Pelbagai perkara menarik berlaku sejak dua
minggu lalu dan saya sekadar mahu mengimbas sebahagian daripadanya dalam
suasana bulan puasa, menjelang Aidilfitri.
Bercakap mengenai bukan puasa, masih lagi
berlaku perbalahan di ruang siber mengenai mana satu ejaan yang betul –
“Ramadan” atau “Ramadhan”.
Suara-suara dalam kalangan rakan-rakan
beragama Islam juga semakin lantang – khasnya di Facebook – untuk memperkatakan pelbagai isu berkaitan bulan mulia
ini. Misalnya, ditegaskan bahawa apa yang menjadi persoalan utama bukanlah
berapa jam seseorang berpuasa, tetapi apa yang dilakukannya sepanjang berpuasa.
Satu lagi isu menarik yang dibincangkan
secara positif dan terbuka (liberal?) adalah mengenai amalan dan kebiasaan di
Malaysia, iaitu sepanjang Ramadan, orang Bukan Islam diminta supaya sangat
berhati-hati dan memastikan tidak makan-minum di hadapan rakan-rakan Islam yang
berpuasa.
Perkara ini turut menjadi satu “masalah”
kepada saya sejak kanak-kanak. Saya menganggap tegahan seperti itu amat
bertentangan dengan ajaran sebenar dalam Islam. Malah, memberi gambaran amat
negatif mengenai Islam; seolah-olah keimanan seseorang adalah begitu lemah dan
puasanya boleh terbatal dengan amat mudah apabila ada orang lain (yang tidak
berpuasa) makan atau minum di hadapannya.
Topik lain yang hangat juga diperkatakan
dalam kalangan rakan-rakan adalah mengenai isu “minoriti”. Kita tahu bahawa
penduduk negara kita sering bangkit bersuara lantang apabila minoriti Islam di
mana-mana pelosok dunia menjadi mangsa kepada penduduk “majoriti” di negara
terbabit.
Kini, penduduk Malaysia – atau
sekurang-kurangnya rakan-rakan saya di Facebook
yang berilmu dan mampu berhujah secara matang – sudah mula bertanya: Bagaimana
pula dengan kelompok “minoriti” di negara kita sendiri?
Persoalan ini amat menarik dan wajar kerana
saya yakin bahawa ajaran Islam yang sebenar bukan hanya menyentuh mengenai
memperjuangkan hak orang Islam; sebaliknya termasuk hak golongan Bukan Islam.
Malah, lebih penting adalah perjuangan membela golongan yang “ditindas” oleh
golongan yang “menindas”.
Tentulah saya tidak mahu pergi lebih
mendalam mengenai ajaran sebenar Islam kerana saya pasti tokoh-tokoh agama
(termasuk yang sedang memantau makalah ini) lebih mengetahui mengenai
perkara-perkara tersebut.
Pada masa sama, saya tidak akan terkejut
jika puak tertentu bangkit menafikan pandangan saya. Tidak mengapa kerana
apa-apa pandangan, hujah dan idea yang saya kemukakan memang akan dibantah
kelompok tersebut. Itu memang “kerja hakiki” mereka.
Pada 16 Julai 2012, saya mendedahkan
mengenai kemungkinan hak cipta “Muzikal
Uda & Dara” karya Sasterawan Negara (Allahyarham) Datuk Usman Awang
“tergadai” – BACA DI SINI. Tidak banyak pihak
berwajib yang memberikan perhatian terhadap isu itu dan belum ada sebarang
penyelesaian sehingga sekarang.
Bagaimanapun, selepas didedahkan, topik itu
mendapat perhatian ramai di ruang siber. Sekitar setahun lalu, beberapa minggu
selepas saya mendedahkan isu penulis tidak dibayar royalti teks Komsas,
media arus perdana “tampil” menulis berita “one-off”
mengenainya. Begitu juga pada kali ini. Ada yang tampil melepaskan batok di
tangga.
Namun, berbeza dengan keadaan setahun lalu,
saya perhatikan bahawa kesedaran dalam kalangan Rakyat (perhatikan penggunaan
huruf besar sebagai tanda pengiktirafan kepada “kuasa” Rakyat) semakin
meningkat. Rakyat sudah semakin berani bersuara demi hak dan kebenaran;
termasuk isu hak cipta karya Usman Awang.
Satu lagi realiti yang saya perhatikan
secara spesifik sejak 1 Ramadan 1433 adalah bagaimana semangat “Bangsa Malaysia” – bukan retorik “1Malaysia” – semakin menyubur dalam
kalangan rakyat pelbagai kaum di seluruh negara.
Dasar “pecah dan perintah” (mengikut kaum/etnik/agama)
yang menjadi formula pihak tertentu ternyata sudah tidak berkesan. Selalu
sahaja konsep “Ketuanan Melayu” dijadikan senjata oleh
pihak tertentu untuk memastikan wujud jurang yang amat ketara antara orang
Melayu dan Bukan Melayu.
Akan tetapi, isu “perkauman” dan “hak
istimewa” tidak boleh dijadikan senjata sulit untuk memecahkan Rakyat; sekali
gus mahu meneruskan agenda menindas Rakyat dan mengaut untung.
Orang Melayu-Islam kini sedar bahawa
“musuh” kepada Melayu/Islam bukan orang “Bukan Melayu” atau “Bukan Islam” –
tetapi adalah mana-mana pihak yang melakukan penindasan. Dan penindasan yang
saya maksudkan di sini bukan hanya penindasan terhadap orang Melayu-Islam
tetapi penindasan terhadap mana-mana manusia; termasuk minoriti di negara ini.
Sekurang-kurangnya demikianlah transformasi
minda dan penjernihan jiwa yang saya perhatikan secara amat nyata sejak
beberapa minggu lalu. Tanpa menafikan bahawa masih ada kelompok kecil yang
tetap selesa duduk di bawah tempurung dan berbunyi seperti katak.
Pasti sahaja segala transformasi minda dan “penghijrahan”
ini juga disebabkan “faktor penolak”. Misalnya, apabila ada pihak tertentu yang
secara terus-menerus memperbodohkan dan memperlekehkan intelektualiti Rakyat dengan
melakukan pelbagai tindakan berunsur politik yang hanya menguntungkan diri
sendiri dan barisan kroni. Dalam soal logo dan lagu tema Hari Kemerdekaan,
misalnya.
Persoalan sebenar kini dalam kalangan
Rakyat adalah usaha menghapuskan penindasan tanpa mengira kaum, agama, adat,
budaya, etnik, kepercayaan, latar geografi dan latar pendidikan. Nah! Bukankah
ini ajaran sebenar dalam Islam?
Atas sebab itulah saya sangat kagum dengan
transformasi minda yang berlaku dalam kalangan Rakyat sepanjang bulan yang
mulia ini. Bulan Ramadan juga secara amat simbolik mengeratkan kembali hubungan
mesra antara penduduk pelbagai kaum dan agama.
Bukankah ini nilai, ciri dan keistimewaan
sebenar Bangsa Malaysia yang cuba “dihapuskan” secara penuh terancang oleh
pihak berkepentingan sejak puluhan tahun dahulu? Biduk berlalu, kiambang
bertaut.
Pada masa sama, apabila Dr Mohd Faizal Musa
(Faisal Tehrani) menyertai Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada awal Julai
2012 – BACA DI SINI – ada puak tertentu yang
bertanya, apakah Faisal akan memujuk para ahli Kavyan “masuk Islam”.
Demikianlah dangkalnya pemikiran mereka. Bodoh sebodoh-bodohnya.
Dalam perkembangan lain, saya kini dalam
proses menerbitkan novel Panchayat: Edisi Khas. Sejak projek itu
diumumkan pada akhir Jun 2012, puak tertentu melakukan “kempen” menghasut orang
ramai memboikot novel berkenaan dengan alasan (baca: fitnah) bahawa kulit depan
memaparkan lukisan/gambar berhala.
Agak lucu kerana “kempen anti-Uthaya” itu dijalankan
sebelum kulit novel direka! Bagaimanapun, rata-rata rakan-rakan dan kenalan
saya yang beragama Islam tidak terpengaruh dengan kempen itu. Mereka
memberitahu saya bahawa kalau sekali pun ada lukisan berhala pada kulit buku,
iman mereka cukup kuat dan mereka tidak akan murtad.
Pasti sahaja transformasi minda ini
(perhatikan bahawa saya sengaja mengulang perkataan “transformasi” beberapa
kali) merupakan tanda-tanda positif dalam kalangan Rakyat. Inilah antara
nilai-nilai persefahaman, saling menghormati dan sikap tolak-ansur yang pernah
wujud dahulu – sebelum dimusnahkan secara terancang oleh pihak tertentu demi
kepentingan peribadi dan kroni.
Namun, perlu diakui bahawa cabaran bagi
Rakyat belum berakhir. Sebagai seorang penulis, saya juga terkejut dan rasa
terpukul apabila ada badan tertentu membuat pengakuan terbuka menyokong apa
sahaja penindasan – termasuk pengharaman buku – yang dilakukan pihak yang ada
kuasa!
Semoga Ramadan membawakan sinar kesedaran
dalam kalangan Rakyat dan para penulis bahawa “kuasa” sebenar berada di tangan
Rakyat. Bahawa Rakyat sudah bersatu untuk sama-sama menolak sebarang bentuk
penindasan yang sesungguhnya bertentangan dengan ajaran sebenar Islam.
Saya menamakannya – bukan “Janji Dicapati”
– tetapi Janji Ramadan. Janji siapa? Janji Rakyat. Janji apa? Janji Ramadan.
(Makalah ini ditulis pada 3 Ogos 2012 dan
disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Ogos 2012.
© Uthaya Sankar SB.)