20 Feb 2013

Listen Listen Listen Zohra

[Keberanian seorang siswi dan ketololan seorang penceramah mendapat reaksi ikhlas daripada masyarakat.]
 
Saya percaya ramai yang sudah pun menonton klip video di YouTube serta komentar di laman rangkaian sosial Facebook mengenai cara Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary menjawab pertanyaan seorang mahasiswi, Bawani KS di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
 
Video yang dirakam pada 8 Disember 2012 tersebar luas di ruang siber sejak beberapa hari lalu dan segera mendapat reaksi daripada masyarakat pelbagai kaum. Saya pula merasakan perlu untuk mendokumentasikan pandangan rakan-rakan terhadap tindakan wanita berkenaan yang tiba-tiba menjadi lebih popular berbanding “wanita pertama” Datin Seri Rosmah Mansor.
 
Sebenarnya, laporan mengenai tuduhan Presiden Pertubuhan Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) dan Timbalan Ketua Wanita Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Kebangsaan pada majlis forum “Seiringkah Mahasiswa dan Siswi dengan Politik?” bahawa pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan adalah seorang anarkis tersiar dalam laporan K Pragalath di Free Malaysia Today (9 Disember 2012).
 
Zohra yang juga menggunakan nama manja “Nikki Da Best” didapati turut memaparkan beberapa kenyataan anti-Ambiga dan anti-Bersih di Facebook baru-baru ini. Paparan itu juga mendapat perhatian dan kritikan ramai.
 
“Saya berharap kita semua memberi sokongan untuk membenteras [sic] demo jalanan dan juga pemunca anarkis supaya anak bangsa tidak terus hanyut dalam kebinasaan sesama manusia. … iaitu kehancuran minda dan keterbukaan kepada elemen elemen yang membawa kepada kepercayaan budaya songsang. … kebebasan bersuara dan kebebasan memilih pasangan sejenis dan kebebasan memilih agama.”
 
“Jangan dilemparkan tuduhan pada TAKDIR, lemparkan dulu kepada mereka mereka [sic] yang memilih untuk ditakdirkan sebegitu … contoh mudah … membawa anak anak kecil yang belum mengerti apa itu kehidupan ke demo demo yang boleh mengancam nyawa dan memudaratkan minda serta menyakitkan tubuh si kecil yang tidak berdosa. … Jangan sampai diminta menjadi PALESTINE [sic] hingga ke liang lahat belum tentu selesai tangisan jasad berdarah. … SEDIH … masih ada lagi yang menyokong yang songsang … mengapa? kerana mereka telah di DOCTRINE kan sedemikian.”
 
Demikian antara pandangan juita berkenaan yang turut terpapar di ruang siber; sekali gus membantu orang ramai lebih mudah mengenali pendirian dan tahap mentalitinya.
 
Berbalik pada insiden “Listen Listen Listen Listen Listen” yang menjadi lawak terkini dan “ikutan” dalam kalangan pengguna internet, beberapa rakan tampil mengemukakan komentar untuk dikongsikan dalam makalah ini.
 
Shahir Arifin dari Sepang, Selangor meluahkan rasa kecewa terhadap sikap para mahasiswa yang hadir sama pada majlis berkenaan di UUM tetapi tidak berbuat apa-apa ketika Bawani dihina sedemikian rupa.
 
“Bahkan mereka bersorak dan bertepuk untuk Sharifah. Jika manusia sedemikian yang terhasil oleh sistem pendidikan kita, saya kira negara ini ada masalah besar,” kata pelajar USIM berusia 23 tahun itu dalam mesejnya kepada saya.
 
“Pada peringkat awal, saya agak setuju apabila penceramah (Zohra) menghentikan pelajar tersebut. Pada tanggapan saya, pelajar itu (Bawani) mungkin salah gunakan platform. Kemudian, apabila mendengar gaya dan intonasi Zohra yang memualkan, mengelirukan, tidak fokus dan cubaan memanjangkan contoh-contoh yang tidak berkaitan, jelas menunjukkan penceramah dalam keadaan tersepit. Saya fikir, cukuplah! Perkara sebegini sangat memalukan rakyat Malaysia,” kata Abu Hasan Husin yang berasal dari Shah Alam dan kini belajar di Universiti Sains Malaysia (USM).
 
Penulis skrip, pengarah filem dan penerbit bebas, Shanjey Kumar Perumal turut terkejut dan mual dengan keseluruhan insiden yang berlaku di UUM dan jelas menerusi klip video yang tersebar itu.
 
Zohra memalukan diri, SW1M dan intelektualiti
 
“Ratusan mahasiswa yang sekadar bertepuk gembira mendengar insiden Zohra menghina Bawani, mereka mewakili golongan yang memang tidak kisah akan pergolakan dunia. Mungkin bagi mereka, hidup hanyalah belajar, kahwin, beli harta, mengandung dan beranak. Mereka lupa bahawa sikap pasif mereka pada hari ini mungkin menyebabkan anak-anak mereka merana. Mengenai Zohra pula, saya tergamam menyaksikan tahap kebodohan yang dipertontonkannya. Kata orang, being stupid is a luxury. Jadi, saya ingin tahu rahsia kebodohan maksimum yang dimilikinya,” kata pemuda berumur 31 tahun dari Kuala Lumpur itu dengan sinis.
 
Seorang lagi rakan, Abdul Hadi Abdul Razak, 30 tahun, dari Gombak menegaskan bahawa beliau tidak setuju apabila jurang usia dijadikan alasan supaya Bawani diam dan perlu hormat pada kata-kata Zohra.
 
“Apa yang saya nampak dalam klip video, sepanjang tempoh perbalahan, siswi itu tidak sedikit pun menghina penceramah; malah hanya senyum tanpa dibela. Nikki (Zohra) mengeluarkan kenyataan bahawa dia menendang kucing apabila ada kucing datang meminta makan. Ini saya benci! Nikki juga menyekat ruang berdialog dengan alasan pelajar (hadirin) sudah penat. Malah, dia cuba mengalihkan perhatian hadirin dengan ganjaran telefon pintar. Saya yakin, ramai siswa-siswi yang tidak bangkit membela Bawani kerana takut pada tindakan pihak pengurusan universiti,” kata editor penerbitan di Wolters Kluwer itu.
 
Nur Dalilah Mokhtar, 25 tahun, dari Taiping, Perak berpandangan bahawa seharusnya ruang dan peluang diberi kepada Bawani untuk penyatakan pandangannya atas dasar kebebasan bersuara.
 
“Tetapi saya terkilan engan sikap Zohra yang menjawab dan berhujah menggunakan hujah-hujah yang kurang bijak. Mahasiswa seharusnya dididik intelek mereka dengan budaya hujah yang matang tetapi malangnya disekat dengan cara yang tidak profesional oleh golongan seperti Zohra,” kata siswi Universiti Malaya (UM) itu dalam mesej yang dikirim untuk dimuatkan dalam makalah ini.
 
Sebagai seorang pengamal media dan individu yang mahu “bersuara” mewakili golongan minoriti yang terpinggir dan tertindas, saya dengan penuh sedar memilih untuk mengumpulkan pandangan rakan-rakan supaya suara-suara minoriti digabungkan serta didokumentasikan.
 
Dalam hal ini, pelajar jurusan undang-undang dari Kedah, Revathi tampil menegaskan bahawa Bawani berhak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapatnya mengenai sistem pentadbiran dan sistem pendidikan Malaysia.
 
“Bukankah setiap rakyat Malaysia mempunyai hak bersuara dalam sistem demokrasi berperlembagaan? Sepatutnya Bawani dihormati ketika sedang berhujah. Perbuatan Zohra membandingkan Bawani dengan binatang adalah tidak rasional bagi seorang penceramah yang kononnya profesional,” katanya.
 
“Seharusnya seorang yang memegang jawatan tinggi (Presiden SW1M) perlu memberi balasan komentar yang baik dan jitu, bukan memperlekeh siswi itu dan kemudian berlegar-legar sekitar topik-topik merapu,” kata Aliphian Johansah, 25 tahun, dari Tawau yang merupakan pelajar sarjana TESL di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 
Melihat pada perangai Zohra yang jelas terpancar menerusi klip video berkenaan, ternyata dia tidak layak menjadi seorang pemimpin, pensyarah atau memegang apa-apa jawatan yang memerlukannya berinteraksi dengan manusia. Malah, mungkin binatang juga tidak mahu berkomunikasi dengan spesis seperti ini. Demikian kesimpulan daripada beberapa lagi komentar ringkas yang saya terima daripada rakan-rakan.
 
“Apa tujuan SW1M jika presidennya sendiri menyekat suara seorang mahasiswi?” Pertanyaan ringkas daripada graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Vasanthan Vengadasalam dari Johor Bahru pasti mewakili pertanyaan yang lahir dalam pemikiran rata-rata rakyat Malaysia yang masih waras dan berakal.
 
Bagi Kannan Ramasamy, 41 tahun, yang merupakan graduan UUM, tindakan Zohra adalah kurang bertamadun apabila kebebasan bersuara disekat serta Bawani dimalukan dan diaibkan sedemikian rupa pada suatu majlis ilmu.
 
Reaksi rakan-rakan pelbagai latar
 
“Tindakan Zohra menarik mikrofon daripada Bawani untuk memberhentikan siswi itu daripada bercakap juga sangat memeranjatkan. Taktik divertion (pengalihan tumpuan) pula digunakan apabila perkara berkaitan masalah binatang disamakan oleh Zohra dengan masalah manusia. Sangat biadab sikapnya menyuruh seseorang yang meluahkan pendapat supaya keluar dari Malaysia sedangkan Bawani tidak melakukan apa-apa bertentangan dengan undang-undang negara,” kata pengurus teknologi maklumat (IT) dari Klang itu.
 
Tindakan Zohra yang mengutuk dan menghina Ambiga juga mendapat reaksi daripada rakan-rakan. Navin David Kumar menyelar Zohra yang dikatakannya “tidak layak bercakap mengenai Datuk Ambiga yang berjuang demi seluruh rakyat Malaysia sedangkan awak (Zohra) tidak pun tahu cara-cara menghormati pelajar yang mengeluarkan pandangan pada majlis ilmu”.
 
Harus saya nyatakan bahawa segala pandangan yang dikemukakan oleh rakan-rakan menerusi mesej Facebook berhubung isu ini tiada apa-apa kaitan dengan isu perkauman atau agama. Saya berasa bangga dengan kemampuan mereka mengemukakan hujah dan pandangan secara rasional, berhemah dan objektif.
 
Klip video yang diperkatakan turut mendapat perhatian dan reaksi daripada warga Malaysia yang berada di luar negara. Suthan Kaveri, 25 tahun, siswa Kursk State Medical University, Rusia menegaskan bahawa Bawani memang telah mengemukakan hujah-hujah yang tepat, benar dan berdasarkan fakta.
 
“Zohra sepatutnya telah membenarkan Bawani menamatkan hujahnya. Kemudian, Zohra bertanggungjawab memberikan ulasan dengan fakta yang kukuh. Tetapi semua ini tidak berlaku. Klip video jelas membuktikan bahawa Zohra mula mengulas perkara-perkara yang tidak ada kena-mengena dengan topik forum. Ternyata pemikiran mahasiswa cuba disekat dan dikongkong dengan pelbagai cara. Inilah salah satu punca kemerosotan kualiti graduan Malaysia. Kebebasan dan hak mahasiswa untuk bersuara sepatutnya dipelihara dan dijamin sepenuhnya,” kata pemuda itu.
 
“Apa yang berlaku sebenarnya membuktikan bahawa demokrasi masih mentah di Malaysia. Mahasiswa tidak dibenarkan mempunyai pendapat yang bertentangan dengan pemikiran arus perdana. Amalan ini sangat merugikan kerana seharusnya mahasiswa dipupuk semangat melontarkan pendapat kerana idea mereka mewakili sentimen masyarakat,” kata Harris Nasril, seorang pengurus studio dari Seri Kembangan.
 
Rata-rata rakyat Malaysia yang waras (ingat: yang waras sahaja) kagum dengan keberanian dan kemampuan Bawani berhujah walaupun diasak dengan cara paling hina oleh seorang wanita yang kononnya berpelajaran dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat – atau sekurang-kurangnya dalam KIMMA dan SW1M.
 
“Saya tabik pada keberanian yang dimiliki Bawani,” kata Gunalan Jeyaraman dalam komennya. “Siswi itu berhujah dengan membandingkan antara manusia dengan manusia di negara-negara berbeza. Akan tetapi Zohra pula membandingkan manusia dengan binatang. Dia (Zohra) memang lebih layak menjadi penjaga binatang di zoo daripada berdepan dengan manusia. Dia memang sudah memalukan SW1M, sebuah NGO yang mewakili golongan wanita yang bermaruah!”
 
Prashana Gurunathan, 27 tahun, juga berkongsi rasa terkejut dengan tahap mentaliti Zohra yang kononnya mahu meluahkan pandangan terhadap demokrasi dan hak kemanusiaan.
 
“Dia menghina Bawani dengan pelbagai tuduhan tanpa menyedari bahawa sebagai seorang manusia, rakyat dan presiden SW1M, dialah yang sebenarnya gagal mempamerkan segala ciri yang kononnya tiada pada Bawani. Zohra perlu belajar untuk menghormati orang dan perasaan orang sebelum menuntut supaya dirinya dihormati. Zohra gagal seratus peratus dalam hal ini,” kata penolong pengurus bank itu yang tinggal di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
 
Pandangan seperti itu dipersetujui Azmi Yusof dari Melaka. Bagi penganalisis pasaran berumur 30 tahun itu, “mahasiswi bernama Bawani itu memang seorang wirawati di tengah-tengah lautan mahasiswa lain (dalam klip video) yang sudah mandul idea dan bacul”.
 
“Bawani adalah lambang generasi pelapis Malaysia yang berani,” kata Abdul Aziz Man, 53 tahun, dari Ampang, Kuala Lumpur yang menggunakan nama “Deli Koesoma” di Facebook.
 
[Sila rujuk juga makalah berkaitan bertajuk Pengajaran Sharifah ZohraDI SINI]
 
Saya tidak mengenali Bawani secara peribadi. Namun, saya tabik dan bangga dengan semangat yang dimilikinya. Malah, kini dia sudah berjaya menyuntikkan semangat perjuangan dan hak bersuara kepada seluruh Bangsa Malaysia tanpa mengira kaum, etnik, agama, usia dan kedudukan. Masih ada harapan untuk negara tercinta ini.
 
[Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya serta kolumnis FMT. Makalah ini ditulis pada 15 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 16 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]