Lima orang anak yang masih belajar di
sekolah rendah dan menengah serta bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa. Si
isteri seorang suri rumah sepenuh masa manakala ketua keluarga terpaksa
berhenti kerja di sebuah syarikat perkapalan pada tahun 2008.
Setiap kali salah seorang anak menyatakan
keperluan mendapatkan wang bagi membeli barangan keperluan sekolah, Abang Long
akan terasa sayu dan terdiam sambil meminta petunjuk daripada Allah.
Abang Long – atau nama sebenarnya Mohamad
Feroz Mohammad Zaini – lahir di Singapura pada tahun 1968 tetapi membesar di
Gunung Semanggol, Perak dan belajar sehingga Tingkatan 5 di Taiping.
Beliau yang menggunakan nama “Abang Long”
di Facebook kini tinggal di Teluk
Gadong Kecil, Klang, Selangor bersama-sama keluarga. Perniagaan dadih dimulakan
secara kecil-kecilan pada tahun 2005 bagi menampung kos menyara keluarga.
Akan tetapi, berikutan masalah kesihatan,
kini perniagaan dadih dan pengedaran buku menjadi sumber pendapatan utama.
Berbekalkan semangat dan keyakinan bahawa rezeki halal ada di mana-mana, Abang
Long menjadi peniaga kecil sepenuh masa.
Dadih berperisa jagung, strawberi, coklat
dan pandan dibuat sendiri oleh isterinya di rumah. Proses pembuatan mengambil
masa hampir empat jam. Apabila siap, dadih berkenaan diedarkan oleh Abang Long
ke kedai-kedai berhampiran rumah.
Jualan juga dilakukan secara dalam talian (online) dengan memanfaatkan Facebook dan e-mel. Orang ramai yang
berminat akan membuat tempahan menerusi mesej Facebook, e-mel atau SMS dan kemudian mendeposit wang ke akaun
bank.
Selain daripada membeli untuk dimakan oleh
keluarga sendiri, ramai juga yang membuat tempahan dalam jumlah besar bagi
majlis hari jadi, jamuan perkahwinan dan majlis berbuka puasa.
Ramai juga yang membuat tempahan dan
membuat bayaran, tetapi meminta dadih disedekahkan ke rumah anak-anak yatim di
sekitar Klang, Pelabuhan Klang dan Shah Alam. Perkara ini berlaku khususnya
pada bulan Ramadan.
Dadih akan dihantar sendiri oleh Abang Long
yang menunggang motosikal. Saya pernah beberapa kali membuat tempahan dadih
untuk acara di Rumah Kavyan iaitu tempat aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
Perkhidmatan yang diberikan memang bagus dan tepat pada masa.
Masalah Jantung Tidak Melunturkan Semangat
Abang Long disahkan menghidap suatu
penyakit yang khabarnya hanya dikesan pada seorang dalam seribu orang. Pakar di
Institut Jantung Negara (IJN) mengesahkan bahawa jantungnya sering berdegup
lebih laju daripada kebiasaan.
Disebabkan masalah kesihatan ini, Abang
Long perlu bersedia untuk bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),
Klang pada bila-bila masa jika degupan jantung mula bermasalah.
Atas sebab itulah beliau terpaksa
menghadkan jarak penghantaran tempahan dadih. Akibatnya, jumlah tempahan yang
diterima setiap hari juga tidak banyak kerana pengedaran tidak mampu dilakukan
secara lebih meluas.
“Tempahan dadih paling banyak yang pernah
saya terima adalah 300 bekas (cawan) iaitu pada bulan Ramadan. Pada waktu-waktu
lain, purata tempahan hanyalah 50 bekas sehari. Malah, ada masanya tidak ada
sebarang tempahan selama beberapa minggu,” katanya sambil masih mampu
tersenyum.
Satu lagi sumber pendapatan Abang Long
adalah menerusi pengedaran buku secara kecil-kecilan sejak tahun 2010. Usaha
ini mendapat sokongan Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam yang merupakan
syarikat penerbit Bumiputera terbesar di Malaysia.
“Saya berbincang dengan beberapa pegawai
kanan di sana dan mereka memahami masalah kesihatan saya, lalu bersetuju
menerima saya sebagai pengedar buku secara kecil-kecilan kerana saya tidak
mampu menyediakan modal besar seperti syarikat pengedar besar.
“Sokongan dan peluang yang diberikan itu
amat saya hargai kerana dapat membantu saya menampung kos menyara keluarga,”
Abang Long yang gemar membaca menceritakan tanpa berselindung.
Saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau
menerusi Facebook dan memang kagum
dengan semangat positif yang dimilikinya. Malah, semangat positif serta nilai
kemanusiaan sentiasa pula dikongsikan dengan orang lain menerusi catatan harian
di laman rangkaian sosial.
Abang Long bersyukur kerana berpeluang
melakukan kerja-kerja pengedaran buku secara kecil-kecilan walaupun jumlah pendapatan
tidaklah lumayan. Sebaliknya beliau puas hati kerana dapat sama-sama menyumbang
ke arah memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan Bangsa Malaysia.
“Hasil (keuntungan) yang saya dapat tu,
kalau nak dikatakan cukup-cukup makan pun tidak juga. Tapi sekurang-kurangnya
bolehlah buat duit belanja anak-anak yang masih bersekolah,” katanya yang
ternyata sentiasa bersyukur dan berfikiran positif.
Catatan Pengalaman Bakal Dibukukan
Sekiranya diperhatikan, Abang Long tidak
sekadar mengedarkan buku secara lazim dan biasa-biasa. Bagi tempahan di sekitar
Klang, Pelabuhan Klang dan Shah Alam, beliau akan pergi sendiri untuk
menyerahkan buku itu tanpa mengenakan sebarang bayaran bagi kos penghantaran.
Manakala bagi tempahan dari luar kawasan
(seluruh negara), buku dikirim menggunakan PosLaju
bagi menjamin keselamatan. Buku juga boleh sampai dengan segera kepada pembeli.
“Ada 15 penulis yang saya kenal secara
peribadi di sekitar Klang dan Shah Alam. Apabila ada orang menempah buku
mereka, saya akan pergi bertemu para penulis berkenaan untuk mendapatkan
tandatangan. Maka, pembeli dapat memiliki naskhah bertandatangan tanpa sebarang
kos tambahan,” kata Abang Long yang juga seorang ulat buku.
Beliau mengakui bahawa tempahan bukannya
diterima setiap hari. Namun begitu, beliau tetap bersyukur dan berterima kasih
dengan sedikit rezeki halal yang diperoleh melalui jualan dadih dan pengedaran
buku.
Selain daripada minat membaca, Abang Long
juga ada bakat menulis. Hakikat ini saya perhatikan sendiri menerusi catatan
harian beliau di Facebook. Malah,
semasa kami bertemu di kafe Karangkraf pada 30 Januari 2015, beliau sedang
tekun menyemak dan menyunting sebuah manuskrip.
“Saya menulis berdasarkan apa sahaja yang berlaku
di sekeliling saya dan menyentuh hati saya. Kisah yang berlaku di depan mata
atau saya dengar daripada orang lain akan diolah secara kreatif supaya sedap
dibaca dan ada mesej positif.
“Alhamdulillah, manuskrip sulung ini sudah
diluluskan oleh sebuah penerbitan dan saya sedang melakukan kerja-kerja memperkemaskan
hasil tulisan saya. Saya harap mesej positif dan pengalaman peribadi yang saya
kongsikan menerusi cerita-cerita dalam buku ini mendapat sambutan orang ramai,”
katanya dengan penuh harapan.
Saya sempat membelek-belek manuskrip
berkenaan (yang belum bertajuk) dan mendapati kisah-kisah yang termuat di
dalamnya memang sangat mengujakan dan memberikan motivasi. Malah, penulisan
yang datang dari hati membuatkan setiap kisah yang ditulis oleh Abang Long
merentasi sempadan geografi, kaum, etnik dan agama.
Harus saya akui bahawa setiap kali
berinteraksi dengan Abang Long – sama ada menerusi Facebook, telefon atau bersemuka – saya memperoleh aura positif
yang dibawakannya secara semula jadi.
Semoga sedikit perkongsian kisah dirinya di
sini, serta bukunya yang bakal terbit, mampu menyebarluaskan lagi aura positif
Abang Long dalam kalangan masyarakat majmuk di negara bertuah ini.
[Makalah ini ditulis pada 1 Februari 2015 berdasarkan wawancara pada 30
Januari 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 6 Februari 2015.
© Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]