8 Jun 2013

At the Gate of the Ghost

Pada 8 Jun 2013, saya sempat menonton filem “At the Gate of the Ghost” (Thai, 2013) yang sebenarnya sudah dikeluarkan pada 2011 dengan judul “U mong pa meung”.
 
Filem ini berdasarkan sebuah drama Thai tulisan Kukrit Pramoj. Skrip drama pentas itu pula berdasarkan filem Jepun “Rashomon” (1950) arahan Akira Kurosawa yang dibikin pula berdasarkan dua cerpen tulisan Ryunosuke Akutagawa; iaitu judul daripada cerpen “Rashomon” (1915) yang merujuk kepada lokasi cerita berlaku, dan plot (jalan cerita) daripada cerpen “In a Grove” (1922).
 
Saya tidak perlu menghuraikan sinopsis cerita di sini kerana peminat tegar sastera, seni, filem dan budaya seluruh dunia sudah sedia maklum akan pelbagai versi “cerita dalam cerita” yang diangkat secara bijak dalam filem/drama/cerpen ini sejak 1950. Malah wujud istilah “kesan Rashomon” yang merujuk kepada kesan psikologi seperti diungkapkan menerusi filem berkenaan.
 
Walaupun kisah yang diangkat menerusi filem ini sudah sedia diketahui, pengalaman menontonnya semula dalam versi Thai tetap mengujakan. Harap maklum bahawa filem ini mengangkat tema dan persoalan berkaitan ajaran Buddha dan “mungkin menggugat pegangan agama puak tertentu”.
 
Filem “At the Gate of the Ghost” diarah oleh M.L. Pundhevanop Dhewakul manakala pelakon utama terdiri daripada Mario Maurer, Phettai Wongkamlao, Pongpat Wachirabunjong, Ananda Everingham, Chermarn Boonyasak dan Dom Hetrakul.
 
Cerpen “In a Grove” dan filem “Rashomon” antara lain turut mempengaruhi filem Tamil “Andha Naal” (1954) lakonan Sivaji ganesan; filem Inggeris “The Outrage” (1964) lakonan Paul Newman; filem Jepun “In a Grove” (1996) arahan Hisayasu Sato; dan filem Inggeris “In a Grove” (2012) arahan Mike Bazanele.