[Pemilihan calon-calon rasis oleh Najib membuatkan masyarakat
pelbagai kaum semakin menolak BN.]
“Saya ingin menyatakan
bahawa kerajaan sekarang mengamalkan toleransi sifar terhadap sifat perkauman
dan kita akan ambil tindakan terhadap pihak terbabit jika terbukti mereka
melakukan perbuatan dan menyatakan ungkapan yang bersifat rasis.”
Demikian kata-kata Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak tetapi jangan terlalu
seronok dan melompat-lompat kegembiraan dengan mengandaikan bahawa tindakan
segera akan diambil terhadap Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ibrahim Ali; Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin atau calon DUN Sungai
Rapat, Hamidah Othman.
Sebenarnya, kata-kata di atas dipetik
daripada laporan akhbar Utusan Malaysia
(28 Ogos 2010) mengenai kenyataan Najib semasa suatu sesi dialog di Auditorium
DBKL. Berita sama turut dimuatkan di blog milik Pengerusi Pemuda BN, Khairy
Jamaluddin, dua hari kemudian.
“Pendirian kita adalah untuk tidak bertolak
ansur terhadap kenyataan berbaur perkauman oleh sesiapa. Tindakan tegas akan
diambil terhadap individu terbabit. Perpaduan amat penting dalam pembinaan
bangsa.” Demikian pula terjemahan kata-kata Najib yang dilaporkan dalam akhbar The Star (28 Ogos 2010).
Walau bagaimanapun, segala pendirian tegas
“Tokoh 1Malaysia” itu hancur “bagaikan tembikai” apabila timbul isu berkaitan
Zulkifli yang sekurang-kurangnya dua kali mengeluarkan kenyataan menghina kaum India dan agama Hindu.
Begitu juga apabila Ibrahim dilaporkan
menghasut orang Melayu membakar kitab Bible
di Pulau Pinang pada Januari 2013. Tidak lupa juga insiden Hamidah menyarankan
supaya orang ramai “memukul orang India dahulu sebelum memukul ular”.
Pada 16 April 2013, Najib menunjukkan wajah
sebenar rasisme yang dimilikinya apabila dengan bangga mengangkat dan
mengumumkan Zulkifli sebagai “calon rakan BN” bagi kerusi Parlimen Shah Alam. [LIHAT SENARAI PENUH] Tentulah juak-juak
dalam MIC tidak berani bersuara kerana
seperti yang diketahui umum, kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN) hanya sebagai
“pak turut” dan bukannya sebagai pihak yang ada apa-apa kuasa/suara.
Bantahan terhadap pemilihan Zulkifli datang
daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama yang
sama-sama menolak politik perkauman serta politikus yang mengamalkan sifat rasisme.
Namun begitu, tentu sahaja segala “suara” orang ramai tidak mendapat tempat di
mana-mana media arus perdana yang dikuasai BN.
Bagi saya sendiri, sebagai sahaja nama
Zulkifli diumumkan sebagai “calan rakan BN”, saya sudah tahu bahawa Negeri
Selangor akan musnah sekiranya BN berjaya merampas negeri ini daripada Pakatan Rakyat
(PR) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). – BACA KENYATAAN MEDIA
Insiden seorang juak-juak BN memeluk dan
mencium pipi Zulkifli pada tarikh penamaan calon (20 April 2013) menambahkan
lagi rasa meluat dan menyampah masyarakat pelbagai kaum dan agama, bukan hanya
terhadap Zulkifli tetapi juga terhadap “Tokoh 1Malaysia” dan BN.
“Dia (Zulkifli) telah meminta maaf dan saya
mendapat maklum balas bahawa sebilangan besar kaum India menyokong beliau,”
kata Najib dan dilaporkan pula dengan bangganya di akhbar Utusan Malaysia (23 April 2013).
Najib tersilap pilih calon-calon rasis
Saya percaya bahawa “maklum balas” yang
dimaksudkan itu datang secara khusus daripada juak-juak seperti dalam MIC, IPF,
PPP dan Hindraf; bukan mewakili suara sebenar
penduduk kaum India di Selangor. Tentulah pak turut tidak akan berani
melaporkan kepada tuannya bahawa kaum India sudah menyampah dengan BN dan
pencalonan Zulkifli. Juak-juak ini pun perlulah juga pandai “cari makan” dengan
cara memuji-muji dan mengampu-ampu apabila perlu.
Pada tarikh sama juga keluar berita bahawa
lebih seratus ahli MIC di Shah Alam memutuskan untuk keluar parti berikutan isu
Zulkifli, Ibrahim dan Ahmad Nawawi M Zin. Ahmad Nawawi adalah calon BN bagi DUN
Batu Tiga. Dia paling dikenali atas “ketokohan” terlibat dalam insiden memijak kepala lembu dan menghina agama
Hindu pada 28 Ogos 2009.
Kita tidak perlu mengharapkan sebarang
komen berani daripada mana-mana pemimpin parti-parti komponen BN berhubung
calon-calon yang rasis, fanatik, etnosentrik dan ultra kiasu ini. Seperti yang
saya nyatakan tadi, tentulah masing-masing mahu menjaga periuk nasi dalam dunia
politik; khususnya jika Najib telah bermurah hati memberi mereka peluang untuk
bertanding dalam PRU-13.
Saya yakin dan percaya bahawa masyarakat
pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini menolak politik perkauman. Kita
juga sama-sama tidak mahu mengundi mana-mana calon yang secara terang-terangan
memang mengamalkan perkauman serta menghina kaum/agama lain.
“Kita boleh maafkan seseorang sekiranya dia
melakukan satu kesalahan tanpa mengetahui akibatnya, misalnya kanak-kanak. Bagi
orang dewasa seperti Zulkifli yang juga seorang peguam, amat tidak wajar
dimaafkan jika dia tidak tahu menghormati hak asasi dan hak kebebasan
beragama,” kata T Gopal Thirumalai,
seorang guru yang berasal dari Raub, Pahang.
Pada pandangannya, anggapan bahawa sesuatu
kaum atau agama adalah lebih mulia daripada kaum atau agama lain adalah
pandangan yang sebenarnya menghina kuasa dan ciptaan Tuhan.
Bagi R
Balamurali (Vehl Murali) dari Sungai Buloh, seorang ahli politik –
khususnya dalam landskap politik pelbagai kaum di Malaysia – perlu sensitif dan
matang dalam pemikiran serta apabila mengeluarkan apa-apa kenyataan.
“Sebagai seorang yang terpelajar dan
tentulah berpeluang untuk bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum, tindakan
Zulkifli memberikan komen tanpa mengira sensitiviti orang lain adalah sangat
menyedihkan. Walaupun politikus itu boleh sahaja tampil memohon maaf, tetapi
kejujuran dan keikhlasannya menjadi tanda tanya,” kata peguam muda itu yang
berasal dari Pahang.
Rubeshan
Shanmugam, seorang pakar forensik yang bertugas di
Sibu, Sarawak turut berkongsi pandangan apabila topik ini dibincangkan menerusi
laman rangkaian sosial Facebook
baru-baru ini.
“Seseorang yang sudah bertaubat dan
menyedari kesilapannya tidak akan memberi alasan untuk menutup kesilapannya.
Pada pandangan saya, Zulkifli tidak ikhlas meminta maaf kerana dia cuba
menyalahkan pihak lain.
“Tambahan pula, semasa meminta maaf tempoh
hari, dia memberikan pula contoh pihak lain yang pada fikirannya lebih rasis
berbanding dirinya. Ini membuktikan bahawa Zulkifli bukannya sudah bertaubat,
tetapi sedang cuba mengalihkan kesalahan kepada orang lain,” kata pemuda itu
yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Dalam budaya kaum India, ada satu
peribahasa yang boleh diterjemahkan secara langsung sebagai “apa gunanya
menyembah matahari selepas mata buta” atau boleh disamakan dengan peribahasa
Melayu, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.
Demikianlah halnya dengan Zulkifli, Ahmad
Nawawi, Najib dan BN. Apa gunanya Zulkifli “memecahkan buah betik atau buah
tembikai” sebagai usaha menebus dosa sedangkan taubatnya diragui. Dia ditolak
bukan sahaja oleh orang India/Hindu tetapi oleh masyarakat pelbagai kaum dan
agama.
Dan apa pula gunanya Najib membazir wang
dan tenaga menerusi kempen “Sayangi Selangor, Yakini BN” sedangkan
Pengerusi BN itu secara penuh sedar telah meletakkan calon-calon yang terbukti
rasis dan ultra kiasu untuk bertanding mewakili BN dalam PRU-13.
[Uthaya
Sankar SB berkempen menolak politik perkauman. Makalah ini
ditulis pada 29 April 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 30 April 2013.
© Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]