[Penulis esei dari
Makassar ini ternyata mampu memperkatakan apa sahaja isu dengan penuh bergaya.]
Salah satu daripada keistimewaan Asdar Muis
RMS adalah kemampuannya memperkatakan apa sahaja topik (politik, sosial, agama,
seni, budaya, sejarah dan sebagainya) secara amat bersahaja tetapi sangat
bermakna.
Demikian kesan pertama yang saya terima
semasa dalam proses membaca kumpulan esei terbaru beliau berjudul Tuhan Masih Pidato (2011). Buku setebal
416 halaman itu diterbitkan di Yogyakarta, Indonesia serta memuatkan esei-esei
yang ditulis antara pertengahan 2003 dan Februari 2007.
Saya menerima senaskhah buku ini daripada
Asdar apabila beliau mengajak saya bersama-sama Luna Vidya dan Rini Irmayasari
makan ikan bakar di Paotere, Makassar, Sulawesi Selatan pada 14 Jun 2012. Saya
ke sana sempena Makassar International
Writers Festival anjuran Rumata.
Semasa membelek-belek halaman buku
berkenaan dan membaca beberapa esei pendek di dalamnya, saya nampak dengan
jelas betapa pengarang ini yang lahir pada 13 Ogos 1963 mempunyai bakat
penulisan yang sangat menakjubkan.
Apatah lagi, pada 19 Jun 2012, saya
berpeluang mendengar serta menonton rakaman beliau membaca beberapa esei dengan
penuh penghayatan (umpama persembahan teater!) dan penuh seni. Malah, suara
Asdar membaca esei dengan iringan muzik berkumandang di stesen radio Suara
Celebes menerusi slot “Kolom Udara” setiap hari.
Ketajaman pemikiran beliau memperkatakan
pelbagai topik yang dekat dengan hati rakyat menerusi kumpulan esei Sepatu Tuhan (2003) diteruskan dalam Tuhan Masih Pidato.
Kumpulan esei ini yang menggunakan Bahasa
Indonesia dibahagikan kepada lima bahagian; iaitu “Ketuhanan dan Religiositas”,
“Humanisme dan Peradaban”, “Nasionalisme dan Pluralisme”, “Demokrasi dan
Kleptokrasi” serta “Adil Makmur dan Rule
of the Game”.
Walaupun rata-rata topik yang diperkatakan
adalah berkisar tentang isu-isu yang berlaku di Indonesia – khususnya di
Sulawesi Selatan – esei-esei dalam buku ini tetap bersifat universal; atau
sekurang-kurangnya sesuai dengan situasi di Malaysia.
Salah satu kebijaksanaan Asdar adalah
memperkatakan isu-isu semasa dengan mengaitkan serta menghubung-jalinkan
bersama sejarah dan kritikan yang menyentuh minda serta jiwa. Walaupun
tulisannya ringkas – sekitar tiga halaman sahaja – namun makna yang terkandung
di dalamnya amat mendalam.
Pengalaman luas Asdar dalam bidang
kewartawanan ternyata mempengaruhi gaya penulisan dan kemampuannya menyajikan
esei yang ringkas-padat dan bersifat holistik. Penglibatan dalam bidang seni persembahan
pula menjadikannya mampu menuangkan kreativiti ke dalam setiap baris ayat yang
ditulis.
Topik-topik yang diangkat oleh penulis ini
mungkin sahaja kelihatan “kecil” dan “biasa” tetapi apabila diperhatikan,
isu-isu berkenaan sebenarnya “besar” dan “penting” dalam kehidupan seharian
kita. Malah, topik-topik berkenaan boleh mengubah pemikiran kita berhubung
pelbagai isu besar yang berlaku di sekeliling kita.
Tajuk-tajuk yang dipilih bagi setiap esei
juga amat menarik dan mengundang rasa ingin tahu pembaca; misalnya “Tak ada
Tuhan di langit”, “Lelaki sifilis di depan masjid”, “Kematian itu indah”, “Bila
senior berhak cabut nyawa”, “Mengapa harus ganyang Malaysia”, “Dari Menara KL
melihat mandala” dan “Mencari pemimpin yang pemimpin”.
Antara tajuk lain termasuk “Kita adalah
keldai jatuh”, “Kucing kurus menunggu koruptor”, “Merindui polisi bermartabat”,
“Lempar tangan sembunyi batu”, “Rakyat tahu memilih yang terbaik” dan “Otak
orang Indonesia memang mahal”.
Asdar ternyata berani menyentuh apa sahaja topik
dan isu yang mahu diperkatakannya. Beliau tidak memuji-muji sesiapa; sebaliknya
tampil menyajikan kebenaran, walau sepahit mana pun sajian itu.
Pengarang ini yang menubuhkan “Komunitas
Sapi Berbunyi” di Makassar memblog di www.asdarmuis.wordpress.com selain
aktif di Facebook dengan siri
catatan/esei “Malu” yang juga amat menarik.
Buku-buku Asdar tidak dijual di kedai-kedai
buku kerana beliau lebih selesa memilih untuk menjualnya secara langsung kepada
sesiapa yang berminat. Agak menarik juga bahawa beliau biasanya menerima
tempahan penuh sebelum buku dicetak.
(Ulasan buku ini ditulis
pada 26 Jun 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 29 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)