Monday, 28 April 2014

Cerita di Sebalik Pottu

Tahukah anda? Setiap jari yang digunakan oleh penganut Hindu untuk meletakkan kumkuma (tanda merah pada dahi) membawa makna tersendiri.

Saya berusaha menarik perhatian rakan-rakan pelbagai kaum, etnik dan agama menerusi paparan status Facebook pada 19 April 2014. Ternyata ramai yang berminat untuk tahu apakah makna-makna tersendiri yang dimaksudkan.

Amalan meletakkan kumkuma bukan sesuatu yang asing dalam kalangan orang India-Hindu di Malaysia; khususnya wanita. Di negara India, ia dikenali dengan pelbagai nama seperti kunkumam (Tamil, Sanskrit), kumkuma (Telugu, Kannada), kungkumam (Malayalam) dan kumkum (Bengali).

Ejaan yang sudah diterima dalam Bahasa Malaysia adalah kumkuma. Istilah Hindi yang lazim digunakan adalah tilak daripada perkataan tilaka (Sanskrit) dan biasanya disebut sebagai pottu dalam kalangan orang Tamil dan bottu dalam kalangan orang Telugu di Malaysia.

Apabila disebut pottu, kita membayangkan amalan meletakkan kumkuma pada dahi. Sebenarnya, ia turut melibatkan serbuk kunyit (manjal) atau serbuk kayu cendana (santanam) yang dicairkan.

Satu lagi bahan yang tidak asing dalam kalangan orang India-Hindu di Malaysia adalah thiruneer atau vibuthi iaitu sebuk putih yang secara simbolik mengingatkan si pemakai bahawa pada suatu hari nanti, dia juga akan meninggal dunia dan tubuhnya akan dibakar menjadi abu. (Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Malaiur Manikam.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!