[Karya Bahasa
Malaysia yang dihasilkan penulis kaum Cina boleh membantu pembaca memahami
budaya masyarakat berkenaan secara lebih mendalam.]
“Wahai cucuku, usahlah bertanyakan asal
usulku. Cuma ada satu pesan buat cucu. …”
Karya kreatif seperti novel dan cerpen
merupakan salah satu cara mudah untuk pembaca mengenali, menghayati dan
memahami budaya masyarakat pelbagai kaum.
Cerpen dalam Bahasa Malaysia amat unik kerana
ditulis oleh pengarang daripada latar budaya, agama, keturunan, etnik dan
adat-resam yang berbeza menggunakan suatu bahasa yang difahami seluruh rakyat
Malaysia.
Sebaik sahaja kumpulan cerpen Bendera Putih (2015) yang menghimpunkan
sebelas karya Chai Loon Guan sampai ke tangan pada 23 Januari 2015, saya terus
membaca sambil membuat catatan pada buku itu sendiri.
Buku ini adalah kumpulan cerpen kedua Chai
Loon Guan, selepas Di Perantauan Impian
(2009). Manakala kumpulan sajak sulung oleh penulis kelahiran Tanjong Malim,
Perak ini berjudul Di Padang Kehidupan
(2008).
Tiga cerpen terawal dalam kumpulan ini
menampilkan watak Ah Hai serta pengalamannya sejak tiba di Singapura pada tahun
1926 sehingga kejayaannya dalam perniagaan dan politik tempatan menjelang tahun
1945.
Empat buah cerpen menampilkan watak bernama
Ah Ti tetapi tidak merujuk kepada watak yang sama. Nama “Ah Ti” mungkin begitu
penting sehingga membuatkan editor buku meletakkan nama itu menggantikan “Ah
Hai” pada bahagian blurb (kulit
belakang) buku ini.
Watak Ah Ti dalam cerpen “Ayah” adalah
seorang bakal guru yang sedang menuntut di sebuah maktab perguruan.
Adik-beradiknya bernama Ah Moi, Ah Chew, Ah Meng dan Ah Kim, manakala abang
sulung tidak dinyatakan nama.
Identiti keturunan sudah semakin hilang
Cerpen berkenaan mula-mula tersiar di
akhbar Mingguan Malaysia (24 Mei
1987) sebelum menang Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1987. Apa yang menarik,
gelaran nama seperti Ah Moi, Ah Chew dan seumpamanya masih menjadi amalan dan
kebiasaan dalam kalangan kaum Cina pada latar waktu itu.
Dalam buku Mariam’s Kitten and The Lost Baby (1963) tulisan B Smith yang
pernah saya baca di perpustakaan
SRK Convent Aulong,
Taiping sekitar tahun 1970-an, misalnya, ada watak Ah Meng dan Ah Beng.
Cerita-cerita yang ditulis pengarang Melayu pada tahun 1970-an serta
buku-buku teks sekolah pada zaman itu juga sering menampilkan watak-watak
bernama Ah Meng, Ah Seng, Ah Beng, Ah Moi, Ah Chong dan segala macam “Ah”.
Nampaknya pengarang kaum Cina pada masa
sekarang juga selesa dengan nama-nama seperti itu yang sebenarnya tidak
menampakkan identiti keturunan berdasarkan nama keluarga (surname).
Cerpen “Pawang Ana, Munsyi dan Mimpi YB”
jelas berciri autobiografi dan catatan pengalaman Chai Loon Guan selaku penulis
sajak dan cerpen, peminat “bahasa dan susastera Bahasa Melayu”, Munsyi Bahasa
yang diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pembentang kertas kerja
pada Muzakarah Munsyi di Tanah Tinggi Genting.
Menerusi cerpen itu yang berlatarkan tahun
2012, watak “Aku” yang secara terang-terangan mewakili diri penulis – atau alter ego – dipanggil oleh kakak
sulungnya menggunakan nama timangan Ah Ti.
Seorang sahabat bernama Din yang merupakan
“penulis dan penggiat persatuan karyawan” serta “penyelaras Seminar Rao dan
penyelenggara antologi Puisi dan Cerpen Pawang Ana” memanggilnya sebagai Adi.
Kebetulan, Adichonan adalah nama pena Chai Loon Guan.
Suara misteri nenek-moyang
Petikan dialog pada bahagian awal makalah
ini diambil daripada cerpen “Ayah”. Semasa Ah Ti sedang tidur lelap di bilik
sewa, dia terdengar suatu suara yang membuatkan matanya terpaku, bibir membisu,
lidah kelu dan hati mulai cemas.
“Cu, bertenanglah. … Bertenanglah wahai
cucuku. … Wahai cucuku, usahlah bertanyakan asal usulku. Cuma ada satu pesan
buat cucu. … Tapi, cu … nafas kematian itu ada di mana-mana. Carilah pegangan
itu agar dirimu tidak sesat. Sembahyanglah sebelum diri cucu disembahyangkan!”
Demikian antara pesanan suara misteri itu
yang digambarkan sebagai “mirip-mirip suara seorang tua yang alim” yang
terhasil daripada “suatu sinar kerdipan menyilau mata.”
Pada keesokan hari, ayahnya yang “baru saja
jatuh sakit” sudah meninggal dunia sebelum Ah Ti sempat pulang ke rumah.
Digambarkan budaya kaum Cina di mana anak-anak mendiang memakai baju warna
hitam manakala cucu-cucu memakai baju warna biru sebagai tanda berkabung.
Persoalan mengenai suara misteri itu
dibiarkan begitu sahaja tanpa dijawab. Tidak diketahui siapakah itu: orang alim
yang membawa nur Islam atau suara nenek-moyang yang biasanya disembah
masyarakat Cina.
Suara misteri itu muncul semula dalam
cerpen “Kedai” dan bercakap dengan watak Nyonya Tanteh, iaitu balu kepada Ah
Ti. Untuk makluman, Ah Ti ini yang “telah pulang ke alam baqa 100 hari yang lalu”
merupakan pemilik sebuah kedai papan dua tingkat yang sudah usang. Dia tidak
sama dengan Ah Ti, si bakal guru, dalam cerpen “Ayah”.
Nyonya Tanteh berada dalam dilema apabila
anak-anak cuba memujuknya supaya menjual harta warisan iaitu kedai runcit usang
di Kampung Baru Yong dan berpindah ke Kuala Lumpur.
Pada malam itu, hujan lebat dan “kilat
masih mahu berlagu” sementara “angin kencang masih belum mahu reda”. Tiba-tiba
muncul “segaris sinar” yang “makin membesar” sehingga menyebabkan bilik wanita
tua itu “yang gelap-gelita tiba-tiba bergemerlapan.” – [BERSAMBUNG]
[Makalah ini ditulis pada 28 Januari 2015 dan disiarkan di Roketkini pada 2 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum
bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]