“Saudara membaca cerpen
di pentas dengan gaya membaca berita. Terlalu formal.”
Demikian antara komen
ikhlas yang saya terima daripada rakan-rakan dan kenalan semenjak saya mula
membuat “bacaan” (persembahan) teks cerpen di pentas selewat-lewatnya pada
tahun 1996.
Saya menerima komen dan
teguran itu secara positif, lalu sentiasa berusaha untuk membaiki persembahan
saya. Perlu diakui bahawa kecintaan saya terhadap penggunaan bahasa – khususnya
Bahasa Malaysia – yang betul dan baku mungkin membuatkan gaya pembacaan
dan persembahan cerpen di pentas kedengaran sedikit kaku dan terlalu formal.
Pada zaman sekolah
rendah di SRK Convent Aulong, Taiping, saya terlibat dalam deklamasi sajak
Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Sepanjang belajar di SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping pula, saya terlibat dalam
pidato/syarahan, deklamasi sajak, debat, drama pentas dan sebagainya.
Pengalaman itu serta asuhan guru-guru sekolah rendah dan menengah digunakan
untuk membaiki mutu persembahan – hingga kini.
Sejak diasaskan pada 22
Ogos 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan puluhan acara “baca
cerpen” dan “baca novel” di seluruh negara. Malah, acara Baca Cerpen Kavyan (2003) tercatat dalam The
Malaysia Book of Records dan menjadi pelopor kepada acara membaca cerpen di
pentas.
Terdahulu, pada 28 Ogos
1999, sempena “Malam Penghayatan Sastera” di Dewan MPSJ, Subang Jaya, saya
mempersembahkan petikan bahagian awal cerpen “Yang Aneh-aneh”.
Cerpen berkenaan yang
menggunakan latar masa tahun 1996 menang Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1996) dan
Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97). Versi Bahasa Inggeris dimuatkan
dalam antologi In the Shadow of the Palm (2009) manakala versi asal boleh dibaca dalam
buku Kisah dari Siru Kambam (2013).
Sebuah lagi cerpen yang
mendapat sambutan hangat setiap kali dipersembahkan di pentas adalah “Datuk Datang ke Kampung Kami” yang kini juga termuat dalam Kisah dari Siru Kambam. Saya pernah
(antara lain) mempersembahkan cerpen berkenaan di British Council (22 Oktober
1999), Malaysian Association for the Blind (3 November 1999), Shah’s Village (1
Mac 2003), Galeri Shah Alam (15 Mac 2003) dan Merdekarya (23 Februari 2013).
Berdasarkan pengalaman
saya sejak usia kanak-kanak, salah satu cara mudah untuk membaiki bahasa –
mana-mana bahasa – adalah dengan membaca teks dengan suara yang lantang;
berbanding membaca dalam hati/minda.
Semasa saya menjadi
pensyarah mata pelajaran Bahasa Malaysia (serta Moral Education dan Malaysian
Studies) di beberapa kolej swasta (1999–2007), saya menggunakan kaedah
“baca cerpen” untuk menilai serta membaiki penguasaan bahasa, kesantunan
berbahasa, keyakinan diri dan gaya pengucapan awam dalam kalangan pelajar.
Meneruskan tradisi nenek-moyang
Dengan kerjasama
Kavyan, sesi membaca cerpen melibatkan pelajar-pelajar ini menjadi suatu acara
yang turut dilaporkan di akhbar dan majalah; khususnya Utusan Malaysia, Tunas Cipta
dan Dewan Siswa.
Untuk memudahkan
pelajar membaca cerpen dengan baik di pentas, saya merangka suatu kriteria
pemarkahan berbentuk “Panduan Membaca Cerpen” yang boleh juga dijadikan panduan membuat persembahan
cerpen di pentas oleh sesiapa sahaja yang berminat. Panduan itu boleh dirujuk
di blog Kavyan. [Lihat juga – Baca Cerpen Kavyan 2013]
Bagi saya, “membaca
cerpen” bukan sekadar membaca begitu sahaja. Sebaliknya perlu diselitkan
unsur-unsur “persembahan” yang menjadikan pembacaan teks cerpen itu menjadi
menarik dan memikat pendengar atau penonton.
Cerpen saya berjudul “Cat”
(Rudra Avatara, 2008) sebenarnya sudah diterjemah ke Bahasa Inggeris
dengan judul “The Painted Cat” (Selangor Times,
21-23 Januari 2011). Bagaimanapun, Bernice Chauly dan Sharon Bakar yang
menyelenggarakan antologi Readings from Readings (2011) tetap memilih versi asal untuk disiarkan
kembali.
Cerpen “Cat” mendapat
sambutan hangat – termasuk daripada khalayak yang tidak faham Bahasa Malaysia –
apabila dipersembahkan di pelbagai lokasi di Malaysia dan Indonesia pada 2011
dan 2012. Misalnya sempena Writers
Unlimited Tour (Jun 2011), Ubud
Writers & Readers Festival (Oktober 2011) dan Makassar International Writers Festival (Jun 2012).
Sebenarnya, amalan
mempersembahkan cerpen bukanlah sesuatu yang baru. Dalam tradisi masyarakat
Malaysia – tanpa mengira etnik dan kaum – memang ada amalan bercerita.
Kisah-kisah disampaikan dengan penuh gaya, penghayatan dan intonasi suara yang
menjadikan “persembahan” oleh nenek, datuk, ibu, bapa, abang dan kakak begitu
mengujakan. Ini belum lagi mengambil kira penyampaian cerita oleh penglipur
lara dan tukang cerita profesional dalam kalangan masyarakat tradisional.
Maka, siri “baca
cerpen” dan “baca novel” yang dipelopori dan diusahakan secara berterusan oleh
Kavyan sejak 1999 sebenarnya adalah sebagai meneruskan tradisi bercerita yang
sudah sebati dalam jiwa masyarakat kita.
Malah, dalam budaya
barat ada amalan “bedtime story” di
mana buku cerita dibacakan oleh ibu atau bapa dengan penuh gaya. Pada
waktu-waktu lain – dalam kalangan masyarakat di Malaysia juga – ibu bapa akan
menyampaikan cerita secara lisan sebelum anak-anak tidur.
Nah! Bukankah bakat
“baca cerpen” itu sebenarnya hadir dalam diri setiap orang? Sekiranya diasah,
diasuh dan dilatih, boleh dibaiki – seperti mana yang sedang saya lakukan
secara berterusan sejak sekitar 1996 dengan mengambil kira pelbagai komen,
pandangan dan kritikan ikhlas daripada rakan-rakan dan kenalan.
Bengkel untuk memantapkan persembahan
Cerpen “Saya Sebatang Pensel” ditulis khusus bagi tujuan persembahan di pentas sempena Story Fest di PJ Live Arts, Petaling
Jaya (18 Mac 2012). Faksyen itu kini dimuatkan dalam buku Kisah dari Siru Kambam dan turut menjadi pilihan teks bacaan di
pentas oleh saya dan beberapa rakan.
Kavyan pernah juga
mengadakan sesi latihan baca cerpen beberapa kali di beberapa lokasi. Malah,
program penghayatan sastera serta kempen galakan membaca anjuran Kavyan di
sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej swasta di seluruh negara sejak 1999
juga diselitkan panduan membaca teks di pentas.
Selepas acara “Baca Cerpen Siru Kambam II” di Merdekarya, Taman Petaling pada 23 Mac
2013, saya mendapat idea untuk mengadakan Bengkel Baca Cerpen Kavyan di mana sekumpulan rakan-rakan boleh duduk
berbincang dan berlatih untuk membaca teks cerpen dengan gaya yang sesuai bagi
persembahan di pentas.
Seperti yang sudah saya
nyatakan, saya sedang dan mahu terus belajar untuk membaiki persembahan saya.
Maka, Bengkel Baca Cerpen Kavyan akan
membuka ruang dan peluang untuk mengumpulkan sekumpulan kecil – sekitar 10
orang sahaja – individu yang berminat untuk sama-sama berbincang, berlatih,
belajar, membimbing serta membaiki mutu persembahan.
Sama ada disedari atau
tidak, setiap orang ada bakat dan kebolehan tersendiri. Maka bengkel ini akan
menjadi tempat untuk berkongsi kebolehan dan mencungkil bakat terpendam.
Bengkel ini bukan sehala tetapi dua hala; malah beberapa hala.
Bengkel Baca Cerpen Kavyan akan diadakan dalam suasana santai; mungkin di taman tasik
atau di restoran atau di taman permainan kanak-kanak atau di mana-mana lokasi
yang sesuai. Tentulah sambil makan-minum yang ditanggung sendiri oleh
masing-masing peserta.
Kavyan bercadang
memulakan bengkel ini pada April 2013. Lokasi yang dipilih bagi permulaan
adalah di sekitar pusat bandar Shah Alam supaya peserta dari luar boleh datang
dengan mudah menaiki Komuter dari mana-mana arah dan berkumpul di Stesen
Komuter Shah Alam.
Kenderaan pula akan
diatur oleh Jawatankuasa Kavyan dari stesen Komuter ke lokasi bengkel. Brian
Gomez, pemilik Merdekarya juga sudah tampil menawarkan tempatnya digunakan bagi
tujuan bengkel ini pada masa hadapan.
Nampaknya siri baca
cerpen anjuran Kavyan akan lebih mantap dengan gaya persembahan yang bertambah
hebat selepas orang ramai berpeluang berkongsi idea dan pengalaman menerusi
bengkel membaca cerpen. Tentu sahaja ini berita gembira sempena sedekad Baca
Cerpen Kavyan (2003).
[Maklumat
lanjut mengenai aktiviti ini boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com atau hubungi infokavyan@yahoo.com.my
… Makalah ini ditulis pada 24 Mac 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 1 April 2013.
© Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]