Pakatan Harapan?

Biru Tua atau Biru Muda? PM Tua atau PM Muda?

Inilah dilema yang dialami, bukan hanya oleh saya, tetapi ramai pengundi di Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

[Baca juga – Mat Sabu atau V. Gunalan?]

Pada 2008, saya beralih mengundi Pakatan kerana yakin dengan calon yang bertanding kerusi Parlimen dan DUN di tempat saya. Saya mengundi Dr Siti Mariah Mahmud bagi Parlimen Kota Raja, dan Shuhaimi Shafiei bagi DUN Sri Muda (kini DUN Kota Kemuning).

Saya bukan penyokong Pakatan. Saya bukan penyokong Anwar.


Pada 2013, saya kembali mengundi Dr Siti Mariah dan Shuhaimi kerana puas hati dengan perkhidmatan yang mereka berikan. Saya juga sentiasa berhubung dengan mereka untuk berkongsi pandangan dan perkembangan semasa.

Sejak 2008, Pakatan berjaya membuktikan kemampuan mentadbir negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Peluang yang diberikan semula oleh Rakyat pada 2013, tidak dipersiakan oleh Pakatan yang kembali mentadbir Pulau Pinang dan Selangor. Memang ada sedikit kelemahan di sana-sini, tapi bumi mana yang tidak ditimpa hujan?


Malaysia mengamalkan demokrasi. Rakyat berhak memilih siapa yang mahu diundi. Undi adalah rahsia.

Saya tidak akan mengundi Mahathir, Muhyiddin, atau Anwar kalau mereka bertanding di tempat saya.


Saya ada rakan politikus dalam Barisan dan Pakatan; juga Pas dan PSM.

Antara calon yang pasti saya undi jika mereka bertanding di tempat saya ialah Dato’ Sivarraajh Chandran, Dato’ R. S. Maniam, Neruji Muniandy, Dr Siti Mariah, Shuhaimi Shafiei, Nik Nazmi Nik Ahmad, Suresh Kumar, Soo Kay Ping, dan Tan Keng Liang.


Apabila Barisan membentuk kerajaan pusat sejak 1957, tidak bermakna ia berhak kekal sebagai kerajaan pusat hingga kiamat.

Kuasa dan hak memilih di tangan Rakyat.

Di Selangor dan Pulau Pinang, Barisan membuktikan kehebatan menjadi pembangkang. Ya, pembangkang seperti ini yang kita perlukan! Pembangkang yang sentiasa buka mata, dan berani mengkritik.


Menjelang PRU-14, iklan calon-calon BN di Selangor memaparkan pelbagai kemajuan dan perkhidmatan yang telah mereka berikan kepada Rakyat. Bagus! Pembangkang seperti ini yang kita perlukan – masih mampu berkhidmat walaupun tidak ada jawatan. Tambahan pula, khabarnya, mereka mendapat peruntukan khas daripada kerajaan pusat (Barisan).

Saya tidak puas hati dengan calon Pakatan yang bertanding kerusi DUN di tempat saya (N50 Kota Kemuning). Tapi undi saya (walaupun hanya satu), tetap penting untuk memastikan kerajaan negeri tidak digulingkan.


Kalau Barisan menang majoriti pada tahun ini (2018), Najib akan menjadi lebih selesa dan lebih berani. MIC dan MCA akan terus hidup dalam dunia khayalan. Misalnya, MIC mengatakan 65 peratus kaum India menyokong parti itu. Para menteri dan wakil rakyat pula dikhuatiri akan terus-menerus lupa daratan.

[Baca juga -- Strategi Politik Cara Samy Vellu]

Kalau Pakatan menang majoriti, Mahathir akan kembali menjadi PM. Tetapi tentu dia tidak akan berani – dan tidak akan dibiarkan oleh Rakyat – untuk mengulangi kesilapan lalu.

Barisan pasti boleh menjadi pembangkang yang amat baik dan berkesan. Barisan boleh memastikan Pakatan buat kerja yang diamanahkan. Setiap tindak-tanduk Mahathir dan barisan menteri pilihannya pasti akan diperhatikan dengan penuh teliti oleh Barisan (pembangkang) yang berpengalaman memerintah negara sejak 1957.


Rakyat yang mengundi Pakatan juga akan memantau dari dekat. Rakyat memilih “wakil rakyat” dan bukannya “wakil parti”. Rakyat mahukan wakil yang bekerja untuk mereka; bukan memeras duit dan tenaga mereka.

Dan jika Pakatan gagal memberikan perkhidmatan terbaik, Rakyat akan menggunakan kuasa undi untuk menolak Pakatan pada PRU-15. Sambil menjadi pembangkang yang hebat, Barisan boleh bersiap siaga untuk menerima kembali mandat daripada Rakyat.


Rakyat tahu bahawa kerajaan pusat bukan milik kekal Barisan atau Pakatan hingga hari kiamat. Sama ada mahu diberi peluang satu penggal atau dua penggal, semuanya hak Rakyat menerusi kuasa undi.

Kalau ADUN saya gagal berkhidmat, jangan haraplah saya membisu sahaja.

Bagi N50 Kota Kemuning, saya tidak akan mengundi Ganabatirau iaitu calon Pakatan. Calon Barisan pula, saya langsung tidak kenal. Calon Pas, Hj Burhan Adnan (bersama-sama calon Pas P111 dan N48) telah datang bertemu saya pada 24 April 2018 untuk berbual mengenai isu-isu setempat.

Tak kenal maka tak cinta.


Apabila Hj Burhan menjadi ADUN, beliau mungkin tiada jawatan Exco dalam kerajaan negeri Selangor. Maka, beliau boleh benar-benar berkhidmat kepada penduduk DUN Kota Kemuning. (Saya akan terus “mengganggu” beliau sebagaimana saya “mengganggu” calon Parlimen dan DUN pilihan saya dalam PRU-12 dan PRU-13.)

Maka, inilah calon pilihan saya bagi N50 Kota Kemuning.

Undi saya bukan rahsia!



Kemas kini pada 9 Mei 2018 (selepas mengundi):

Saya mengundi Mat Sabu bagi P111 Kota Raja dan Burhan Adnan bagi N50 Kota Kemuning.

Saya memilih Wakil Rakyat, bukan wakil parti.

Mengundilah secara bijak dan waras pada 9 Mei 2018. Tahniah kepada SPR kerana menggunakan dakwat kekal yang asli pada kali ini, berbanding dakwat murahan yang mudah luntur dalam PRU-13.

Keputusan PRU-14:

P111 Kota Raja - Mat Sabu menang
N50 Kota Kemuning - Burhan tewas (Ganapatirau menang)

Rujuk Panduan Menanda Kertas Undi Dengan Betul dan jangan lupa membawa MyKad apabila pergi ke pusat mengundi!

CATATAN GEMBIRA:

Keputusan PRU-14 membawa kepada bukti Kuasa Rakyat yang berjaya melahirkan Malaysia Baharu yang diimpikan. Berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH), maka Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sejak 1957 tumbang akibat Tsunami Rakyat.

BACA JUGA -- Tolak Politik Perkauman (catatan sejak Januari 2013; sebelum PRU-13)