26 May 2012

Panchayat: Bahagian 17 – Madurai

[Orang ramai menjadi cuak apabila melihat seekor lembu jantan berlari kencang ke arah tapak panchayat.]

“Tak ada, tuan,” jawab Sitambaram sambil segera menambah: “Kita sepatutnya telah menggeledah rumah itu lebih awal lagi. Mungkin sekarang berhala emas itu sudah dipindahkan ke tempat lain. Memang tidak syak lagi.”

“Dipindahkan? Maksud awak?”

“Maksud saya,” lelaki berperut boyot itu menjawab pertanyaan ketua panchayat, “mungkin Ramani telah memindahkan berhala emas itu ke tempat lain ….”

“Cukup!” Senthamarei memintas. “Kita jangan menuduh Ramani tanpa bukti. Elok kita jangan libatkannya dalam hal ini; sekurang-kurangnya tidak buat masa kini. Cukuplah kita berusaha menemukan kembali berhala Kaali Devi. Kita akan terus mencarinya sampai dapat!”

Kim Seng dan Mahmood tertunduk. Sitambaram pula cuba berkata sesuatu.

“Oh, lihat!” Jerit seseorang dari bahagian belakang.

Orang ramai segera menoleh ke arah datangnya suara tadi. Balbik Singh sedang terpaku tidak jauh dari sana. Tangan kirinya menuding ke arah jalan. Debu tanah merah berterbangan.

“Lihat!” Jeritnya lagi.

Senthamarei tergamam. Begitu juga para penduduk Kubur Gajah yang berkumpul di tapak panchayat. Suasana morat-marit buat seketika. Masing-masing bimbang.

“Oh! Apa tu?”

Seekor lembu jantan sedang berlari kencang dari arah utara. Debu tanah merah berterbangan di bawah tapak kakinya. Semua orang terpaku melihatnya. Mereka terasa cuak.

Mungkinkah lembu itu sedang menuju ke sini? fikir Roslan Jomel dengan penuh debaran sambil cuba mengingati jampi cuca yang dihafaznya dahulu.

Madurai Kaala yang berbonggol tujuh inci terus berlari. Bengis dan cengil. Tanduknya berlumuran darah!

“Lihat! Lihat!” Pekik seorang kanak-kanak dengan mulut terbabang. “Tanduknya berlumuran darah. Tengok tu!”

Lembu pelaga akas itu masih berlari. Madurai Kaala berlari melintasi tapak panchayat di bawah pohon banyan. Orang ramai terus mengikutnya dengan pandangan mata buntang.

“Ke mana lembu tu nak pergi?”

“Darahkah atau cat pada tanduknya?” Tanya Mahmood.

“Mana James?” Tanya Kim Seng kepada entah siapa.

Beberapa orang pemuda mula berlari menuruti Madurai Kaala. Lembu berkenaan terus berlari mendahului mereka. Beberapa lagi penduduk memberanikan diri untuk mengekori Madurai Kaala. Tapi tentunya jarak mereka dari lembu pelaga tersebut adalah sekurang-kurangnya dua puluh ela. Mereka masih belum cukup berani untuk menghampiri lembu pelaga berbonggol besar itu.

Tidak lama selepas itu, Madurai Kaala sampai di kuil Maha Kaali. Pintu pagar berkunci. Madurai Kaala tidak mengendahkannya. Lembu berkenaan merempuh pagar kayu. Para penduduk Kubur Gajah yang mengekorinya dari tapak panchayat tadi terus tergamam.

“Oh, lihat tu! Apa yang lembu tu buat?” Demikian seorang kanak-kanak bertanya kepada bapanya.

“Halang lembu itu!” Sitambaram mengarahkan. “Habis pagar kuil dirobohkannya. Halang lembu itu! Jangan biarkannya masuk ke dalam kuil. Besit lembu jahanam itu dengan kayu.”

“Jangan!” Kata Senthamarei seraya menahan beberapa pemuda yang cuba memberanikan diri untuk menghalang Madurai Kaala yang sekarang ini sedang berlari menuju ke bangunan kuil.

Lembu berbonggol tujuh inci itu memang terkenal kerana kebengisannya di arena pertarungan. Tetapi sebaliknya pula di hadapan James.

Madurai Kaala patuh pada segala arahan James Arivalahan. Jika makan kata James, makanlah Madurai Kaala. Jika berak sergah James, beraklah dia.

Atau mungkin juga apa yang sebenarnya ditakuti oleh Madurai Kaala bukanlah James; tetapi saatei di tangannya yang sentiasa bersedia untuk membekaskan bilur pada tubuh Madurai Kaala.

Lembu pelaga yang memang digeruni itu sampai di hadapan bangunan kuil. Madurai Kaala menoleh ke arah orang ramai yang sedang berdiri di luar pagar yang sudah roboh sebahagian. Tanduknya ternyata benar-benar berlumuran darah; bukan cat seperti yang disangka Mahmood sebentar tadi.

Madurai Kaala merenung Sitambaram. Lelaki gendut itu menelan air liur sambil mengambil selangkah ke belakang kerana ketakutan. Lembu pelaga tersebut juga membidik Mahmood, Kim Seng, Senthamarei, Roslan Jomel, Kumaran, Navaneethan, Father Francis, Balbik Singh dan yang lainnya satu lepas satu. Bergemuruh darah setiap orang yang kena tenung oleh Madurai Kaala.

Mmmoooo!”

Kecut tangkai hati mereka mendengar bunyi yang menggerunkan. Mereka sedar bahawa Madurai Kaala bukanlah sembarang lembu. Madurai Kaala adalah lembu pelaga. Madurai Kaala adalah juara segala juara.

Madurai Kaala kembali memandang ke dalam kuil; ke arah bilik kecil di tengah kuil yang selama ini menempatkan berhala emas Kaali Devi sebelum berhala berkenaan hilang beberapa hari lalu.

Madurai Kaala melangkah masuk ke dalam kuil. Bergedebak-gedebuk bunyi tapak kakinya mengena lantai kuil. Lembu itu turut berbunyi nyaring tiga kali sambil mengangkat-angkat kepala. Bunyi bergema dipantulkan dinding batu.

Lembu berkenaan membengkokkan kedua-dua kaki hadapan dan menyembah bumi seperti yang biasa dilakukan oleh orang Hindu sewaktu menyembah berhala di kuil. Kepalanya yang berlumuran darah pekat itu berkali-kali tunduk menyentuh lantai kuil.

Mmmoooo!”

Penduduk Kubur Gajah saling berpandangan. Bersambung minggu depan

Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 31 Julai 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 26 Mei 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)