Saturday, 14 October 2017

SJKT, SJKC dan SK Bukan Pemisah!

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melihat situasi anak-anak belajar di sekolah kebangsaan (SK), sekolah Cina (SJKC), sekolah Tamil (SJKT), tahfiz, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta sebagai punca utama mereka “membesar berasingan”.

“Anak-anak kita membesar terpisah daripada satu sama lain, kerana mereka pergi ke sekolah berbeza,” katanya pada majlis dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Bangsar pada 10 Oktober 2017. (sumber)

Kata-katanya tidaklah menghairankan kerana politikus memang suka mengamalkan sikap “pecah dan perintah” – sama ada secara fizikal atau mental.

Dalam hal ini, dia cuba menghasut dan mempengaruhi minda orang ramai dengan berkata bahawa jika kita pernah belajar di sekolah aliran berbeza, maka kita akan terpisah sampai bila-bila. Khairi menyifatkan “sistem pendidikan negara ini bertanggungjawab memisahkan generasi kini.” (lihat juga)

Inilah antara usaha licik politikus untuk menghapuskan SJKT dan SJKC! Tentu sahaja sekolah antarabangsa dan sekolah swasta tidak berani disentuh – kerana anak-anak politikus sering belajar di sana.

Sewaktu berkongsi berita ini di Facebook pada 10 Oktober 2017, saya turut mencatatkan: “Dan tentulah politikus kaum India, MIC dan pejuang SJKT tidak akan berani bersuara.”

Pada penelitian saya, SK, SJKT dan SJKC menyumbang kepada kepelbagaian bahasa dan budaya di Malaysia. Kalau bekas pelajar masih terpisah mengikut kaum (seperti kata Khairi), maka kesilapan adalah pada sistem pendidikan dan polisi kerajaan – bukan pada sekolah.

“Tolak Perkauman. Pupuk Perpaduan. Raikan Kepelbagaian.”

Demikian sering saya tegaskan. ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang juga merupakan setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, sewaktu menghadiri majlis pelancaran buku Pulau Pendatang pada 17 Mei 2017 melahirkan minat terhadap frasa berkenaan.

Kini, kita boleh melihat frasa “Raikan Kepelbagaian, Kukuhkan Perpaduan” pada papan iklan di Selangor.

Dalam kumpulan cerpen Ikan Patin dan Beruang Besar (2017), kanak-kanak pelbagai kaum dan agama dari SK, SJKT dan SJKC tidak menghadapi sebarang masalah untuk berinteraksi dan hidup bersama.

Mungkin juga itu salah satu perbezaan pemikiran antara politikus dan sasterawan: Satu pihak mahu memecah-belahkan rakyat demi memastikan kelangsungan politik, manakala satu lagi pihak mahu berusaha melahirkan Bangsa Malaysia yang diimpikan. (Usaha Kavyan)

Dapatkan buku Ikan Patin dan Beruang Besar sebelum anda dan anak-anak anda menjadi mangsa politikus yang mahu memisahkan rakyat demi mengaut undi menjelang pilihan raya. (Jangan Biar Minda Anak Berkarat)