Novel ini disarankan kepada saya oleh
pengarah urusan Keliki Agrotech, Zain Aziz apabila saya berkunjung ke
gerai beliau sempena Pesta Buku Negeri Selangor pada 29 Jun 2012 dan memintanya
mencadangkan buku yang “lain daripada yang lain”.
Saya harus mengakui bahawa saranan Zain
memang tepat kerana Penulis yang Disayang
Tuhan (2011) karya Bahruddin Bekri tidak sama dengan puluhan – malah
ratusan dan ribuan – novel-novel Melayu yang melambak dalam pasaran.
Pada bahagian prolog, dinyatakan bahawa
penulis adalah “manusia yang fasih berpura-pura”, “dekat kepada neraka” dan
“sudah meletakkan sebelah kakinya di dalam syurga”. Ya, novel ini memang
mengenai dunia penulis dan penulisan.
Bahruddin menggunakan watak Usamah (“saya
tidak tahu bentuk penuhnya”), seorang novelis, untuk menggerakkan cerita yang
sebenarnya bukan hanya berlegar sekitar dunia penulis, penulisan dan
penerbitan.
Novel setebal lebih 355 halaman ini turut
menampilkan ramai watak yang berinteraksi secara langsung dan tidak langsung
dengan Usamah untuk menggerakkan cerita.
Bagaimanapun, sebagai individu yang sudah
“masak” dengan dunia penulisan dan penerbitan – selain membaca terlalu banyak
cerpen dan novel mengenai watak-watak penulis tempatan dan luar negara – saya
sebenarnya lebih tertarik untuk mengetahui kisah Ahamad Rani, Mulan Indriani,
John Stalone, Suparno, Pak Damano dan kumpulan warga Indonesia yang menghuni
suatu kawasan perumahan setinggan.
Agak seronok apabila kumpulan “pendatang”
(dalam konteks Bahasa Indonesia) dari negara tetangga itu menyangka Usamah
seorang polis yang ditugaskan mengintip pergerakan mereka.
Lalu, kumpulan berkenaan membuat pelbagai
rancangan untuk menjadikan novelis itu sebagai sahabat. Mereka antara lain
merancang mengadakan barbeku, mengambil Usamah sebagai adik/abang angkat serta
meminta Aisyah menjadi kekasihnya.
Semua itu dilakukan sebagai usaha
memastikan kumpulan warga Indonesia berkenaan tidak terus menjadi mangsa
penindasan oleh Suharjo dan konco-konconya.
Novel Penulis
yang Disayang Tuhan bukan karya sulung Bahruddin. Beliau menjadi idola
kepada ramai pembaca – kanak-kanak dan remaja – yang menanti kelahiran karya
barunya. Namun, ini buku pertama beliau yang saya baca.
Penulis dan editor berpengalaman ini
khabarnya sering “mengunci diri” di dalam bilik di rumah sewa dan terus
menghasilkan karya demi karya. Demikian diceritakan oleh beberapa rakan yang
saya temui selepas mula membaca novel Penulis
yang Disayang Tuhan.
Saya perlu mengakui bahawa banyak bahagian dalam
novel ini yang saya “tinggalkan” semasa proses membaca. Seperti yang saya
nyatakan tadi, saya kurang berminat untuk membaca kisah mengenai watak seorang
penulis yang bercerita tentang dunia penulisannya.
Tidak lupa juga bahawa selain Usamah, ada
beberapa lagi watak penulis veteran ditampilkan dalam novel ini. Usamah
diarahkan oleh Johari Salim supaya menemui mereka untuk mengatasi masalah
penulisan yang sedang dihadapinya. Masing-masing (termasuk Johari) akan
“berceramah” kepada Usamah.
Novel ini memang “lain daripada yang lain”
apabila dilihat dalam konteks lambakan novel Melayu dalam pasaran tempatan.
Sesiapa yang menyimpan minat/hajat menjadi pengarang amat wajar membaca novel
ini kerana pengarang menyelitkan pelbagai panduan penting untuk menjadi penulis
yang berjaya.
Sebelum novel ini terbit, Bahruddin dipetik
di laman sesawang penerbit sebagai berkata
bahawa beliau menghasilkan novel ini “agar dapat mengajar pembaca di luar
menulis”.
Wajar juga disebutkan bahawa penulis
prolifik ini membuat rujukan beberapa buku – termasuk oleh Faisal Tehrani,
Marget Geraghty, Othman Puteh, Hizairi Othman dan Arena Wati – dalam
menghasilkan novel ini.
Bagi sesiapa yang ingin menjadi “penulis
yang disayang Tuhan” maka novel ini memang bahan bacaan yang sangat sesuai.
Bukan sahaja sebagai sebuah fiksyen tetapi juga sebagai suatu dialog antara
seorang guru dan murid.
(Ulasan buku ini ditulis
pada 22 Ogos 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 24 Ogos 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)