2 Mar 2012

Komsas: Tarik balik karya kami

[Empat penulis tekad menarik balik karya mereka kerana tiada usaha pihak berkenaan untuk membayar hak royalti.]

PETALING JAYA: Empat penulis yang menuntut hak royalti setelah hasil penulisan mereka dijadikan bahan Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia (Komsas) hari ini menyatakan bahawa mereka mahu menarik balik karya mereka daripada digunakan oleh Kementerian Pelajaran.


Penulis-penulis tersebut ialah Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes.


“Jika tiada sebarang penyelesaian yang memihak kepada kami dalam masa terdekat, maka kami mungkin terpaksa mengemukakan notis/surat rasmi ‘tidak mengizinkan’ karya kami digunakan sebagai teks Komsas.


“Ini kerana tandatangan kami pada dokumen rasmi dipalsukan penerbit tertentu dan kerana penerbit tidak membayar royalti yang setimpal kepada kami.


“Selepas itu, Kementerian Pendidikan bertanggungjawab menarik balik penggunaan novel Cempaka Putih Untukmu (Rohani Deraman), cerpen ‘Warkah Daripada Ibu’ (Rohani Deraman), puisi ‘Seorang Insan Istimewa’ (Amy Suzani), cerpen ‘Budi Semangkuk Daging’ (Amy Suzani), novel Bukan Duniaku (Hazama) dan novel Hikmah (Mohd Izan) daripada digunakan sebagai teks Komsas.”


Mereka berkata demikian melalui satu kenyataan media yang dibuat menerusi perunding mereka, Uthaya Sankar SB berikutan usaha mereka untuk memperoleh wang royalti tidak kesampaian.


“Pengarah Bahagian Buku Teks memutuskan bahawa bahagian itu tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu kami dalam menuntut hak royalti bagi karya kami yang digunakan sebagai teks Komsas tanpa izin kami,” kata mereka.


Semua pihak berkaitan juga enggan menunjukkan dokumen yang dikatakan mempunyai tandatangan keempat-empat penulis tersebut.


“Pada Mesyuarat khas yang berlangsung pada 16 Februari 2012, BBT, penasihat undang-undang Kementerian Pendidikan dan penerbit tidak mahu menunjukkan dokumen-dokumen yang kononnya sudah ditandatangani oleh kami dan dikemukakan oleh penerbit kepada BBT bagi tujuan penerbitan teks Komsas.”


Keempat-empat penulis tersebut menegaskan bahawa mereka tidak menandatangani dokumen berkenaan.


Sebaliknya mereka percaya bahawa ia merupakan usaha pihak tertentu yang mengemukakan dokumen palsu kepada Kementerian Pelajaran dalam urusan penerbitan teks Komsas.


Tandatangan palsu


“Sehubungan itu, kami berharap Kementerian Pelajaran sudi menunjukkan salinan dokumen berkenaan yang berada dalam simpanan mereka untuk membolehkan kami membuktikan bahawa tandatangan pada dokumen itu adalah palsu,” kata para penulis tersebut dengan penuh harapan.


Keempat-empat penulis tersebut mendedahkan bahawa seorang lagi penulis turut mengalami nasib yang sama dan diketahui mereka pada 25 Februari lalu.


Selain itu, mereka turut menjelaskan punca mereka mahu karya mereka ditarik balik.


“Langkah drastik yang sedang kami fikirkan ini adalah bagi memberi pengajaran kepada penerbit terbabit supaya tidak menipu Kementerian Pelajaran dan tidak menipu golongan penulis dalam urusan penerbitan teks Komsas.


“Tambahan pula, apa gunanya kami terus berdiam diri lalu tidak mendapat apa-apa bayaran (royalti) sedangkan penerbit tertentu mengaut untung besar apabila karya kami dijadikan teks Komsas.”


(K. Pragalath, Free Malaysia Today, 1 Mac 2012)