Kemampuan menghasilkan buku fiskyen sulung
pada usia 45 tahun pasti suatu kejayaan yang membanggakan. Bayangkan pula jika
mampu melahirkan buku fiksyen kedua dalam masa hampir dua tahun selepas itu.
Itulah yang berjaya dilakukan oleh Bissme S, seorang wartawan yang
berpengalaman luas serta menang beberapa anugerah dalam bidang kewartawanan.
Seperti diakuinya sendiri, dunia
kewartawanan menuntut dirinya berdepan dengan fakta dan objektiviti, manakala
penulisan fiksyen membuka ruang seluas-luasnya untuk mengembangkan daya
imaginasi dan kreativiti.
Saya berpeluang bertemu dengan Bissme pada
2 Februari 2015 di Pesta Buku Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen
Shah Alam (SACC). Kebetulan, buku keduanya, Bitter (2015) baru sahaja siap
dicetak dan mula dijual.
Mahu tidak mahu, sebagai penulis dan
pencinta bahasa serta individu yang berpengalaman dalam bidang penyuntingan,
saya secara spontan membelek-belek halaman buku baru ini untuk meneliti kualiti
bahasa dan ejaan.
Harus diakui bahawa berbanding buku
pertama, Doubt (2013) yang dipenuhi pelbagai
kesalahan bahasa dan kesilapan menaip, koleksi fiskyen terbaru ini lebih kemas,
bersih dan profesional.
Bissme ternyata mengambil kira komen saya
sekitar dua tahun lalu dan memastikan ada orang menyemak, menyunting dan
memperkemaskan manuskripnya sebelum diterbitkan.
Sebagai seorang editor akhbar yang
berpengalaman, N. Shashi Kala telah melaksanakan tugasnya dengan amat baik bagi
memastikan Bitter yang disajikan
kepada khalayak lebih kemas dan bebas daripada kecuaian bahasa.
Bagi Bissme, pengalaman menghasilkan
sejumlah 13 cerpen dalam koleksi ini agak berbeza dengan cerpen-cerpen dalam
koleksi sulung dahulu. Fiksyen kali ini lebih panjang dan standard berbanding
koleksi pertama yang agak bercelaru dari segi panjang setiap cerita.
Suatu lagi perbezaan yang ketara adalah
bahawa semasa menulis fiksyen sebelum ini, pengarang belum memutuskan untuk
membukukannya. Pada kali ini pula, kesemua cerpen ditulis khusus untuk
dibukukan.
Fiksyen Yang Tidak Sesuai Bagi Pembaca Kanak-kanak
Bissme mengakui bahawa memang ada semacam
kekangan dan kesedaran nyata kerana cerpen-cerpen pada kali ini mahu
diterbitkan dalam bentu buku. Tambahan pula, kebanyakan pembaca Bitter kemungkinan besar sudah membaca Doubt.
Secara logik, khalayak pasti mengharapkan
sesuatu yang lebih baik daripada karya terdahulu. Pada saya, Bissme berjaya
memenuhi tuntutan itu. Kerja-kerja penyuntingan yang kemas merupakan satu lagi
bonus yang mampu membantu pembaca (khususnya bukan penutur lazim) mempelajari
penggunaan Bahasa Inggeris yang betul.
Pembaca perlu diberikan amaran bahawa
sebagaimana Doubt, koleksi fiksyen
dalam Bitter juga tidak sesuai bagi
kanak-kanak. Hal ini kerana kisah, persoalan dan peristiwa yang disajikan boleh
dikategorikan sebagai berciri ganas dan ada aksi agak “terlampau”.
Kisah-kisah yang disajikan mungkin
kelihatan seperti cerita biasa. Akan tetapi, “kebiasaan” itu segera berubah
menjadi sesuatu yang benar-benar di luar dugaan dan norma kehidupan.
Maka, fiksyen yang dihasilkan oleh Bissme
hanya sesuai bagi khalayak yang khusus, iaitu khalayak yang sedia untuk melihat
sisi lain kehidupan manusia yang biasanya dielakkan daripada dibicarakan
menerusi karya arus perdana.
Mungkin ada pihak yang berpendapat bahawa
kisah-kisah seperti ini “selamat” selagi tidak disampaikan dalam Bahasa Malaysia. Pandangan ini agak
menarik kerana memang ada buku terjemahan Bahasa Malaysia diharamkan di
Malaysia, tetapi versi asal (Bahasa Inggeris) boleh dibeli dan dibaca secara
bebas dan terbuka.
Menurut Bissme, buku Doubt sedang dalam proses terjemahan dan versi Bahasa Malaysia akan
berada dalam pasaran tidak lama lagi. Ini mungkin berita baik bagi mereka yang
mahu menikmati kisah-kisah yang disajikan oleh Bissme.
“Selepas Doubt terbit, saya tidak pernah menyangka akan ada buku lain.
Namun, kini Bitter sudah muncul dan
saya harap ia mendapat perhatian khalayak pembaca.
“Kisah-kisah yang saya angkat memang lari
daripada kebiasaan walaupun ia menampilkan watak-watak biasa yang kita temui
dalam kehidupan seharian. Mungkin itulah daya penarik bagi buku-buku saya,”
kata Bissme yang merupakan anak jati Kuala Lumpur.
Sebagai seorang penulis dan wartawan
berpengalaman, beliau sedar bahawa setiap hasil tulisan – fiksyen mahu pun
berita atau rencana – pasti mendapat komen yang pelbagai daripada pembaca.
Adunan Realiti, Imaginasi dan Kreativiti Seorang Wartawan
Saya kagum dengan sikap terbuka yang
menjadi pegangan Bissme. Katanya, sama ada reaksi yang diberikan oleh pembaca
dan pengkritik adalah positif atau negati, kedua-duanya amat berguna kepadanya.
Sikap positif seperti ini wajar menjadi
amalan semua orang dalam segala bidang. Biarlah kita menerima komen positif dan
negatif dengan hati terbuka demi membaiki diri dan mutu kerja.
Kesemua cerpen dalam buku ini ditulis pada
tahun lalu khusus untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Maknanya, cerpen-cerpen
ini belum pernah disiarkan di mana-mana.
Secara penuh sedar, Bissme memastikan
kesalahan bahasa dan kecuaian yang terdapat pada buku pertama tidak diulang
dalam buku kedua. Penyuntingan profesional yang dilakukan oleh editor
berpengalaman juga sangat membantu.
Proses kreatif bagi seorang pengarang
adalah semacam misteri. Orang ramai sering tertanya-tanya dari mana penulis
mendapat idea bagi cerita. Sebagai seorang penulis, saya juga sering diajukan
soalan itu dan biasanya saya tidak mampu memberikan jawapan yang paling tepat
dan memuaskan.
Begitulah juga halnya dengan Bissme. Watak
serta kisah yang disajikannya dalam Doubt
dan Bitter adalah sesungguhnya
manusia yang biasa ditemui dalam kehidupan seharian, khususnya di ibu negara.
Apa yang berbeza adalah bahawa Bissme yang
kini berusia 47 tahun menggunakan daya kreativiti dan imaginasi untuk membayangkan
kemungkinan yang amat berbeza dalam kehidupan setiap watak manusia biasa itu.
Kreativiti seperti ini sangat perlu ada
pada mana-mana penulis kreatif. Sebagai seorang wartawan berpengalaman, kini
Bissme berjaya pula mengembangkan daya kreativiti dan imaginasi dalam diri
untuk memanfaatkan bahan dan idea cerita untuk disajikan dalam bentuk fiksyen
yang seronok dan mendebarkan untuk dibaca.
Sepanjang saya mengenali Bissme, dia
seorang yang pemalu dan kurang bercakap. Mungkin tugasnya sebagai wartawan
memerlukannya untuk lebih banyak mendengar daripada bercakap. Bagaimanapun,
kini dia sudah menemui “suara”nya menerusi penulisan fiskyen.
Kisah dan pengalaman Bissme boleh dijadikan
panduan oleh orang ramai supaya tidak berputus asa dalam mencapai impian dan
cita-cita. Bermula dengan keinginan untuk mahu berkongsi cerita, Bissme kini
sudah berjaya menjadi seorang penulis yang berjaya.
[Makalah ini ditulis pada 8 Februari 2015 berdasarkan wawancara pada 2
Februari 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 9 Februari 2015.
© Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]