Wednesday, 21 December 2016

Forum Mengenali Agama Minoriti

Acara
Forum Mengenali Agama Minoriti

Penganjur

Tarikh
7 Januari 2017 (Sabtu)

Masa
3:00 – 6:00 petang

Tempat
Bilik Mesyuarat DHRRA Malaysia
13A Tingkat 2, PJ21 Commercial Centre
Jalan SS3/39, Petaling Jaya
Waze – PJ21 Commercial Centre

Pengenalan
Acara Forum Mempertahankan Agama Minoriti pernah diadakan pada 6 Julai 2014 di Rumah Kavyan berikutan keperluan “mempertahankan serta melindungi agama-agama minoriti di Malaysia daripada dakyah dan serangan pihak luar”. Memandangkan isu memperlekeh agama-agama minoriti masih berleluasa, serta agama-agama minoriti di Malaysia masih kurang difahami khalayak umum, dan agama-agama minoriti sering diberikan gambaran tidak benar oleh pihak tertentu yang berniat jahat, maka ruang dan peluang perlu dibuka untuk mendengar penjelasan sebenar mengenai agama-agama minoriti ini.

Rasional
Acara Forum Mengenali Agama Minoriti bertujuan membuka ruang dan peluang kepada pengamal agama-agama minoriti menceritakan secara terbuka fakta sebenar mengenai agama mereka. Konsep “forum” dalam konteks ini merujuk kepada “perjumpaan untuk perbincangan terbuka tentang perkara yang menjadi kepentingan awam” (Kamus Dewan). Forum ini berciri ilmiah, penyelidikan, akademik, pengalaman, dan tiada sebarang unsur hasutan atau penghinaan terhadap mana-mana agama. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Forum ini tidak melanggar Perkara 11 (4) berkaitan “mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”, dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988. Bagi tujuan forum ini, definisi “agama minoriti” tidak dikhususkan kepada satu-satu agama; sebaliknya merujuk kepada mana-mana agama, ajaran, anutan dan mazhab yang terkeluar daripada acuan “agama bagi Persekutuan” menurut Perkara 3 (1).

Peserta
Majlis ilmu berbentuk forum tertutup ini difokuskan kepada khalayak umum yang intelektual, matang dan mampu membicarakan topik-topik berkaitan agama-agama minoriti di Malaysia secara ilmiah dan akademik; bukan secara emosional, etnosentrik dan prejudis. Pengamal agama minoriti, pengamal media, serta sesiapa yang berminat mendapatkan fakta sebenar berkaitan agama-agama minoriti di Malaysia boleh menjadi peserta, dengan syarat mendaftar terlebih dahulu. Para peserta akan terlibat sama sebagai panel dalam forum ini yang menggunakan format perbincangan meja bulat.

Borang Penyertaan
Setiap individu yang berminat menyertai Forum Mengenali Agama Minoriti wajib mengisi Borang Pendaftaran sebelum 3 Januari 2017. Forum ini dijalankan secara tertutup. Peserta yang tidak mendaftar tidak dibenarkan masuk.


AKAN DATANG -- Forum Agama-agama Minoriti di Malaysia -- Disember 2017.

Pemudah Cara
Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa; pengasas dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan); pengasas dan pengerusi Persatuan Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah); serta pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.

Skop Forum
Perbincangan dalam majlis ilmu ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada pengamal agama minoriti untuk berkongsi maklumat tepat, sahih dan sebenar mengenai agama masing-masing; sekali gus menangkis segala serangan, dakyah, penipuan dan penyebaran berita palsu oleh mana-mana pihak yang berniat jahat. Sesi soal-jawab akan membantu meningkatkan pemahaman para peserta mengenai agama minoriti. Forum ini tidak membenarkan sebarang perbincangan berkaitan “agama majoriti” iaitu Islam (Ahlu Sunnah Waljamaah). Peserta juga dilarang menghina, mempersenda, mengkritik atau mengutuk mana-mana agama dalam forum ini.

Bahasa Pengantar
Forum dikendalikan dalam Bahasa Malaysia. Penggunaan Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin dibenarkan mengikut keperluan dan kesesuaian.

Atur Cara
Rangka atur cara adalah seperti berikut. Para peserta diminta mematuhi ketepatan masa [Waktu Kavyan] kerana pintu akan dikunci sebaik forum bermula.

2:30 petang
Ketibaan peserta (pengesahan kehadiran)
Pendaftaran ditutup sebaik forum bermula

3:00 petang [Waktu Kavyan]
Forum – Sesi 1
Pengenalan kepada agama-agama minoriti

4:00 petang
Forum – Sesi 2
Fitnah dan salah faham mengenai agama-agama minoriti

5:00 petang
Forum – Sesi 3
Langkah membetulkan kekeliruan orang ramai

6:00 petang
Sesi fotografi berkumpulan
Bersurai

Nota: Minuman ringan sahaja disediakan semasa forum. Peserta boleh makan (tanggung sendiri) di beberapa buah restoran di tingkat bawah PJ21 Commercial Centre sebelum/selepas forum.

Maklumat Lanjut
Sila hubungi uthayasb@yahoo.com.my sebelum 3 Januari 2017 jika ada sebarang pertanyaan berkaitan Forum Mengenali Agama Minoriti.