[Keberanian seorang
siswi dan ketololan seorang penceramah mendapat reaksi ikhlas daripada
masyarakat.]
Saya percaya ramai yang sudah pun
menonton klip video di YouTube serta
komentar di laman rangkaian sosial Facebook
mengenai cara Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary menjawab pertanyaan seorang mahasiswi, Bawani KS di
Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Video yang dirakam pada 8 Disember
2012 tersebar luas di ruang siber sejak beberapa hari lalu dan segera mendapat
reaksi daripada masyarakat pelbagai kaum. Saya pula merasakan perlu untuk mendokumentasikan
pandangan rakan-rakan terhadap tindakan wanita berkenaan yang tiba-tiba menjadi
lebih popular berbanding “wanita pertama” Datin Seri Rosmah Mansor.
Sebenarnya, laporan mengenai tuduhan
Presiden Pertubuhan Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) dan Timbalan Ketua Wanita
Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Kebangsaan pada majlis forum “Seiringkah
Mahasiswa dan Siswi dengan Politik?” bahawa pengerusi bersama Gabungan Pilihan
Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan adalah seorang
anarkis tersiar dalam laporan K Pragalath di Free Malaysia Today (9 Disember 2012).
Zohra yang juga
menggunakan nama manja “Nikki Da
Best” didapati turut memaparkan beberapa kenyataan anti-Ambiga dan anti-Bersih
di Facebook baru-baru ini. Paparan
itu juga mendapat perhatian dan kritikan ramai.
“Saya berharap kita
semua memberi sokongan untuk membenteras [sic]
demo jalanan dan juga pemunca anarkis supaya anak bangsa tidak terus hanyut
dalam kebinasaan sesama manusia. … iaitu kehancuran minda dan keterbukaan
kepada elemen elemen yang membawa kepada kepercayaan budaya songsang. …
kebebasan bersuara dan kebebasan memilih pasangan sejenis dan kebebasan memilih
agama.”
“Jangan dilemparkan
tuduhan pada TAKDIR, lemparkan dulu kepada mereka mereka [sic] yang memilih untuk ditakdirkan sebegitu … contoh mudah …
membawa anak anak kecil yang belum mengerti apa itu kehidupan ke demo demo yang
boleh mengancam nyawa dan memudaratkan minda serta menyakitkan tubuh si kecil
yang tidak berdosa. … Jangan sampai diminta menjadi PALESTINE [sic] hingga ke liang lahat belum tentu
selesai tangisan jasad berdarah. … SEDIH … masih ada lagi yang menyokong yang
songsang … mengapa? kerana mereka telah di DOCTRINE kan sedemikian.”
Demikian antara
pandangan juita berkenaan yang turut terpapar di ruang siber; sekali gus
membantu orang ramai lebih mudah mengenali pendirian dan tahap mentalitinya.
Berbalik pada insiden “Listen Listen Listen Listen Listen”
yang menjadi lawak terkini dan “ikutan” dalam kalangan pengguna internet, beberapa
rakan tampil mengemukakan komentar untuk dikongsikan dalam makalah ini.
Shahir Arifin
dari Sepang, Selangor meluahkan rasa kecewa terhadap sikap para mahasiswa yang
hadir sama pada majlis berkenaan di UUM tetapi tidak berbuat apa-apa ketika
Bawani dihina sedemikian rupa.
“Bahkan mereka bersorak
dan bertepuk untuk Sharifah. Jika manusia sedemikian yang terhasil oleh sistem
pendidikan kita, saya kira negara ini ada masalah besar,” kata pelajar USIM
berusia 23 tahun itu dalam mesejnya kepada saya.
“Pada peringkat awal,
saya agak setuju apabila penceramah (Zohra) menghentikan pelajar tersebut. Pada
tanggapan saya, pelajar itu (Bawani) mungkin salah gunakan platform. Kemudian,
apabila mendengar gaya dan intonasi Zohra yang memualkan, mengelirukan, tidak
fokus dan cubaan memanjangkan contoh-contoh yang tidak berkaitan, jelas
menunjukkan penceramah dalam keadaan tersepit. Saya fikir, cukuplah! Perkara
sebegini sangat memalukan rakyat Malaysia,” kata Abu Hasan Husin yang berasal dari Shah Alam dan kini belajar di
Universiti Sains Malaysia (USM).
Penulis skrip, pengarah filem dan penerbit bebas, Shanjey Kumar Perumal turut terkejut dan
mual dengan keseluruhan insiden yang berlaku di UUM dan jelas menerusi klip
video yang tersebar itu.
Zohra memalukan
diri, SW1M dan intelektualiti
“Ratusan mahasiswa yang sekadar bertepuk gembira mendengar insiden Zohra
menghina Bawani, mereka mewakili golongan yang memang tidak kisah akan pergolakan
dunia. Mungkin bagi mereka, hidup hanyalah belajar, kahwin, beli harta,
mengandung dan beranak. Mereka lupa bahawa sikap pasif mereka pada hari ini
mungkin menyebabkan anak-anak mereka merana. Mengenai Zohra pula, saya tergamam
menyaksikan tahap kebodohan yang dipertontonkannya. Kata orang, being stupid is a luxury. Jadi, saya
ingin tahu rahsia kebodohan maksimum yang dimilikinya,” kata pemuda berumur 31
tahun dari Kuala Lumpur itu dengan sinis.
Seorang lagi rakan, Abdul Hadi Abdul Razak, 30 tahun, dari Gombak
menegaskan bahawa beliau tidak setuju apabila jurang usia dijadikan alasan
supaya Bawani diam dan perlu hormat pada kata-kata Zohra.
“Apa yang saya nampak dalam klip video, sepanjang tempoh perbalahan,
siswi itu tidak sedikit pun menghina penceramah; malah hanya senyum tanpa
dibela. Nikki (Zohra) mengeluarkan kenyataan bahawa dia menendang kucing
apabila ada kucing datang meminta makan. Ini saya benci! Nikki juga menyekat ruang
berdialog dengan alasan pelajar (hadirin) sudah penat. Malah, dia cuba
mengalihkan perhatian hadirin dengan ganjaran telefon pintar. Saya yakin, ramai
siswa-siswi yang tidak bangkit membela Bawani kerana takut pada tindakan pihak
pengurusan universiti,” kata editor penerbitan di Wolters Kluwer itu.
Nur Dalilah
Mokhtar, 25 tahun, dari Taiping, Perak berpandangan bahawa seharusnya ruang dan
peluang diberi kepada Bawani untuk penyatakan pandangannya atas dasar kebebasan
bersuara.
“Tetapi saya terkilan engan sikap Zohra yang menjawab dan berhujah
menggunakan hujah-hujah yang kurang bijak. Mahasiswa seharusnya dididik intelek
mereka dengan budaya hujah yang matang tetapi malangnya disekat dengan cara
yang tidak profesional oleh golongan seperti Zohra,” kata siswi Universiti
Malaya (UM) itu dalam mesej yang dikirim untuk dimuatkan dalam makalah ini.
Sebagai seorang pengamal media dan individu yang mahu “bersuara” mewakili
golongan minoriti yang terpinggir dan tertindas, saya
dengan penuh sedar memilih untuk mengumpulkan pandangan rakan-rakan supaya
suara-suara minoriti digabungkan serta didokumentasikan.
Dalam hal ini, pelajar jurusan undang-undang dari Kedah, Revathi
tampil menegaskan bahawa Bawani berhak untuk bersuara dan mengeluarkan
pendapatnya mengenai sistem pentadbiran dan sistem pendidikan Malaysia.
“Bukankah setiap rakyat Malaysia mempunyai hak bersuara dalam sistem
demokrasi berperlembagaan? Sepatutnya Bawani dihormati ketika sedang berhujah.
Perbuatan Zohra membandingkan Bawani dengan binatang adalah tidak rasional bagi
seorang penceramah yang kononnya profesional,” katanya.
“Seharusnya seorang yang memegang jawatan tinggi (Presiden SW1M) perlu
memberi balasan komentar yang baik dan jitu, bukan memperlekeh siswi itu dan
kemudian berlegar-legar sekitar topik-topik merapu,” kata Aliphian Johansah,
25 tahun, dari Tawau yang merupakan pelajar sarjana TESL di Universiti Malaysia
Sabah (UMS).
Melihat pada perangai Zohra yang jelas terpancar menerusi klip video
berkenaan, ternyata dia tidak layak menjadi seorang pemimpin, pensyarah atau
memegang apa-apa jawatan yang memerlukannya berinteraksi dengan manusia. Malah,
mungkin binatang juga tidak mahu berkomunikasi dengan spesis seperti ini.
Demikian kesimpulan daripada beberapa lagi komentar ringkas yang saya terima
daripada rakan-rakan.
“Apa tujuan SW1M jika presidennya sendiri menyekat suara seorang
mahasiswi?” Pertanyaan ringkas daripada graduan Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), Vasanthan Vengadasalam dari Johor Bahru pasti mewakili pertanyaan
yang lahir dalam pemikiran rata-rata rakyat Malaysia yang masih waras dan
berakal.
Bagi Kannan Ramasamy, 41 tahun, yang merupakan graduan UUM,
tindakan Zohra adalah kurang bertamadun apabila kebebasan bersuara disekat
serta Bawani dimalukan dan diaibkan sedemikian rupa pada suatu majlis ilmu.
Reaksi
rakan-rakan pelbagai latar
“Tindakan Zohra menarik mikrofon daripada Bawani untuk memberhentikan
siswi itu daripada bercakap juga sangat memeranjatkan. Taktik divertion (pengalihan tumpuan) pula
digunakan apabila perkara berkaitan masalah binatang disamakan oleh Zohra
dengan masalah manusia. Sangat biadab sikapnya menyuruh seseorang yang
meluahkan pendapat supaya keluar dari Malaysia sedangkan Bawani tidak melakukan
apa-apa bertentangan dengan undang-undang negara,” kata pengurus teknologi
maklumat (IT) dari Klang itu.
Tindakan Zohra yang mengutuk dan menghina Ambiga juga mendapat reaksi
daripada rakan-rakan. Navin David Kumar menyelar Zohra yang dikatakannya
“tidak layak bercakap mengenai Datuk Ambiga yang berjuang demi seluruh rakyat
Malaysia sedangkan awak (Zohra) tidak pun tahu cara-cara menghormati pelajar
yang mengeluarkan pandangan pada majlis ilmu”.
Harus saya nyatakan bahawa segala pandangan yang dikemukakan oleh
rakan-rakan menerusi mesej Facebook
berhubung isu ini tiada apa-apa kaitan dengan isu perkauman atau agama. Saya
berasa bangga dengan kemampuan mereka mengemukakan hujah dan pandangan secara
rasional, berhemah dan objektif.
Klip video yang diperkatakan turut mendapat perhatian dan reaksi daripada
warga Malaysia yang berada di luar negara. Suthan Kaveri, 25 tahun,
siswa Kursk State Medical University, Rusia menegaskan bahawa Bawani memang
telah mengemukakan hujah-hujah yang tepat, benar dan berdasarkan fakta.
“Zohra sepatutnya telah membenarkan Bawani menamatkan hujahnya. Kemudian,
Zohra bertanggungjawab memberikan ulasan dengan fakta yang kukuh. Tetapi semua
ini tidak berlaku. Klip video jelas membuktikan bahawa Zohra mula mengulas
perkara-perkara yang tidak ada kena-mengena dengan topik forum. Ternyata
pemikiran mahasiswa cuba disekat dan dikongkong dengan pelbagai cara. Inilah
salah satu punca kemerosotan kualiti graduan Malaysia. Kebebasan dan hak
mahasiswa untuk bersuara sepatutnya dipelihara dan dijamin sepenuhnya,” kata
pemuda itu.
“Apa yang berlaku sebenarnya membuktikan bahawa demokrasi masih mentah di
Malaysia. Mahasiswa tidak dibenarkan mempunyai pendapat yang bertentangan
dengan pemikiran arus perdana. Amalan ini sangat merugikan kerana seharusnya
mahasiswa dipupuk semangat melontarkan pendapat kerana idea mereka mewakili
sentimen masyarakat,” kata Harris Nasril, seorang pengurus studio dari
Seri Kembangan.
Rata-rata rakyat Malaysia yang waras (ingat: yang waras sahaja) kagum dengan keberanian dan kemampuan Bawani berhujah
walaupun diasak dengan cara paling hina oleh seorang wanita yang kononnya
berpelajaran dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat – atau sekurang-kurangnya
dalam KIMMA dan SW1M.
“Saya tabik pada keberanian yang dimiliki Bawani,” kata Gunalan
Jeyaraman dalam komennya. “Siswi itu berhujah dengan membandingkan antara
manusia dengan manusia di negara-negara berbeza. Akan tetapi Zohra pula
membandingkan manusia dengan binatang. Dia (Zohra) memang lebih layak menjadi
penjaga binatang di zoo daripada berdepan dengan manusia. Dia memang sudah
memalukan SW1M, sebuah NGO yang mewakili golongan wanita yang bermaruah!”
Prashana
Gurunathan, 27 tahun, juga berkongsi rasa terkejut dengan tahap mentaliti Zohra
yang kononnya mahu meluahkan pandangan terhadap demokrasi dan hak kemanusiaan.
“Dia menghina Bawani dengan pelbagai tuduhan tanpa menyedari bahawa
sebagai seorang manusia, rakyat dan presiden SW1M, dialah yang sebenarnya gagal
mempamerkan segala ciri yang kononnya tiada pada Bawani. Zohra perlu belajar
untuk menghormati orang dan perasaan orang sebelum menuntut supaya dirinya
dihormati. Zohra gagal seratus peratus dalam hal ini,” kata penolong pengurus
bank itu yang tinggal di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
Pandangan seperti itu dipersetujui Azmi Yusof dari Melaka. Bagi
penganalisis pasaran berumur 30 tahun itu, “mahasiswi bernama Bawani itu memang
seorang wirawati di tengah-tengah lautan mahasiswa lain (dalam klip video) yang
sudah mandul idea dan bacul”.
“Bawani adalah lambang generasi pelapis Malaysia yang berani,” kata Abdul
Aziz Man, 53 tahun, dari Ampang, Kuala Lumpur yang menggunakan nama “Deli
Koesoma” di Facebook.
[Sila rujuk juga makalah berkaitan
bertajuk Pengajaran Sharifah Zohra – DI SINI]
Saya tidak mengenali Bawani secara peribadi. Namun, saya tabik dan bangga
dengan semangat yang dimilikinya. Malah, kini dia sudah berjaya menyuntikkan
semangat perjuangan dan hak bersuara kepada seluruh Bangsa Malaysia tanpa mengira kaum, etnik, agama, usia dan kedudukan. Masih ada
harapan untuk negara tercinta ini.
[Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya serta kolumnis FMT. Makalah ini ditulis pada 15 Januari 2013 dan disiarkan
di Free Malaysia Today pada 16 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]